Liyana Jasmay: Saya Boleh Nyanyi

Sunday, November 22, 2009 marina 0 Comments


Bakat lakonan yang dimiliki oleh anak gadis ini memang tidak boleh dinafikan. Buktinya, Liyana Jasmay dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-22 menerusi filem ‘Papadom’. Satu demi satu kejayaan dicipta oleh pelakon berusia 21 tahun ini.

Ketika namanya melonjak naik, Liyana atau panggilan mesranya Nana memanjangkan langkah dengan terjun ke dunia nyanyian. Single pertamanya yang berjudul “Aku Tak Percaya Cinta” ternyata berjaya mencuri perhatian peminat muzik tanahair. Terutamanya di kalangan remaja. Lagu yang bercorak alternatif pop rock itu menjadi kegilaan remaja walaupun dikatakan mirip dengan lagu dendangan Avril Lavigne, “Girlfriend”.

Dalam masa yang sama, pelakon dan penyanyi berusia 21 tahun ini teruk dikecam oleh sesetengah pihak kerana dikatakan tidak boleh menyanyi dan syok sendiri. Namun, semua kritikan ini tidak melemahkan semangat Nana. Malah, dia terus maju ke hadapan apabila muncul dengan mini album yang memuatkan lima buah lagu termasuk “Aku Tak Percaya Cinta”.

Ditemui selepas majlis pelancaran album itu di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur petang semalam, Nana memberitahu dia sangat gembira kerana akhirnya album itu dapat dilancarkan setelah beberapa lama tertangguh.

“Saya sangat gembira kerana akhirnya album ini dapat dilancarkan setelah tertangguh dari bulan Jun lalu. Bukan kerana ada masalah dengan rakaman, tetapi kesibukkan saya dalam lakonan yang melengahkannya. Harap-harap album ini mendapat sambutan baik di kalangan peminat. Ini kerana saya sangat puas hati dengan album ini. Saya dapat apa yang saya mahukan. Semua yang terlibat dalam  penerbitan album ini memberikan kerjasama yang baik. Malah, Abang Ajai juga sudi berbincang dan mendengar pandangan saya. Abang Ajai mencipta lagu “Aku Jatuh Cinta” yang merupakan single kedua selepas “Aku Tak Percaya Cinta”,” jelas Nana.

Ditanya adakah kemunculan album itu kerana dia ingin membuktikan pada semua yang dia boleh menyanyi, Nana menjelaskan itu memang niatnya.

“Saya tahu sebelum ini ramai yang mempertikaikan kebolehan menyanyi saya. Ramai yang kritik, kata saya sebenarnya tidak boleh menyanyi. Jadi, dengan adanya mini album ini saya harap ia dapat membuka mata mereka. Biar mereka tahu yang saya sebenarnya boleh menyanyi. Tetapi tidak kisahlah, saya sudah lama bersedia untuk dikritik. Biarlah apa orang nak kata. Dulu masa saya mula-mula berlakon pun, ramai yang kata saya tidak boleh berlakon. Lama-kelamaan, pasti orang akan senyap,” jawab Nana terus-terang.

Diminta mengulas tentang cakap-cakap yang mengatakan dia syok sendiri dan buat album kerana ada duit, Nana hanya menjawab, “Biarlah apa orang hendak kata. Sesiapa yang ada duit pun akan buat benda yang sama. Macam saya, saya hendak buat album. Jadi apa masalahnya?

Tiru Avril Lavigne?
Sama ada anda perasan atau tidak, lagu “Aku Tak Percaya Cinta” ada persamaannya dengan lagu “Girlfriend”, dendangan Lavigne. Adakah perkara ini disengajakan atau sebaliknya? Mungkinkah juga kerana Nana terlalu taksub dengan Lavigne?

“Saya bukan hendak meniru Avril Lavigne. Saya pilih muzik alternatif  pop rock kerana ia sesuai dengan jiwa saya sekarang ini. Lagipun, saya memang ‘target’ untuk popular di kalangan remaja dan juga kanak-kanak. Golongan ini memang suka muzik yang berentak rancak dan ‘catchy’. Sebenarnya saya suka dengan Miley Cyrus. Dalam usia yang cukup muda, dia sudah ada segala-galanya. Saya rasa Miley cukup bijak, kalau boleh saya mahu berjaya seperti dia,” jelas Nana lagi.

Menariknya mengenai album ini, Nana turut menulis lirik untuk lagu “Penyelamat Cinta” yang digubah oleh ‘teman baiknya’, Aizat. Malah mereka berdua turut berduet menerusi lagu ini. Pasti ramai yang tidak sabar-sabar mahu mendengar lagu ini bukan? Maklumlah ramai yang sudah tahu Nana dan Aizat sedang bercinta, walaupun kedua-dua mereka masih tidak mahu mengakui.

“Lagu itu saya tulis bukan untuk Aizat. Ia untuk sesiapa sahaja yang melalui pengalaman yang sama. Sejujurnya, ketika lagu itu ditulis, saya baru sahaja mengenali Aizat. Mana mungkin saya tujukan lagu itu untuknya. Tetapi, ia memang berdasarkan pengalaman saya yang lalu. Aizat pun ada bagi idea untuk lirik lagu ini. Kami sama-sama bincang,” jelas Nana sambil diperhatikan oleh Aizat yang turut hadir pada pelancaran album itu.

Album Nana akan menemui peminat seluruh negara pada penghujung bulan ini. Jadi, kepada peminat Nana, sokonglah artis kesayangan anda ini. Paling penting, dapatkan album yang original.

0 ayat cinta: