Tataplah Wajah, Hari-Hari Terakhir MJ
KUALA LUMPUR, 30 OKTOBER 2009: Selepas 4 bulan meninggal dunia, filem yang disebut-sebut sebagai rakaman detik terakhir megastar itu beraksi dalam sesi latihan bagi konsert solonya, This Is It yang sepatutnya berlangsung di London, kini telah mula ditayangkan di pawagam.Membuka tirai tayangan di Malaysia semalam, filem ini tidak harus dilepaskan oleh setiap mereka yang yang mengakui peminat setia MJ. Harus dinyatakan bahawa This Is It bukan filem biografi MJ sebaliknya rakaman footages peribadi oleh pihak MJ sendiri untuk menghadapi konsert gah itu.
Dengan erti kata lain, inilah wajah-wajah terakhir MJ yang dapat kita tatap secara eksklusif dan pada masa yang sama membuatkan kita terfikir bahawa MJ sebenarnya berada pada tahap yang cergas, bersemangat untuk menari dan menyanyi walaupun tubuhnya nampak susut dan cengkung.
Selain aksi MJ mengadakan latihan dan tarian, filem ini dibuka dulu dengan sesi uji bakat terhadap penari latarnya yang membabitkan beratus-ratus penari profesional. Mereka datang dari seluruh pelosok dunia demi menjadi sebahagian daripada pasukan kreatif This Is It.
Seterusnya, kita akan dapat melihat momen-momen MJ berlatih dengan pemuziknya, mengadun rentak tari dengan sempurna dan memantau pembikinan klip-klip video serta bahan visual yang akan diselitkan dalam persembahannya kelak.
Walaupun kebanyakan lagu-lagu itu pernah kita lihat atau tonton sebelum ini, namun MJ seperti biasa mahukan sesuatu yang segar setiap kali kembali ke pentas. Justeru, tidak hairanlah kita melihat MJ turut telah menyediakan satu props labah-labah raksasa untuk lagu Thriller.
Antara lagu lain yang berkumandang dalam filem ini adalah Don't Stop Till You Get Enough, Bad, Smooth Criminal, They Don't Care About Us, Black Or White, Billie Jean, Beat It, They Way You Make Me Feel dan lagu barunya, This Is It.
Menariknya, ini bukanlah filem cereka tetapi lebih kepada semi-dokumentari yang turut terlihat wawancara dengan pemuzik, pereka kostum serta penyanyi latarnya. Namun janganlah terkejut kalau ada penonton di sebelah anda tiba-tiba bertepuk tangan selepas selesai melihat babak MJ menari kerana terasa seolah-olah kita sedang menonton MJ di atas pentas!
Ada ketikanya, kita juga akan tertawa melihat perangai spontan MJ. Dia sangat diplomasi dan kalau berdebat atau bertekak pun, MJ akan bercakap dengan suara yang lembut dan berlandaskan atas kecintaan serta sayangnya kepada semua orang. Apa yang mengagumkan, telinga dan mata MJ sangat sensitif terhadap kesemua lagu-lagunya.
Harus dinyatakan juga filem edaran Columbia Pictures ini hanya ditayangkan bagi tempoh 2 minggu saja di seluruh dunia dan bagi tempoh itu pun pihak produser menjangkakan ia mampu mengutip sekurang-kurangnya AS$600 juta (RM2.16 bilion). Jadi, bagaimana... anda sudah bersedia untuk groove dengan MJ hari ini?
*credit to murai.com*
0 ayat cinta: