Showing posts with label Tiz Zaqyah. Show all posts

Tiz Tak Tahu Fasha Serang Siapa Di Twitter


Terkejut Tiz Zaqyah apabila ramai yang menganggap dia adalah pelakon wanita yang diserang oleh Fasha Sandha di dalam laman Twitter sepanjang 2 minggu lalu.

Lebih mengejutkan Tiz apabila serangan itu dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati Fasha terhadapnya apabila dia dikatakan mahu merampas teman lelakinya, Rizal Ashram atau Jejai.

Yang mana kononnya, Tiz telah menghantar satu pesanan sms kepada Jejai yang telah dihantar sekitar jam 4 pagi yang mana dia telah mengajak Jejai keluar ke Subang Jaya sekitar jam 4 pagi.

Tidak cukup dengan itu, Tiz juga dikatakan telah dihadiahkan sebuah kereta oleh Jejai. Lanjutan daripada itu, Fasha dikatakan telah menyerang Tiz di laman Twitter.

Ketika dihubungi murai.com,my, Tiz nyata terkejut apabila diajukan mengenai kontroversi tersebut.
"Kebelakangan ini saya memang agak di lokasi, Jadi, saya langsung tidak tahu-menahu dengan kes ini. Tapi, saya akui ramai reporter yang cari saya untuk bertanyakan hal ini. Apa yang saya boleh katakana antara saya dan Fasha, kami okey.

"Tapi, saya akui kami memang dah lama tak jumpa. Maklumlah saya sibuk, dia pun sibuk. Jadi, kami takde kesempatan untuk bertemu,"katanya lagi.

Ditanya adakah pelakon wanita yang dimaksudkan Fasha itu adalah dirinya, Tiz berkata, tidak mungkin.
"Sebab saya memang tak tahu menahu tentang perang twitter tersebut. Saya juga tidak punya kaitan apa-apa dengan BF Fasha . Lagipun, kami semua bergaul dalam lingkungan rakan-rakan yang sama.

"Jadi, saya tak tahu siapa yang dimaksudkan Fasha itu. Mungkin, orang lain," katanya.
Jelas Tiz lagi, sebaik saja diberitahu tentang perang twiter yang mengaitkannya dengan Fasha itu, dia hanya mampu tertawa.

"Sebab, apa yang boleh saya katakan, setiap kali ke mana-mana, ibu bapa saya tahu saya buat apa dan mereka juga tahu dengan siapa saya berkawan. Malah, kawan-kawan saya juga selalu bersama saya. Jadi, mereka sentiasa tahu pergerakan saya," katanya.

Tentang beberapa kenyataan yang diletakkan di twitter yang bunyinya seperti membalas serangan Fasha, Tiz berkata, kalau sesiapa yang sering mengikuti twitternya, mereka akan tahu bahawa dia memang gemar meletakkan ayat-ayat yang bermakna.

"Mungkin dari situ timbulnya salah faham. Tetapi, tidak. Apa yang saya letakkan di twitter saya memang tidak ada kena mengena dengan Fasha atau sesiapa pun,"katanya.

Sambung Tiz lagi, dia bagaimanapun pelik mengapa ramai yang menyangka bahawa orang yang dimaksuskan Fahs itu adalah dia.

"Paling kelakar bila ada orang kata BF Fasha hadiahkan saya kereta. Lesen memandu pun saya tidak ada, macam manalah saya nak pandu kereta. Kalaupun saya ada lesen memandu nanti, mungkin ayah dan ibu saya yang akan mengeluarkan separuh duit mereka untuk belikan kereta untuk saya dan separuh lagi saya yang bayar sendiri," katanya mengakhiri perbualan.

Tiz Zaqyah, watak solehah dan gambar seksi






Bersosial tidak bermakna Tiz liar. Tiz seorang yang selamba tetapi tidak bermakna Tiz mudah untuk dipijak kepala
- Tiz Zaqyah







NAMA Tiz Zaqyah tiba-tiba meletup. Dia meletup bukan kerana mendapat gelaran Datuk atau memenangi anugerah. Pertama Tiz meletup kerana watak alim dalam drama Nur Kasih arahan Khabir Bhatia.

Kedua, kerana gambar seksinya di sebuah kelab hiburan tersebar di Internet. Ini yang membuatkan namanya menjadi bualan.

Kerana itu biar pun baru empat tahun menjadi artis, Tiz menempatkan namanya sebaris dengan bintang popular lain kerana kontroversi gambar seksinya.

Dalam tempoh empat tahun sebagai pelakon, Tiz terlibat dalam drama Impian Ilyana, Bernafas Dalam Lumpur, Gol & Gincu serta Putih. Wataknya dalam drama itu sekadar sampingan.

Tetapi hari ini Tiz Zaqyah mampu melonjakkan namanya dek kerana kekuatan lakonan dalam Nur Kasih itu.

Gadis berasal dari Kuala Lumpur ini mengakui dia merupakan artis beruntung. Masa awal-awal dahulu tiada siapa pun yang ambil peduli tentang Tiz.

Sekarang semuanya sudah berubah. Nama Tiz cukup dikenali. Watak bertudung dalam Nur Kasih berjaya memikat golongan ibu-ibu dan makcik-makcik yang jatuh hati dengan wajah ayunya itu.
Nampak suci dan baik sahaja. Ironinya pada masa yang sama juga gambar seksinya di majlis sosial diedarkan di Internet. Namun, ada juga di kalangan mereka yang sudah memasang cita-cita untuk bermenantukan pelakon ketinggian 5 kaki 3 inci ini.

"Tidak nafikan populariti sekarang bagaikan kejutan buat Tiz. Bila orang mula bercakap tentang Tiz sebenarnya ada kesan sampingan. Kalau orang berniat baik, mereka sokong apa sahaja yang Tiz lakukan.
"Kalau tidak, mereka cuba menggali semua kelemahan atau keburukan Tiz dan sebarkan kepada semua," kata Tiz atau Siti Zaqlah Abdul Razak ini.

Kerana itulah gambar Tiz yang sedang "bersosial" di pusat hiburan bersama beberapa teman tersebar di Internet awal tahun lalu. Gambar itu tersebar ketika Nur Kasih disiarkan di TV3.

Bukan gadis liar
Benar kata orang, sekeping gambar membawa seribu cerita. Gambar-gambar yang tersebar menggambarkan Tiz gadis yang begitu bebas. Pakaian di tempat berkenaan juga memang seksi dan berbeza dengan watak Nur Amina yang solehah dan bertudung litup.

Tiz berulang kali menjelaskan dia tidak terlibat dengan aktiviti kurang sihat itu walaupun gambarnya dilihat oleh orang ramai menerusi Internet.

Sementara penulis blog yang menyiarkan gambar itu pula menggunakan ayat keji dan turut mengaitkan perbuatannya itu dengan kekurangan didikan daripada ibu bapa.

"Tiz belajar daripada kesilapan. Tiz beruntung kerana punya ibu bapa yang memahami. Mereka sentiasa mengingatkan bahawa dunia artis ini berbeza. Apa yang kita lakukan dipantau dan dijadikan bualan semula. Gambar itu diambil sebelum Tiz menjadi artis lagi."

"Apa motif penyebaran tidak diketahui tetapi ia seakan-akan mahu menjatuhkan karier Tiz yang baru bermula. Bersosial tidak bermakna Tiz liar. Tiz seorang yang selamba tetapi tidak bermakna Tiz mudah untuk dipijak kepala," tegas peminat muzik jazz ini.





Tiz Zaqyah







Biar apa pun cabaran ditempuh, Tiz tidak mudah mengalah atau berundur. Drama Nur Kasih masih belum menemui titik noktah tetapi rezeki pelakon berbintang Scorpio ini mencurah-curah. Tiz tetap menerima tawaran berlakon.

Antaranya telefilem Korban Kasih Marisa yang baru sahaja selesai sesi penggambarannya. Walaupun hanya sebagai pelakon undangan tetapi penampilannya memberi kesan apabila ditayangkan pada Hari Raya Aidiladha ini.

Tiz juga tidak menetapkan sebarang syarat untuk melakonkan watak yang diingini penerbit. Tiz bersedia melakonkan apa-apa watak yang boleh mencabar kredibilitinya. Semakin berat watak itu bermakna semakin banyak kajian yang perlu dibuat.

Soal bayaran bukan utama buat gadis berusia 21 tahun ini. Apa yang penting baginya adalah bakat dimilikinya dan ia tidak boleh dikompromi. Sasaran Tiz adalah watak yang dibawakannya berkesan di hati penonton. Gadis ini mahu menyemarakkan persada seni lakonan tanah air dengan kehadirannya.

Gadis tomboi
Melihat pada penampilan gadis berkulit putih kuning ini seakan tidak percaya bahawa Tiz tomboi pada zaman sekolahnya. Ingatkan Tiz seorang yang beauty conscious bila dilihat pada mulus kulitnya. Yalah gadis remaja sekarang amat prihatin tentang kecantikan diri dari hujung kepala hingga hujung kaki.

Disebabkan sikap kasarnya itu, Tiz tidak mempunyai sebarang hubungan cinta dengan sebarang lelaki. Zaman persekolahannya dilalui dengan penuh warna-warni apabila banyak terlibat dengan aktiviti lasak.

"Bila perwatakan Tiz seperti tomboi, mana ada orang lelaki nak jiwang lebih pada kita. Ajak bergaduh adalah. Entahlah, dari mana datangnya perangai itu? Emak Tiz pun pening kepala bila disuruh pakai skirt, terus Tiz cabut lari sebelum kena membebel," ujar anak bongsu daripada dua beradik ini.

Apabila ditanya bagaimana gadis keturunan Betawi ini boleh berubah ke arah lebih kewanitaan, Tiz memberitahu ia berlaku secara semulajadi.

Bercerita tentang jejaka idamannya, Tiz berkata, dia mengimpikan seorang lelaki mempunyai perwatakan seperti Brad Pitt - kacak dan bergaya. Katanya, walaupun ia hanya boleh diperoleh dalam mimpi sahaja tetapi dia tetap mengaguminya.

Secara jujurnya, Tiz mengatakan bab memilih kekasih masih terlalu awal untuk dibicarakan. Kalau boleh dia mahu ketepikan buat sementara waktu. Tetapi syarat utamanya adalah bakal kekasihnya boleh menerima apa sahaja yang ada pada Tiz seadanya.