Black Gantikan Lan?

Monday, November 16, 2009 marina 0 Comments


Meet Uncle Hussain (MUH), band yang sering dilanda kontroversi sebaik sahaja memasuki arus perdana. Ada sahaja cerita-cerita yang tidak enak didengar sampai kepada pihak media. Boleh dikatakan semuanya berkaitan disiplin yang melibatkan bekas vokalis kumpulan itu, Lan.

Kini, semua pun sudah maklum, Lan telah membawa haluan sendiri apabila dia menubuhkan Azlan & and The Typewriter. Kali terakhir dia mengadakan persembahan dengan MUH pada 5 Julai lepas di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.

Pengunduran Lan daripada MUH membuatkan kumpulan yang popular dengan lagu “Lagu Untukmu” itu tidak mempunyai vokalis sehingga kini. Masalah ini turut memaksa MUH menarik diri daripada menyertai separuh akhir Muzik-Muzik baru-baru ini. Persoalannya, sampai bila kumpulan ini mahu bertahan tanpa seorang vokalis?

Menurut pengurus MUH, Nafisah Mohamat Yusof Khir atau panggilan mesranya Kimi, MUH bukan tidak mahu mencari vokalis, tetapi sehingga kini mereka masih belum menemui calon yang sesuai.

“Setakat ini MUH telah menerima lebih daripada 200 rakaman demo daripada individu yang ingin mengantikan tempat Lan, tetapi tidak ada yang betul-betul menambat hati MUH. Kalau boleh Taja (ketua kumpulan dan gitaris) inginkan seseorang yang ada identiti tersendiri dan tidak sama dengan mana-mana penyanyi yang ada. Paling penting, dia mesti memahami ideologi MUH,” terang Kimi yang ditemui semasa sidang akhbar Rock The World 2009 (RTW9).

Diminta mengulas tentang desas-desus yang mengatakan Black akan mengantikan Lan, Kimi memberitahu Black bukan vokalis tetap walaupun dia terpilih menyanyikan single terbaru MUH yang berjudul “Drama King” yang sudah pun dimainkan di beberapa stesen radio tempatan.

“MUH memang puas hati dengan cara Black menyampaikan lagu itu, tetapi itu tidak bermakna Black akan dijadikan vokalis tetap. Apa yang boleh saya katakan, MUH masih berbincang tentang pengambilan vokalis baru. Bagaimanapun, Black akan menyertai MUH di pentas Rock The World 9 pada 19 Disember ini di Sunway Lagoon untuk mempersembahkan lagu “Drama King”. Tetapi ini tidak bermakna Black akan menyanyikan lain-lain lagu yang bakal dipersembahkan. Memang MUH sudah fikirkan calonnya, tetapi biarlah dirahsiakan buat masa ini. Kita sama-sama tunggu pada konsert itu nanti,” tambah Kimi lagi.

Dalam masa yang sama Kimi turut memaklumkan jika semuanya mengikut perancangan, mungkin MUH akan muncul dengan beberapa lagi kolaborasi. Setakat ini MUH telah senaraikan beberapa nama penyanyi tempatan yang mereka minati seperti Sheila Majid, Ella, Datuk Siti Nurhaliza, Ramli Sarip, Amy Search dan Rahim Maarof.

“Semua penyanyi ini berlainan genre dan itulah yang MUH mahukan bagi melihat kemampuan mereka untuk berkarya. Projek kolaborasi ini mungkin boleh dijadikan ‘back-up plan’ sekiranya MUH masih tidak menemui vokalis yang sesuai.”

MUH akan mempersembahkan empat lagu pada RTW9 nanti. Konsert yang bermula jam 10pagi hingga lewat malam itu turut melibatkan lebih 60 buah kumpulan muzik yang lain seperti Pesawat, Bunkface, Love Me Butch, Pop Shuvit, Bittersweet dan Azlan & The Typewriters.

Konsert yang dibawakan oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Fat Boys Records Sdn Bhd itu menyediakan tiga pentas yang terdiri daripada Main Stage, Indie Stage dan Chill Out Stage. Tiket-tiket boleh dibeli dengan harga RM25 setiap seorang.

0 ayat cinta: