Sah, Diana Danielle Pilihan Khir Rahman

Saturday, November 28, 2009 marina 0 Comments



Biarpun sebelum ini nama aktres Fazura, Maya Karin serta Scha Al Yahya pernah disebut-sebut sebagai antara calon pelakon wanita yang bakal dipilih untuk menjayakan filem … Dalam Botol arahan Khir Rahman, rezeki itu nampaknya lebih berpihak kepada Diana Danielle.
Khir sewaktu dihubungi murai.com.my berkata, ada beberapa sebab mengapa aktres remaja itu akhirnya menjadi pilihan beliau untuk filem ke-4 terbitan Raja Azmi Raja Sulaiman itu.

"Pertama sekali, saya sukakan pakej yang ada pada Diana. Bagi saya dia seorang pelakon yang bijak serta berbakat. Sayanglah, kalau kelebihan yang ada padanya itu dipersia-siakan begitu saja.

"Kedua, semua orang tahu bahawa …Dalam Botol adalah sebuah filem yang bercerita tentang kelompok gay. Tetapi dengan meletakkan Diana sebagai pelakon wanita yang dominan, ia sedikit sebanyak dapat membantu untuk memanggil kelompok lelaki yang tulen untuk datang menonton cerita ini.

"Ketiga adalah disebabkan tuntutan watak itu yang nampaknya cukup bersesuaian dengan pemilihan Diana itu sendiri. Kalau ditanyakan tentang soal disiplin berkarya, itulah jawapan yang paling tepat dan sebenar-benarnya," kata Khir.

Sambung Khir lagi, pemilihan Diana sudah pun itu dibuat sejak 2 minggu yang lalu dan pada dasarnya Diana sendiri sudah pun memberikan persetujuan untuk membintangi filem ini.

"Insya-Allah jika tiada sebarang aral, kita akan perjanjian kontrak dengan Diana selewat-lewatnya pada hujung minggu depan. Setakat ini, kami sangat senang bekerjasama dengan Diana. Komitmen yang diberikan Diana terhadap filem ini juga sangat baik.

"Untuk pengetahuan semua juga, sudah beberapa hari Diana menjalani latihan untuk filem ini dan sepanjang tempoh iitu, kami langsung tidak berdepan apa-apa masalah dengannya.

"Cuma dia seorang pelakon yang masih muda dan baru. Jadi banyak benda yang perlu kita bimbing supaya dia dapat memahami maksud terma lakonan untuk dengan lebih mendalam lagi," katanya.

Khir akui gementar ke lokasi


Tentang desas-desus yang sebelum ini pernah mengaitkan Diana sebagai pelakon yang bermasalah atau demanding, Khir berkata, dia akui memang pernah dengar tentang gosip seperti itu terhadap Diana.


"Secara peribadi baik saya mahu pun produser Raja Azmi memang tidak pernah lagi bekerja dengan Diana sebelum ini. Jadi, kami tidak boleh dengar atau terlalu bergantung harap dengan gosip dan khabar-khabar angin itu semata-mata. Sebaliknya, kami kena kenal dia dulu.

"Apa yang penting di sini, dia perlu tahu dan perlu faham apa yang kita inginkan dari dia. Dari situ, barulah kita dapat mengatasi sebarang masalah yang ada,'' katanya.

Tentang gosip-gosip yang bakal mengaitkan dirinya saat mengarahkan filem …Dalam Botol ini nanti, Khir berkata, dia menganggap semua itu sebagai lumrah yang perlu dilaluinya sebagai seorang anak seni.


"Usahlah kita mengaitkan soal ini dengan masyarakat, dalam keluarga kita sendiri pun belum tentu ada yang bersetuju atau boleh menerima apa yang kita buat ini. Malah, di kalangan mereka ini, sudah ada bermacam-macam persepsi atau pemikiran yang perlu kita tangani. Apatah lagi masyarakat di luar sana.

"Mujurlah saya datang dari keluarga yang kesemuanya berdarah seni. Jadi, masalah yang saya hadapi ini tidaklah nampak begitu berat. Tapi, kalau dengan masyarakat luar, saya masih tidak tahu maklum balas mereka," katanya.

Filem …Dalam Botol merupakan filem ke-4 terbitan Pengedaran JAS Sdn Bhd bakal memulakan penggambarannya pada 6 Disember ini.

"Setakat ini kita sudah mengenal pasti 2 lokasi besar dan utama untuk filem ini iaitu Banting serta Kuala Lumpur. Selaku pengarah saya akui agak gementar serta gemuruh tapi kedua-dua emosi ini sebenarnya amat saya senangi kerana bagi saya kedua-duanya adalah satu perkhabaran yang cukup baik.

"Kalau saya tidak merasa gementar atau gemuruh untuk turun ke lokasi, itu sesuatu yang tidak kena. Kita semua manusia biasa," kata Khir mengakhiri perbualan.

0 ayat cinta: