Bintang AF Dominasi Separuh Akhir 2

Monday, November 16, 2009 marina 0 Comments


Bagaikan sebuah konsert Akademi Fantasia (AF) begitulah suasana yang tercetus dalam pertandingan Separuh Akhir Muzik Muzik (Bahagian 2) di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam tadi.

Daripada 11 lagu yang dipertandingkan, 7 daripadanya telah dipersembahkan bekas bintang AF termasuklah juara AF musim 6 iaitu Stacy yang mendapat sorakan paling meriah daripada peminat yang berada di dalam dewan tersebut.

Suasananya lebih terasa apabila bebeberapa bintang AF ini turut mendapatkan sokongan padu daripada ahli kelab peminat mereka bersama sepanduk yang tertera nama dan wajah mereka.

Begitu pun, barisan juri telah sebulat suara  memilih Aurora nyanyian kumpulan Estranged, Pakai Buang (Stacy), Seadanya Aku (Nubhan), Bengang (Akim) dan Aku Rindu Sayang Kamu (Black) sebagai lagu Top 5 dalam pertandingan itu.

Namun keputusan malam tadi bukanlah muktamad  kerana ia bergantung juga kepada persembahan artis lain pada minggu seterusnya. Dengan erti kata lain, pemilihan 14 lagu ke final akan diketahui selepas melihat kedudukan markah selepas 3 minggu Separuh Akhir bersiaran.

Barisan juri yang bertugas adalah komposer Helen Yap, Azman Abu Hassan, penulis lirik Mohariz Yaakob, novelis Ahadiat Akashah serta Azhar Borhan selaku Ketua Juri.

Format permarkahan pertandingan separuh akhir ini adalah berdasarkan 30 peratus markah persembahan pada malam pertandingan dicampur dengan 70 peratus penilaian yang dibuat sebelum persembahan.

Lagu lain yang gagal berada di dalam senarai Top 5 ini adalah Tahu Tak Tau Berjoget (Jinbara), Ku Pinjam Satu Bintang (Riz & Alyah), Fikirlah (Aizat), Khatimah Cinta (6ixth Sense), Cinta Gila (Grey Sky Morning) serta Benar-Benar (Adam).

Separuh Akhir Bahagian 3 pula akan diadakan pada di tempat yang sama minggu depan (20 November). Antara artis yang bakal mempertandingan lagu mereka adalah Bunkface, Tomok, Jinbara, Stacy, Aizat, Faizal Tahir dan Misha Omar.

0 ayat cinta: