Showing posts with label Ask. Show all posts

1001 Gaya Padang Pasir ASK2009


Selepas majlis persandingan gala Raja SMS, Mawi bersama Ekin yang menonjolkan tema Hikayat 1001 Malam tahun lalu, Anugerah Skrin 2009 (ASK2009), baru-baru ini juga enggan ketinggalan menggunakan tema serupa.


Bagaikan berada di Timur Tengah, rata-rata tetamu yang hadir tampak begitu gah dengan persalinan indah berwarna-warni serta berkilauan, malah tidak ketinggalan juga ada yang tampak canggung kerana tidak mengikut tema majlis.


Laluan permaidani merah ASK2009 bukan saja diperhebatkan dengan penampilan seorang demi seorang selebriti yang mendapat perhatian ratusan lensa kamera. Sebaliknya Hikayat 1001 Malam disemarakkan lagi dengan kemunculan beberapa pasangan selebriti yang hadir persis raja dan permaisuri padang pasir.

Antara pasangan yang menarik perhatian seperti Que Haidar bersama Linda Jasmine, Fouziah Gous & Iqram Dinzly, Zamarul Hisham & Linda Rafar, Lisdawati & Fauzi Nawawi, Ery Putra & Lana Nordin, Fiz Fairuz & Almy Nadia serta Nabil & Irma Hasmie.


Linda Jasmine yang berkulit putih itu memang anggun dalam setiap peragaan namun suaminya, Que, hanya memilih fesyen moden tetapi diserlahkan dengan celak mata. Mereka tiga beranak lebih tertarik memilih rona serba hitam.  Linda menyerlah dengan kaftan labuh dari Kapas bersama hiasan kepala. Satu gandingan yang tampak moden dan mewah.


Lisdawati yang masih dalam pantang juga tidak mahu ketinggalan melaram dengan pilihan warna hijau mempesona. Fauzi kelihatan menawan dalam gandingan fesyen Parsi-Arab.


Penampilan dua sahabat baik, Fouziah dan Iqram sentiasa tidak mengecewakan. Jika Fouziah lebih selesa menyerlahkan sedikit bahagian bahunya dengan persalinan rekaan Wan Huzairil, Iqram pula tampil segak berserban sebagai jejaka idaman ramai.


Rona jingga memberi kontras cukup berjaya buat Linda Rafar dan aktor lelaki Fiz Fairuz. Berbanding Fiz yang segak lengkap bersama tarbus emas, apatah lagi di sebelahnya ditemani si cantik manis, Almy Nadia.


Fesyen sedang meningkat naik, Amir Luqman cukup bernasib baik kerana berpeluang menggunakan balapan ASK2009 untuk menterjemahkan hasil rekaan muslimah Timur Tengah kepada 3 aktres popular - Lisa Surihani, Nabila Huda dan Intan Ladyana.


Panorama padang pasir ASK2009 juga turut disensasikan dengan penampilan hangat aktres Rozita Che Wan yang berpakaian bagaikan wanita Gipsi nakal.


Namun tiada siapa yang dapat menandingi kejelitaan Datin Ziela Jalil, diiringi anak-anaknya. Meskipun memilih jubah hitam, tapi pelakon dan produser ini bijak memilih perincian elemen harimau kumbang disepadankan dengan kasut dan tas tangan rekaan pereka antarabangsa, Giuseppe Zannoti dari elemen safari itu.


Kepada yang kurang arif untuk menyepadankan tema Hikayat 1001 Malam, ini adalah sedikit panduan untuk tidak lari dari tema berkenaan. Kepada si hawa, suaikan anting-anting chandelier bermotifkan Mediterranean atau bersaiz besar bersama skaf kepala dari fabrik cifon.


Mungkin rantai emas sarat berobjek bulat (duit syiling) boleh menghiasi persalinan anda di pinggul, dada atau pergelangan tangan. Si jejaka, padankan kemeja atau sut dengan lilitan kain serban bermotif petak di leher. Atau jika berani tambahkan celak di bawah mata. Pasti tiada yang akan memandang semacam penampilan anda

Siapa Bakal Julang Trofi ASK2009?


Jumaat ini satu lagi majlis berprestij akan meledak iaitu Anugerah Skrin 2009 (ASK2009). Setiap tahun kita sentiasa melihat produk-produk hiburan daripada semua stesen TV dipertandingkan bersama anugerah perfileman  yang dibuat untuk beberapa kategori.


Seperti yang 'dijanjikan' pihak penganjur Media Prima Berhad (MPB), anugerah ini bukan anugerah antara stesen TV di Malaysia, sebaliknya adalah pertandingan program hiburan atau produk seni sepanjang tahun ini. Jadi Murai Batu harap, pihak juri profesional yang telah dilantik akan menilai dengan seadil-adilnya siapa yang layak menang tanpa terpengaruh dengan stesen-stesen TV di bawah MPB.


Bagi Murai Batu, penganjuran itu sendiri dah satu kemenangan buat MPB kerana anugerah ini mampu menjana dunia hiburan ke arah yang lebih dan berkualiti lagi.

Baiklah, kali ini Murai Batu bukanlah cuba hendak buat ramalan siapa yang menang sebab Murai Batu sendiri tak sempat melihat kesemua drama dan program TV yang dipertandingkan. Tapi untuk kategori filem Murai Batu meletakkan juga sedikit harapan kepada beberapa pelakon yang sempat Murai Batu tonton filem mereka di panggung.

Antara yang menjadi pilihan Murai Batu tahun ini adalah pelakon Eman Manan untuk filem Wayang, Adik Hadziq (Syurga Cinta) dan Nabila Huda (Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam). Bagi Murai Batu, kalau mereka tak menang mana-mana kategori  pun, sekurang-kurangnya Murai Batu percaya mereka akan memberikan saingan kepada pelakon-pelakon lain.


Dari segi tema, Murai Batu nak tengok juga sejauh mana menariknya tema Hikayat 1001 Malam yang akan mewarnai malam kemuncak ASK2009 kelak. Hai, siapa agaknya yang akan pakai tarbus, jubah, mahupun baju penari gelek 'fadang fasir'. Bagi artis yang sempat mengikuti Minggu Fesyen Islamik yang baru berlangsung di KL, mungkin mereka boleh juga cilok idea-idea segar daripada pentas catwalk itu

Penangan ASK


JUMAAT ini, bakal terjawab segala debaran Anugerah Skrin (ASK) 2009 yang sudah mula terasa bahangnya bagi setiap calon awal yang barangkali nama atau karya serta lakonan mereka sudah disenarai pendek untuk bersaing. Diperkenalkan sejak 1995, ASK terus dianggap antara pemangkin memartabatkan legasi karya tempatan.

Bersempena dengan kehadiran anugerah berprestij itu yang bakal dipancarkan secara langsung dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menerusi saluran rasminya, TV3, Hip satukan tiga nama besar yang barangkali mempunyai peluang cerah untuk berada dalam kelompok lima terbaik bagi kategori yang dipertandingkan.

Bersesuaian dengan tema, Hikayat Seribu Satu Malam atau Arabian Nights, mereka yang dimaksudkan, Fizz Fairuz, Lisdawati dan suaminya, Fauzi Nawawi ditampilkan menepati apa yang perlu digayakan pada malam kemuncak itu nanti. Sekali pandang, Fizz dan Fauzi seperti karakter filem Ali Baba Bujang Lapuk, Sinbad dan Aladdin.

Manakala Lisdawati yang masih dalam proses berpantang dan sudi memberikan kerjasama untuk melunaskan sesi fotografi ini cukup anggun seperti watak Marjina di dalam Ali Baba Bujang Lapuk atau Puteri Jasmine (Aladdin). Berbanding Lisdawati, Fizz dan Fairuz agak asing dalam sejarah penganjuran ASK kerana kedua-duanya belum pernah tercalon sebelum ini.

Bagi Lisdawati, namanya sudah beberapa kali terpahat dalam pencalonan ASK, malah namanya pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi drama Miftahul Jamilah pada 2005. Paling jelas, tahun ini juga pasti menyaksikan dia dan suaminya sama-sama berentap jika menjadi finalis.

Potensi Lisdawati yang baru saja melahirkan anak keduanya, Nur Aina Fazneesya, 5 November lalu untuk tersenarai dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dilihat kuat apatah lagi drama lakonannya Terlerai Takbir Kasih arahan Mohd Heykal mempunyai kekuatan tersendiri.

“Jika sebelum ini, nama saya tercalon untuk watak protagonis, tapi tahun ini drama Terlerai Takbir Kasih memerlukan saya menjadi sangat antagonis. Saya tidak menaruh harapan yang tinggi, menang atau kalah itu satu bonus. Memadai kalau sudah tercalon di antara banyak drama dan deretan pelakon yang dipertandingkan,” katanya yang bersalin secara normal untuk anak keduanya itu.

Jelas kelihatan naluri keibuannya cukup terserlah. Malah kemesraan antara dia dan suaminya juga sudah cukup menjadi bukti betapa bahagianya pasangan ini. Biarpun mereka seperti pasangan lain yang tidak lepas diuji kononnya rumah tangga mereka bergoncang.

“Anak ini menjadi bukti menidakkan cakap-cakap orang selama ini. Masa juga berjalan dengan begitu pantas biarpun kami tidak merancang untuk memiliki anak dalam masa terdekat. Semuanya adalah rezeki Yang Maha Esa. Anak sulung kami kini sudah ada teman.
“Untuk anak kedua ini, baru saya mula terasa nikmat dan perit getir melahirkan anak kerana anak pertama dilahirkan secara pembedahan. Seperti biasa kini, saya masih melakukan proses meminum jamu, bertungku dan mengurut,” kata duta Slim World ini.

Rezeki murah sejak beranak

MANAKALA bagi Fauzi Nawawi pula, rezekinya dan isteri juga semakin murah selepas melahirkan anak. Sambil berseloroh dan mengerling ke arah Fizz, Fauzi menasihatkan kepada rakan artis lain untuk cepat kahwin kerana kehadiran anak akan terus menambah seri dan jaminan dalam kehidupan.

“Saya harus bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya termasuk kehadiran dua orang cahaya mata kami terus membuatkan saya lebih menghargai kehidupan mendatang. Alhamdulillah, ada saja tawaran berlakon yang datang.

“Ketika ini saya sedang melunaskan baki penggambaran drama Na O Mei bagi siaran TV3 dan sekuel drama Jangan Pandang Belakang untuk RTM. Insya-Allah, saya akan menjalani penggambaran filem Ratu dan Bravo 5 tak lama lagi. Untuk Ratu, inilah kali pertama saya bekerja dengan Prof A Razak Mohaideen.

“Untuk Bravo 5 pula, saya akan berlakon sama dengan Fizz dan penggambaran dijangka bermula pada Februari depan. Kali pertama saya berlakon dengan Fizz ialah menerusi filem Orang Minyak. Harapnya kerjaya saya pada 2010 akan terus murah rezeki,” kata Fauzi.

Mengenai drama Takbir Rindu yang turut tercalon dalam ASK 2009, Fauzi berkata drama yang disiarkan Aidilfitri lalu mempunyai mesej yang kuat terutamanya mengenai kasih bapa dan anak. Dalam drama itu, Fauzi bergandingan dengan Jasmin Hamid yang melakonkan watak sebagai suami yang mengalami tekanan jiwa.

ASK mencari yang terbaik

KEKASIH hati Almy Nadia, Fizz Fairuz pula dilihat antara generasi pelapis yang terus menyemarakkan persada seni. Malah drama Nur Kasih lakonannya sebagai Aidil turut membantu memuncakkan lagi popularitinya.

Kata Fizz yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama Jangan Bunuh Matahariku bersama Rita Rudaini, dia sering hadir memberi sokongan kepada majlis anugerah seperti ASK dan bagaimanapun tidak yakin namanya akan tersangkut buat kali pertama untuk pencalonan tahun ini.

“Kalau tercalon, ia pastinya akan terus menjadi motivasi serta bonus buat saya mempamerkan yang terbaik pada masa mendatang. Saingan kali ini pun cukup hebat dan saya tidak meletakkan apa-apa kepercayaan untuk berada dalam kelompok lima terbaik.

“Usia pembabitan seni saya sejak lapan tahun lalu juga masih baru kalau mahu diukur dengan pelakon lain. Kewujudan anugerah seperti ASK ini sebenarnya menjadi nadi penggerak untuk kita sebagai anak seni memberikan serta mendapatkan gelaran yang terbaik dalam setiap produk yang dipertontonkan kepada penonton,” katanya yang turut akan bergandingan dengan Tiz Zaqyah sebagai penyampai trofi.

Untuk ASK 2009, drama Tak Serupa Tapi Sama arahan Murali Abdullah menyaksikan Fizz memegang watak lelaki alim yang terlalu taksub dengan ajaran Islam hingga terpesong dari landasan sebenar. Pada masa yang sama, keluarganya di kampung juga lebih fanatik daripadanya hingga dia mula tersepit dan tersedar dari lamunan.

“Saya tidak mampu menidakkan drama ini juga barangkali boleh memberi saingan sengit untuk berada dalam kelompok kategori Drama Terbaik atau pun Pengarah Terbaik. Kita tunggu saja keputusannya nanti,” kata Fizz yang turut memiliki restoran makanan laut, Kasih Tania Seafood di Ketari, Bentong.

Tambah Fizz lagi, besar kemungkinan dia dan Almy akan menggayakan rekaan Busana Anggun pada 4 Disember ini.

INFO: ASK 2009

  • Tahun ini turut diperkenalkan dua anugerah baru iaitu Videografi Terbaik

    dan anugerah khas juri yang dipanggil sebagai Anugerah Yasmin Ahmad tajaan khas Silky.




  • Antara artis yang dijangka membuat persembahan ialah Datuk Siti Nurhaliza, One Nation Emcees, Misha

    Omar, Jamal Abdillah, Awie, Tia Jinbara, Aizat, Azlan & The Typewriter, Jaclyn Victor dan Black Mentor.




  • 24 anugerah yang dipertandingkan termasuk kategori filem dan drama.




  • Dihoskan Afdlin Shauki dan Fara Fauzana




  • Boleh ditonton di TV3 mulai jam 9 malam atau didengari menerusi frekuensi stesen radio Hot FM