Showing posts with label remy ishak. Show all posts

Luahan Hati Ibu Ummi Nazeera, Datin Maziah Musa Kepada Remy Ishak


Akhirnya ibu kepada Umi Nazeera, Datin Maziah Musa telah pun bersuara mengenai peristiwa paling hangat 2009. Sama ada luahan hati ini benar-benar datangnya dari ibu Ummi Nazeera tak dapat pulak kami pastikan. Sebabnya ianya dihantar menerusi email terus kepada Remy Ishak. Tidak diketahui pulak macam mana boleh terlepas kepada media.


Untuk anda yang terlepas kronologi kes panas antara Remy Ishak dan Umi Nazeera, kami cadangkan anda membaca artikel-artikel yang dah kami tulis.
Jom dengar luahan hati melalui email yang katanya ditulis oleh ibu Ummi Nazeera:-

Muhamad Zalimie…
 
“Kami sekeluarga berdiam diri selama ini agar siasatan dapat dijalankan pihak berkuasa, sekali gus ingin memberi ruang untuk kamu mengaku perbuatan yang kamu lakukan. Sebaliknya kamu masih lagi berterusan memberi kenyataan yang tidak benar hampir setiap hari menerusi media massa. Masyarakat membaca dan mungkin percaya dengan apa yang kamu katakan, tapi Allah melihat apa yang sebenarnya kamu lakukan.
Apapun alasannya, sebagai seorang lelaki kamu tidak berhak memukul anak gadis saya (Ummi). Kamu belum ada apa-apa ikatan dengannya. Anak saya masih muda. Dia berhak berkawan dengan sesiapa saja.

Jangan jadikan isu dua darjat untuk menagih simpati. Sedangkan kamu sendiri pernah berjumpa saya dan bercakap dengan saya, bebas datang bersama anak saya ke restoran saya dan sering kali kamu datang ke perkarangan rumah saya untuk bertemu anak saya.

Bukan harta dan paras rupa yang dipandang. Tapi keikhlasan dan baik pekerti yang dinilaikan. Kamu rasa wajarkah apa yang kamu lakukan terhadap perempuan yang kamu mengaku menyayanginya? Cinta dan kasih sayang adalah sesuatu yang mulia di sisi Allah, tiada paksaan mahupun kekasaran. Apatah lagi sanggup mengaibkan orang lain semata-mata untuk menutup kesalahan sendiri. Menggunakan nama Allah, menidakkan apa yang kamu lakukan. Sebagai pelakon sepatutnya kamu memberi teladan yang baik kepada masyarakat. Tetapi kamu menjadikan diri kamu sebagai contoh yang terbaik sebagai artis yang teruk perilaku yang akan mencalit dunia artis dan mencemarkan dunia hiburan.

Mempertahankan diri dan memukul adalah dua perkara yang berbeza. Sejak bila pula kamu pandai membayar balik harta benda (telefon bimbit) Ummi yang kamu pecahkan setiap kali bertengkar? Jangan kamu memutarbelitkan kenyataan. Dayus bagi seorang lelaki memukul perempuan.

Untuk apa kamu dan keluarga kamu malu pada masyarakat sedangkan kamu tidak malu pada Tuhan, mendera kaum yang lemah. Kamu jangan bercakap mengenai kebenaran kalau kamu sendiri tidak tahu apa itu kebenaran.

Bukti kamu memukul anak saya ada pada saya dan laporan polis sudah pun anak saya buat. Malah perbuatan kamu juga mempunyai saksi, kamu sendiri mengetahuinya kerana kamu sendiri pernah memujuk salah seorang saksi agar tidak memberitahu kepada sesiapa. Adakah kamu lupa Zalimie?

Atau kamu rasa kamu masih di pentas lakonan? Kamu sekarang sebenarnya di pentas dunia apabila Allah yang menjadi saksinya. Sebagai hamba Allah kamu sepatutnya mengaku kesilapan kamu, sekalipun kamu tidak mahu memohon maaf. Kamu tanya diri kamu, siapakah yang sebenarnya yang tidak berperikemanusiaan dan tidak menggunakan akal serta fikiran yang Allah kurniakan.

Sebagai ibu, saya berasa amat terkilan apabila mendapat tahu cerita sebenar daripada anak saya bagaimana beliau dikasari secara emosi dan fizikal sepanjang berkawan dengan kamu. Sebagai ibu, adakah kamu fikir saya akan terus berdiam diri? Apa hak kamu untuk melarang saya daripada bersuara? Sebagai ibu, saya wajib mencampuri urusan anak saya demi kesejahteraan dirinya.

Saya juga hanya manusia biasa yang punya hati dan perasaan. Sebagai ibu yang pernah mengandungkan Ummi selama sembilan bulan, saya sudah tidak mampu lagi mendiamkan diri apabila melihat anak saya suatu ketika dulu pernah pecah dan berjahit di kepalanya, kini pecah di muka.

Saya berharap semua ibu bapa di luar sana akan mengambil kelalaian saya ini sebagai teladan. Saya amat bersyukur kepada Allah kerana kesedaran ini hadir sebelum benar-benar terlewat.

Buat kamu Zalimie, saya doakan kamu akan insaf dan tidak akan mengulangi apa yang kamu lakukan kepada anak saya kepada mana-mana wanita lain di masa depan.

Saya hanya mampu berdoa agar kamu akan diberi cahaya keinsafan untuk mengaku apa yang kamu lakukan dan tidak lagi terus berpura-pura.”

Pengakuan Orang Gaji Ummi Nazeera: Ummi Kena Libas

Dalam Harian Metro ini, bibik aka orang gaji di rumah Ummi Nazeera menjadi saksi pertengkaran antara pelakon itu dengan Remy Ishak. Berikut ini adalah pengakuannya dan korang boleh baca berita selanjutnya di sini.


“Saya nampak Remy pusing badan dan melibas tangan dengan laju ke arah muka kiri cik muda (Ummi Nazeera),” kata seorang saksi kes pergaduhan antara pelakon drama Nur Kasih dan teater Natrah, Remy Ishak, 27, dengan pelakon remaja, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abadin, 19.

Tindakan Remy itu menyebabkan Ummi terjatuh, kata pembantu rumah pelakon remaja berkenaan, Susi Sumarni, 24.

Dia tampil membuat pengakuan di hadapan ibu Ummi, Datuk Maziah Musa, malam tadi, semata-mata mahu menjelaskan kedudukan sebenar kejadian yang berlaku di bawah kondominium di Jalan Ampang, dekat sini, 4 Disember lalu.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada di tangga kondominium berkenaan.
Sebelum ini, akhbar hanya melaporkan kenyataan Remy yang mendakwa dia diserang sekumpulan tujuh lelaki sehari selepas kejadian pertengkarannya dengan Ummi, 4 Disember lalu, namun tiada penjelasan balas daripada Ummi. 

Susi berkata, selepas kejadian itu Remy datang kepadanya di tangga dan sempat berpesan sebanyak dua kali supaya tidak memberitahu kepada sesiapa, malah menyuruhnya mengambil bedak asas bagi menutup luka di muka Ummi.

“Dua kali Remy pesan supaya tidak melaporkan perkara itu kepada sesiapa sebelum menyuruh saya bantu mengangkat cik muda yang jatuh terlentang dan mengambil bedak asas di rumah untuk menutup luka. Saya hanya menurut perintah dan membantu cik muda yang mengadu kesakitan akibat bengkak di muka kiri dengan luka dan lebam sekitar matanya,” katanya yang ditemui di restoran milik Maziah di Danau Kota di sini, semalam.

Pertemuan itu diatur bagi mendapatkan penjelasan sebenar insiden berkenaan yang difahamkan bukan kejadian pertama, sebaliknya Ummi pernah dicederakan ketika mereka bertengkar.
Ditanya bagaimana dia boleh berada di tempat kejadian, warga Indonesia itu memberitahu dia diarahkan tuan muda (abang Ummi) supaya mencari adiknya di bawah kondominium di Jalan Ampang.

“Selepas cik muda turun, tuan muda suruh saya meninjau keadaan cik muda, tapi dia minta saya duduk di tepi memerhatikan dari tangga,” katanya

Berikutan tidak tahan dengan nasib malang menimpa anaknya, Maziah menghantar surat terbuka berbentuk pesanan kepada Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimie Ishak supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh memburukkan keadaan. Antara kandungan surat itu menyebut, dia tidak menghalang persahabatan anaknya seperti didakwa Remy sebagai hubungan antara dua darjat, sebaliknya mempersoalkan tindakan aktor popular itu memukul anak kesayangannya.

Keluarga Ummi juga membuat laporan polis pada awal pagi 5 Disember dan mendapatkan rawatan di Hospital Ampang Puteri. Sebelum insiden pukul itu, Remy dikatakan bertengkar dengan Ummi hingga menyebabkan kecederaan pada aktres remaja terbabit, sebelum pelakon berkenaan dipukul sekumpulan tujuh lelaki di koridor bilik persalinan Istana Budaya pada malam keesokannya.

Sementara itu, usaha Harian Metro untuk mendapatkan kenyataan Remy mengenai surat yang dihantar ibu Ummi kepadanya gagal kerana talian telefon bimbitnya dimatikan. [sumber]

Remy Ishak Hanya Nak Elak Serangan Ummi Nazeera

Bagi mereka yang tertanya-tanya, apa sebenarnya yang berlaku di antara Remy Ishak dan Ummi Nazeera sehingga Remy diserang tujuh lelaki di Istana Budaya baru-baru ini, nampaknya B*Pop hari ini ada 'scoop'-nya.

Seperti tajuknya, 'Remy dedah cerita sebenar', hampir semua persoalan yang bermain di fikiran anda, dijawab oleh Remy.

Perjelaskan hubungannya dengan Ummi
Remy akhirnya mengaku mempunyai "hubungan istimewa" dengan Ummi (walaupun dalam Utusan Malaysia hari ini - '"Buktikan saya kaki pukul" - Remy Ishak' - diakuinya mereka menjalin "hubungan cinta") tetapi kerana ingin menjaga nama baik keluarga Ummi, digambarkan perhubungan mereka sekadar kawan baik.

Luah Remy, dia tahu keluarga Ummi tidak senang dengan hubungan mereka berdua. Kerana ingin menjaga hubungan mereka sekeluarga, Remy memutuskan untuk mengundur diri dari perhubungannya dengan Ummi.

"Saya tak boleh ‘kawal’ Ummi dan tak boleh berada di dalam dunia Ummi. Dunia kami berbeza, saya sedar siapa diri saya dan di mana saya berdiri," katanya.

Ummi yang pukul
Cerita Remy, Ummi telah meminta bertemu dengannya. Pada pertemuan itu, timbul sedikit salah faham - katanya ada suatu 'benda' yang telah diambil Ummi - yang menurut Remy, mencetuskan kemarahan Ummi dan dirinya, sehingga dia mencampakkan telefon bimbit Ummi.

Awalnya, dia telah beredar dari situ kerana ingin mengelak dari keadaan bertambah buruk. Tetapi kerana menyesali perbuatannya (mencampakkan telefon bimbit Ummi), dia kembali mencari Ummi.

Masa itulah Ummi dikatakan menyerangnya bertubi-tubi. Kata Remy, dia merasakan ada sesuatu yang mempengaruhi fikiran Ummi pada malam itu. Dalam ingin mengelak serangan Ummi, tangan Remy terkena mukanya, menyebabkan Ummi "jatuh tersembam ke lantai".

Balas dendam
Ekoran dari insiden itu, keesokan harinya, Remy dibelasah tujuh orang lelaki, dan dedahnya, salah seorang mereka merupakan ahli keluarga Ummi sendiri.

Remy Tidak Ambil Kesempatan


Remy Ishak atau nama sebenar Mohammad Zalimei bin Ishak kini semakin menjadi rebutan ramai. Secara tiba-tiba namanya meniti dari bibir ke bibir. Siapa sangka pelakon yang pernah mengundang kontroversi kerana membintangi sebuah filem pendek tentang ‘gay’ ini mula mendapat tempat di hati peminat. Tidak keterlaluan jika dikatakan Remy sekarang ini adalah ‘Hero Idaman Malaya’.

Penampilannya dalam drama bersiri popular ‘Nur Kasih’ memberi impak yang cukup besar. Kalau tidak percaya cuba tanya beberapa rakan anda. Adakah mereka meminati Remy? Dalam 10 orang, tentu lapan daripadanya memberi jawapan positif. Lakonan Remy dalam ‘Nur Kasih’ memang harus diberi pujian. Remy mempamerkan lakonan penuh penghayatan. Mungkin atas sebab itulah dia diberi peluang memegang watak Mansor Adabi dalam pementasan terbaru Erma Fatima, ‘Natrah’.

Ini adalah percubaan pertama Remy di pentas teater. Bukan itu sahaja, sebagai Mansor Adabi, Remy telah digandingkan dengan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21, Maya Karin. Pencapaian ini pasti membanggakan Remy kerana suatu ketika dahulu dia hanya bertindak sebagai pelakon tambahan ketika membintangi filem ‘Anak Halal’ yang menampilkan Maya sebagai heroin.

Memandangkan ‘Natrah’ adalah teater pertama Remy, banyaklah mata yang tertumpu kepadanya. Masing-masing mengharapkan Remy melakukan yang terbaik. Inilah peluang untuk dia menonjolkan diri dan membuktikan kepada semua yang dia memang berbakat. Selain itu, GUA juga berpendapat, peluang yang ada ini seharusnya digunakan oleh Remy untuk mencuri perhatian pengarah atau penerbit di luar sana supaya menawarkan watak hero filem kepadanya.

Namun, lain pula pendapat Remy. Dia yang ditemui selepas pementasan ‘Natrah’ baru-baru ini memberitahu yang dia tidak terfikir untuk mengambil kesempatan yang sebegitu walaupun menyedari itu peluang terbaik bagi dirinya.

“Saya tidak cuba untuk menggunakan pentas ‘Natrah’ ini sebagai medan untuk memancing minat mana-mana pihak untuk menawarkan watak hero filem kepada saya. Saya hanya menjayakan watak yang diberikan. Untuk itu, saya cuba lakukan yang terbaik. Selepas ‘Natrah’, saya akan lihat apa yang akan berlaku. Jika selepas ini ada pihak yang menawarkan watak hero filem untuk saya, saya akan terima. Bagaimanapun, saya tidak nafikan yang saya mengharapkan peluang yang lebih baik selepas ini,” jelas Remy.

Ditanya adakah dia berpuas hati dengan penampilannya dalam ‘Natrah’, Remy hanya menganggukkan kepala. Tetapi apabila dikata penampilannya tidak begitu menonjol, Remy terus mempertikaikan dakwaan itu.

“Saya rasa tidak perlu persoalkan sama ada watak saya menonjol atau tidak. Teater ini adalah tentang Natrah. Jadi 70 peratus jalan cerita adalah fakta mengenai Natrah. Mansor Adabi hanyalah lelaki yang menjadi suami Natrah. Untuk naskah ini hanya itulah fakta tentang Mansor Adabi yang dipertontonkan kepada audiens. Saya hanya menjayakan watak tersebut. Saya tidak kisah kalau orang kata Mansor Adabi tidak menyerlah. Cerita ini berdasarkan fakta dan sudah tentu ia tidak boleh menyeleweng hanya semata-mata untuk menyedapkan jalan cerita,” luah Remy memberikan pendapatnya.

Diminta bercerita tentang pengalamannya bergandingan dengan Maya Karin pula, Remy memberitahu yang dia senang bekerja dengan Maya.

“Bagi saya Maya adalah pelakon yang sangat bagus. Saya sangat beruntung dapat bergandingan dengan dia. Memandangkan kami sama-sama pertama kali berlakon teater, saya dan dia banyak berbincang untuk menjayakan lakonan kami. Kami sama-sama belajar. Saya kagum dengan kebolehan Maya menjiwai watak Natrah yang berusia 13 tahun biarpun usianya jauh lebih dewasa.”

Masih sendiri
Suatu ketika dahulu, Remy pernah digosipkan mempunyai hubungan cinta dengan pelakon wanita, Ummi Nazeera. Mereka dikatakan sedang hangat bercinta walaupun seringkali menafikan. Namun kemesraan yang dipamerkan oleh pasangan ini menceritakan segalanya.

Sebelum berlakunya insiden dia dibelasah Jumaat lalu, perhubungan mereka dipercayai sesetengah pihak sudah terlerai di tengah jalan. Bila GUA cuba mendapatkan kepastian, jawab Remy, “Saya tidak pernah memberi kenyataan yang saya sedang bercinta dengan Ummi. Sebaliknya, saya hanya mengakui dia adalah teman rapat. Tidak lebih daripada itu.

“Jadi tidak ada isu kami telah putus cinta. Buat masa ini, saya masih sendiri. Belum ada yang bertakhta di hati. Saya hanya fokus kepada karier. Mudah-mudahan tahun 2010 nanti karier saya lebih berkembang dan menjadi lebih baik,” ujar Remy mengakhiri perbualan.

Kongsi debaran


SAMA cantik, sama padan. Tetapi paling penting mereka juga sama-sama berbakat besar. Walaupun jarang digandingkan di dalam sesebuah produksi kecuali beberapa tahun lalu, Maya Karin dan Remy Ishak pernah beraksi di dalam filem Anak Halal arahan Osman Ali tetapi tahun 2009 yang bakal melabuhkan tirainya bakal menyaksikan kerjasama mereka di pentas teater Natrah.

Mungkin mereka perlu berterima kasih kepada Diana Danielle yang menarik diri daripada memegang watak Natrah kerana akhirnya watak itu dipertanggungjawabkan kepada Maya dan sekali gus pelakon jelita itu akan bersama Remy yang memegang watak Cikgu Mansor Adabi.

Kini mereka sedang rancak menjalani sesi latihan teater arahan Erma Fatima yang akan mula menemui khalayak teater mulai 30 November hingga 9 Disember. Selepas Natrah, Hip difahamkan mereka akan kembali bersatu di dalam filem terbaru arahan Osman Ali yang akan memulakan penggambaran tahun depan.

Pertama kali ke pentas berprestij Panggung Sari, Istana Budaya, pastinya mereka berkongsi debaran yang sama. Namun harus diakui biarpun berbeza jarak usia mereka - Maya, 30, dan Remy pula, 27 - mereka sebenarnya bertuah kerana menjadi pilihan Erma Fatima di samping Istana Budaya untuk menamatkan kalendar pementasan teater tahun ini.

Bersama Hip, dua pelakon yang rancak meneruskan kerjaya di dalam bidang seni ini terus mahu memantapkan trek rekod mereka termasuk membina nama menerusi medium teater. Bagi Maya, tidak timbul soal menjadi pilihan kedua kerana apa yang lebih penting ialah mencuba dan mencuri peluang yang ada di depan mata.



Menurut Maya, sebelum ini dia pernah berlakon tiga pementasan teater Inggeris berjudul Bugxymalone yang dipentaskan di Bandung pada 1995 dan dua lagi, Mahna Mahna serta In The Minds Eye di Malaysia. Lalu tidak hairan, pelakon bermata cantik ini tidak ragu-ragu menerima tawaran Erma.

“Tawaran ini saya terima sejak minggu lalu sekitar jam 4.30 pagi. SMS menawarkan peluang ini dihantar sendiri Erma dan saya harus putuskan dalam tempoh 48 jam. Keesokan hari, saya menghubunginya dan menyatakan persetujuan. Peluang yang datang ini cukup bermakna apatah lagi saya tidak mempunyai sebarang komitmen kerja yang lain.

“Malahan saya ada membaca buku Natrah ini dan pernah membuat penyelidikan mengenai wataknya ketika saya terbabit dalam penggambaran filem Hati Malaya 1957. Satu kerugian pula untuk saya menolak watak ini. Dunia teater saya tinggalkan sejak 10 tahun lalu dan siapa sangka peluang itu datang sekarang.

“Sebenarnya ketika ada ura-ura teater ini akan dipentaskan di Istana Budaya sekitar 2003 lagi, saya sudah mula berhasrat memberanikan diri untuk pergi ke uji bakat. Tapi akhirnya, semuanya menjadi lebur, apabila pementasan ini dibatalkan,” kata isteri kepada Muhammad Ali Abdullah ini.

Bagi Maya, soal bayaran bukan isu di sini kerana yang lebih penting adalah menikmati peluang berlakon teater. Jika di usia muda, mungkin dia berlakon teater sebagai mengisi masa lapang dan mencari duit poket, namun seiring dengan pertambahan usia, keterujaan berlakon teater mula berubah.


“Saya pernah mengecewakan orang selepas menolak tawaran untuk berlakon teater Di Mana Setangginya yang dipentaskan beberapa bulan lalu di Istana Budaya. Saya menolaknya kerana menyifatkan teater itu sebagai rumit dan saya sendiri tidak biasa dengan isi naskhah teater itu.

“Namun berlainan dengan Natrah kerana sejujurnya saya sudah lama mengimpikan peranan itu. Sebagai pengarah, Erma semestinya tahu apa yang diingininya dan saya sendiri bersyukur menerima tawaran ini. Malah ketika watak itu menjadi milik Diana Danielle pada awalnya, saya sendiri berasa sedih dan menganggap bukan rezeki saya,” katanya yang berharap teater ini akan menjadi permulaan untuk mencipta keserasian di antaranya dengan Remy sebelum mereka sama-sama berlakon filem arahan Osman Ali itu.

Sanggup tolak lima tawaran

SEMENTARA itu, Remy Ishak yang diberi jolokan sebagai Lelaki Melayu Terakhir oleh Erma Fatima sendiri menganggap kesempatan berharga ini harus dimanfaatkan sebaik mungkin bagi dirinya untuk terus mengukuhkan nama di persada seni.

Malah demi Natrah juga, Remy terpaksa melupakan lima tawaran berlakon. Pengorbanan harus dilakukannya demi satu tujuan yakni mencuba bidang teater yang masih baru dan terlalu hijau kepadanya.

Kata pelakon yang melonjak namanya gara-gara drama Nur Kasih itu, Natrah bukan teater pertama yang ditawarkan Erma kerana teater Sirah Junjungan 2 juga pernah ditawarkan kepadanya.

“Biarpun saya sering dikatakan mempunyai komitmen yang banyak dalam satu masa, hakikatnya, saya adalah sebaliknya kerana suka memberi fokus kepada satu kerja dalam satu masa. Saya suka memberikan yang terbaik, lalu gosip kononnya saya suka membuat banyak kerja dalam satu masa itu adalah salah.

“Saya menerima peluang berlakon teater ini kerana isi naskhah cerita Natrah sendiri. Saya tidak sanggup menghampakan Erma yang pernah menawarkan saya untuk berlakon teater Sirah Junjungan. Namun ketika itu, saya masih terikat dengan penggambaran drama.

“Saya anggap tawaran ini sebagai rezeki untuk saya terus mempelajari selok belok dunia lakonan. Saya juga pernah menghadiri latihan pementasan teater Topeng-Topeng di bawah bimbingan dan arahan Fauziah Nawi. Niat pada mulanya untuk berlakon teater itu hanya tinggal kenangan kerana saya perlu melunaskan penggambaran drama Sindarella,” katanya yang akan terbabit dalam penggambaran drama Suraya arahan Murali Abdullah.

Ditanya mengenai Erma Fatima, Remy memberitahu dia selesa berlakon di bawah pengarah yang dilabelkan sesetengah pihak sebagai garang itu. Remy turut memberitahu betapa gembira hatinya kerana pada akhirnya niatnya untuk berlakon teater menjadi kenyataan.

Info
Natrah


  • Akan dipentaskan mulai 30 November hingga 9 Disember



  • Masa persembahan, 8.30 malam dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya



  • Harga tiket, RM30, RM50, RM70, RM100 dan RM150



  • Urusan pembelian tiket boleh dilakukan dengan menghubungi Box Office, Istana Budaya di talian, 03-40265558 atau faks, 03-40265552.



  • Pembelian secara online, www.ticket2u.biz atau hubungi 03-41498600.



  • Laman sesawang Istana Budaya, www.istanabudaya.gov.my



  • Remy Ishak Segan Gelaran 'Hero Malaya'



    Jika drama bersiri 'Awan Dania' telah memperkenalkan penonton kepada pendatang baru bernama Remy Ishak, tidak salah bila dikatakan 'Nur Kasih' berjaya melonjakkan namanya di persada seni.

    Lakonan mantapnya sebagai Adam berjaya menawan hati penonton, membuatkan mereka terpacak di depan kaca TV, setiap Jumaat jam 9 malam di TV3.

    Populariti 'Nur Kasih' bukan sahaja terasa di Malaysia tetapi juga di negara jiran, Singapura. Kunjungan Remy, Fizz Fairuz dan Tiz Zaqyah ke Kota Singa baru-baru ini melihat sambutan yang di luar jangkaan.

    Kongsi Remy, pengalaman di sana membuatkan dia benar-benar terasa dirinya bagai seorang artis. "Di sini, macam biasa je bila kita keluar tetapi di sana, ke mana kita pergi, kami akan diserbu."

    Sejajar dengan peningkatan popularitinya, Remy semakin dicari pihak penerbit. Antara projek lakonannya, telemovie 'Keabadian Cinta', drama 26-episod 'Suraya', filem 'Evolusi KL Drift', 'Duhai Pari-Pari', 'Jebat', ‘Akuarium Cinta’ dan 'Jula Juli Bintang Cinta'. Terbaru, pengarah terkenal Erma Fatima telah menyunting pelakon ‘Anak Halal’ ini untuk terlibat sama dalam teater 'Natrah'.

    Satu pencapaian yang menakjubkan bila melihat pada latar belakang anak kelahiran Negeri Sembilan ini yang tiada asas lakonan, hanya bersandarkan minat pada bidang lakonan.

    Erma mengakui "jatuh cinta" dengan Remy selepas melihatnya beraksi dalam 'Awan Dania'. Cerita Erma, sukar untuk mendapatkan seorang "lelaki Melayu sejati" seperti Remy di masa ini.




    ak nampak keistimewaan pada dirinya
    Namun, bukan itu saja gelaran yang diberikan kepada Remy. Malah sudah ada yang menobatkannya sebagai bakal "hero Malaya". Orang lain mungkin berbesar hati dengan gelaran sebegitu tetapi buat pelakon kacak berkulit sawo matang ini, ramai lagi yang lebih berhak.

    "Remy tak tahu di mana kehebatan atau keistimewaan Remy. Bagi Remy, Remy biasa je," kata jejaka berusia 27 tahun ini segan.

    "Gelaran “hero Malaya” itu satu tanggungjawab besar. Rasanya ramai lagi artis lelaki yang berhak menerima gelaran ini. Mungkin ketika ini nama Remy naik sebab 'Nur Kasih' padahal Remy sebenarnya sama saja dengan orang lain."

    Di dalam 'Natrah', Remy akan membawa watak Mansor Adabi, suami Natrah. Jujurnya dikongsi dengan GUA, dia tidak tahu siapa itu Natrah, mengakui dia tidak peka dengan kisah yang berlaku di Singapura pada tahun 1950. Tetapi selepas ditawarkan watak Mansor Adabi, dia mula bertanya kepada orang-orang lama siapa Natrah.



    'Natrah' percubaan pertama Remy dalam teater walaupun sebelum ini pernah terlibat dalam sebuah pementasan di bawah arahan Fauziah Nawi.

    "Remy diberitahu jika nak belajar berlakon kena buat teater. Remy pun pergi ke Dewan Bahasa dan Pustaka, dan kebetulan pada masa itu ada latihan untuk sebuah teater arahan Kak Fauziah Nawi. Remy minta izin untuk turut serta dan Kak Fauziah benarkan. Malangnya, tiba hari pementasan, Remy tidak dapat hadir sebab masalah jadual."

    Takut Kak Erma tidak tegas
    Ditanya jika sudah bersedia bekerja dengan Erma yang semua sedia maklum seorang pengarah yang tegas, dedah Remy, lama sudah tersimpan hasrat di hati untuk berlakon di bawah arahan pengarah terkenal itu.

    Sebelum ini, Remy pernah ditawarkan Erma peluang untuk terlibat dalam teater muzikal 'Sirah Junjungan' tetapi kerana jadualnya yang ketat, Remy terpaksa menolak. Oleh itu, apabila ditawarkan watak Mansor Adabi dalam 'Natrah', Remy menerimanya tanpa berfikir panjang malah sanggup menolak beberapa tawaran lain.

    "Ramai teman artis mengingatkan Remy bahawa Kak Erma seorang yang tegas tetapi sebagai anak askar, Remy sudah biasa dididik dengan tegas.  Biasalah bila kita budak-budak, kita tak suka bila ditegur cikgu. Tapi bila dah dewasa, Remy lebih suka begitu,” kata anak kedua dari empat beradik ini.

    "Garang dan tegas itu banyak membantu. Jika kita buat salah dan tidak ditegur, sampai bila pun kita akan ulangi kesilapan itu. Remy takut jika Kak Erma tidak tegas, Remy akan gagal membawa watak Mansor Adabi dengan baik."

    Kerana terlalu gementar dengan cabaran yang bakal dipikulnya itu, Ummi Nazeera, dikatakan kekasih Remy, telah menelefon Erma untuk memaklumkannya tentang kerisauan Remy. Dan bukannya untuk meminta Erma tengok-tengokkan Diana Danielle dan Remy kerana takut mereka akan menjalin hubungan.

    Mengenai hubungannya dengan Ummi, Remy menjelaskan tiada apa-apa perhubungan di antara mereka. "Setakat kawan saja dan Remy tiada sesiapa yang serius. Remy sangat sibuk dan buat masa ini nak fokus pada kerjaya."

    Tak lekang dek kontroversi
    Sibuk - itulah alasan yang selalu diberi Remy tatkala pihak media ingin menemuramah atau menjalani penggambaran foto. Dengar kata bila dihubungi para wartawan, selalunya panggilan itu tidak dijawab.

    "Remy masih baru dalam bidang lakonan, jadi bila tengah menjalani penggambaran, Remy tak suka diganggu kerana Remy tak berhak memberi masalah kepada produksi.

    "Biasanya, telefon akan ditinggalkan di dalam beg atau diletaknya 'silent'. Itu yang buat orang salah faham. Remy cuba elak dari sebarang masalah kerana kadang-kadang bila tersilap sikit, orang dah mula bercakap."

    Tambah Remy, kontroversi dilihat sebagai sesuatu yang biasa bila sudah bergelar artis tetapi tidak pernah digunakannya untuk menaikkan namanya.

    "Bagi Remy, ia strategi yang salah sebab akhirnya, kita yang kena. Remy serius dalam bidang lakonan dan Remy ingin buktikan kemampuan Remy melalui bakat. Sebelum ini orang mungkin gelak bila mendengar Remy bercakap begitu tapi nampaknya, Remy sudah berjaya buktikan bakat Remy. Jika ada yang tidak pasti sejauh mana Remy boleh pergi, sekarang mereka sudah dapat lihat,” katanya mengakhiri perbualan.