Misha Tak Tergugat Dengan Bakat Baru

Monday, November 23, 2009 marina 0 Comments


Siapa yang tidak tertawan dengan persembahan Misha Omar di Separuh Akhir Muzik-Muzik malam semalam? Mengenakan baju kebaya perak-firus yang memukau mata, rekaan Saiful Baharin, ditambah pula dengan lenggok badan dan mainan matanya, GUA terpukau melihat Misha mendendangkan lagu "Cinta Adam & Hawa".

Kongsi Misha selepas pengumuman 14 lagu yang berjaya memasuki Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-24, dari awal lagi dia berazam memberikan satu persembahan yang "menyamankan". Sebab itu, dari pemilihan pakaian, suara dan personaliti, itulah yang cuba ditonjolkannya.

Dan nampaknya, apa yang diazamkannya itu berjaya. Tatkala ditanya persembahan siapa yang paling sukar dilupai malam tadi, sudah pasti jawapannya, Misha.

Mungkin juga ini terlahir dari keyakinan yang hanya ada pada seseorang artis yang lebih berpengalaman dan sudah dua kali menang di AJL. Tapi diakui Misha, gabrah juga saat menanti pengumuman 14 lagu yang layak ke AJL24. Namun begitu, baginya, lagu tulisan arwah Loloq ini memang layak.

"Saya sempat berbual dengan arwah dan menurutnya, lagu ini mengenai manusia, kembali ke fitrah asal kita, sebagaimana kita diciptakan dan mengaitkannya kepada kehidupan. Siapa Adam untuk kaum Hawa dan sebaliknya. Besar maksudnya.

“Melodinya pula (dari komposer Azmeer) sangat unik dan susah untuk dilagukan. Bukan saja bahagian tinggi tetapi bahagian rendah juga saya perlu berhati-hati," kata Misha yang menjanjikan satu persembahan yang memberi lebih impak ketika di AJL24 nanti agar mesej lagu ini dapat difahami.

Tambahnya lagi, selepas "Cinta Adam & Hawa" berjaya mencipta sejarah di Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-16, dia berazam untuk membawanya ke AJL, dan nyata dia telah berjaya.

Bakal bersaing dengan bakat-bakat baru di pentas AJL24 nanti, buat Misha "inilah baru dikatakan industri muzik. Bila orang lama seperti saya dapat berkongsi pentas dengan anak-anak muda, saya rasa bangga. Kira, masih relevan-lah saya walaupun dengan arus muzik baru.

"Bila kita sudah berdiri sebaris dengan mereka, ia bermakna kita ada kekuatan tersendiri. Saya mewakili artis yang mempunyai jati diri. Tak kira apa citarasa baru dalam industri muzik, kita (artis yang lebih berpengalaman) masih ada di sini. Kita tak perlu rasa tergugat. Saya bangga walaupun di celah-celah orang muda."

0 ayat cinta: