Muallaf ditayang hujung Disember
memetik dari artikel surat khabar berita harian 9 november 2009.SEBELUM Talentime, pengarah Yasmin Ahmad terlebih dulu mengarahkan sebuah lagi filem berjudul Muallaf. Bagi Cik Normah, filem ini antara judul paling berat pernah diarahkan arwah Yasmin sepanjang kariernya. Sebuah lagi judul yang agak berat tetapi seronok ditonton, pada pandangan Cik Normah ialah Gubra.
Walaupun disiapkan lebih awal berbanding Talentime, namun filem terakhirnya itu ditayangkan terlebih dulu di panggung negara ini. Manakala penonton di Singapura sudah pun menonton Muallaf, kira-kira setahun yang lalu.
Cik Normah sendiri sempat menontonnya ketika arwah masih ada. Waktu itu, dia mengundang beberapa rakan ke pejabatnya di Jalan Raja Chulan, untuk menghayati garapan kelimanya.
Muallaf antara lain mengisahkan dua beradik, Rohani dan Rohana, yang melarikan diri daripada layanan buruk bapa mereka. Mereka mendapat perlindungan di sebuah bandar kecil dan berkenalan dengan seorang guru muda di sekolah Katolik, Brian Goh.
Brian amat tertawan dengan dua beradik berkenaan. Dia tertarik dengan keberanian dan ketabahan mereka menghadapi kesusahan. Bagaimanapun persahabatan mereka memaksa Brian berdepan dengan sejarah hitam sendiri yang sering menghantuinya.
Filem ini, bagi Cik Normah, adalah percubaan arwah untuk menyelami kemungkinan wujudnya emosi setelah trauma akibat dilukai orang yang dikasihi. Dia menyingkap kisah tiga jiwa yang masih mencari erti kehidupan sebenar dan bagaimana mereka menempuh suka duka bersama. Muallaf meraikan erti persahabatan, kemaafan dan penerimaan terhadap sejarah silam.
Filem terbabit dilakonkan Brian Yap, Sharifah Amani, Sharifah Aleysha, Tony Savarimuthu, Datuk Rahim Razali, Ning Baizura, Ho Yuhang, Yeo Yann Yann, David Lok dan Tan Mei Ling.
0 ayat cinta: