Kerenah juruhebah radio boleh dipertika
DUA hari lalu, ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, kedengaran suara Halim Othman menjadi juruhebah undangan Hot FM bergandingan dengan 'rakan lamanya' ketika di Era FM dulu iaitu Faizal Ismail. Ramai juga pendengar yang menghubungi radio ini bertanyakan khabar dengan Halim.Hakikatnya, dalam tempoh seminggu ini, Halim akan menjadi juruhebah undangan di radio Hot FM menggantikan sementara waktu tempat Fara Fauzana yang sedang cuti sakit. Gandingan Faizal atau FBI dengan Halim juga dengan singkatan HO dalam segmen pagi memang serasi juga. Ternyata Halim masih ada peminatnya sendiri.
Cuma, selepas dua tahun tidak ke udara, Halim memang agak kekok. Perbualannya juga tidak laju, sebutannya juga berhati-hati, kadang-kadang agak tergagap-gagap, mungkin ada sedikit gementar kerana sudah lama tidak menghadapi suasana dalam konti. Faizal dapat membantu mengawal keadaan dan sesekali memperbetulkan sebutan Halim.
Mungkin kita boleh memaafkan Halim. Seperti penyampai radio lain, Halim juga cuba mengajak pendengar berbual hal semasa, antaranya mengenai perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara Kelantan dengan Negeri Sembilan. Tidak ada apa yang salah kerana memang pendengar masih ada dalam mood itu, terutama bagi mereka yang kaki bola atau pendengar Negeri Sembilan dan Kelantan.
Dalam memperkatakan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia baru-baru ini, kita juga dapat memerhatikan keghairahan hampir semua juruhebah radio untuk sama-sama mengajak pendengar bercakap mengenai sukan itu.
Menarik juga kerana radio seolah-olah mewujudkan ‘perang’ bola antara pendengar, iaitu penyokong di antara kedua-dua negeri itu. Publisiti atau berita mengenai perlawanan akhir bola sepak liga tempatan ini sudah disiarkan dua minggu daripada tarikh sebenar perlawanan. Sesetengah akhbar membuat keluaran atau artikel khas mengenai perlawanan itu.
Malangnya perkara ini tidak diambil tahu sebahagian besar juruhebah radio. Akibatnya, mereka tidak tahu apa-apa mengenai perlawanan akhir ini.
Misalnya, pada Jumaat lalu, dua juruhebah Radio Muzik bagaikan terkial-kial apabila bercakap fasal demam perlawanan akhir Piala Malaysia itu. Nak sebut beberapa nama pemain pun seperti menghadapi kesukaran. Dan, kita pasti mereka juruhebah terbabit menghadapi masalah untuk mengenal nama jurulatih kedua-dua pasukan itu.
Ia bukan saja berlaku kepada juruhebah Radio Muzik, tetapi kepada juruhebah lain yang tidak tahu apa yang hendak cakap, malahan tidak dapat hendak menyampuk apabila pendengar bercakap mengenai perlawanan akhir itu, terutama mengenai nama pemain yang terbabit dalam pasukan terbabit dan bagaimana pasukan itu boleh menjejaki ke peringkat akhir.
Ini bukanlah bermakna kena jadi pengulas sukan. Juruhebah radio adalah individu yang istimewa kerana mereka bercakap secara langsung dan suara serta setiap butir percakapannya itu didengar. Kebanyakan pendengar percaya apa yang disampaikan oleh juruhebah.
Tapi sebagai juruhebah radio, apa yang hendak disampaikan atau dihebahkan biarlah betul, tepat dan boleh diterima akal pendengar. Apabila hendak bercakap soal apa yang berlaku, setiap juruhebah radio kenalah ada persiapan dan persediaan secukupnya, termasuklah mencari maklumat penting sebanyak mungkin untuk menambah pengetahuan apabila bercakap dengan pendengar.
Sebaliknya, sesetengah juruhebah sering ambil mudah atau tidak pernah nak ambil pusing mengenai peristiwa semasa atau kejadian sekeliling yang hangat dan sedang berlaku. Dan, akibatnya, sering kita dengar betapa penyampai radio kita hanya cakap merapu saja, sehingga apa yang mereka cakap pun kita tak faham. Kata orang, macam burung kakak tua. Pandai cakap tapi tak tahu apa yang dicakapkan.
Itu fasal sukan. Bayangkan, kalau mereka diminta mengulas isu atau topik semasa lain, yang lebih besar dan serius. Memang ada juruhebah yang mempunyai pengetahuan am yang luas dan baik kerana mereka adalah golongan yang ada inisiatif untuk mengambil tahu terhadap semua perkara, sama ada sukan, hiburan, politik, ekonomi atau isu-isu semasa yang sedang berlaku.
Tetapi pada masa yang sama, ramai juga juruhebah yang tidak tahu apa-apa. Sebab itulah, ada juruhebah radio yang pertuturannya seperti terkawal dan dikawal supaya tidak terlepas cakap membabitkan perkara yang tidak diketahui sehingga menonjolkan kebodohannya sendiri. Apabila ada pendengar ‘menguji’ dengan topik tertentu, ada juruhebah yang tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan atau mengulasnya.
Jadi, kita akan berasakan corak persembahan stesen radio hampir sama saja. Membacakan SMS, menyampaikan ucapan pendengar, berbual ringkas dengan pendengar, kemudian memainkan lagu. Pusing-pusing itu sajalah. Kadang-kadang nama penyanyi, penulis lagu atau penulis seni katanya pun tidak ada masa atau mungkin tidak tahu untuk disebut, takut salah.
Jarang kita mendengar ada stesen radio popular ini membincangkan sesuatu topik semasa dengan bernas. Ada stesen radio seperti Hot FM dan Era FM membincangkan topik semasa yang bagus untuk dibincangkan dengan pendengar, tetapi si juruhebahnya macam main-main. Pendengar bercakap dengan serius tetapi kemudian dipermain-mainkan atau dipersendakan pula oleh si juruhebah.
Akhirnya, pendengar jadi keliru kerana juruhebah berceloteh berlebih-lebihan sehingga terkeluar daripada topik asal perbincangan.
Satu lagi mengelirukan pendengar apabila radio membuat siaran ulangan sesuatu segmen. Kita tahu pada setiap hujung minggu atau tengah malam, setengah program di radio sudah dirakamkan terlebih dahulu atau program ulangan yang sudah disiarkan sehari awal.
Jadi, pada hari Ahad yang lalu, pasti ada pendengar Sinar FM terpinga-pinga apabila stesen radio ini menyiarkan pasukan mana yang menang dalam perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia yang dilangsungkan pada hari Sabtu. Program itu dikendalikan oleh Khairil Rashid atau Krill. Bayangkan, perlawanan itu sudah berakhir tetapi Sinar FM masih menyiarkan semula segmen itu.
Pilihlah isu atau topik yang relevan supaya apabila diulang siar ia tidak kelihatan basi, janggal dan paling penting, tidak mengelirukan pendengar.
0 ayat cinta: