Spekulasi Muzik-Muzik Separuh Akhir
Belum pun diumumkan lagu yang mana akan layak ke Juara Lagu 2009, spekulasi mula melanda Muzik-Muzik Separuh Akhir. Ada sahaja cakap-cakap yang kurang enak didengar. Walaupun tahun ini format telah bertukar iaitu tiada lagi pertandingan secara kategori, tetapi masih ada yang cuba mempertikaikan sistem penjurian yang digunakan oleh pihak TV3.Sebelum GUA bercerita panjang tentang isu ini, baik GUA jelaskan sekali lagi bahawa bermula 4 April 2009 lalu, setiap pencalonan lagu yang bertanding tidak lagi tertakluk kepada kategori tertentu. Ini bermakna, lagu-lagu yang dipertandingkan adalah lebih terbuka dan tidak terbatas kepada tiga kategori utama iaitu Etnik Kreatif, Balada dan Pop Rock seperti yang dipertandingkan sebelum ini.
Untuk melayakkan sesebuah lagu ke peringkat separuh akhir pula, ia dipilih melalui markah tertinggi melalui undian yang dibuat setiap minggu dan berdasarkan tempoh kedudukan lagu tersebut di dalam carta mingguan Muzik-Muzik. Daripada 112 lagu yang dicalonkan tahun ini, hanya 30 buah lagu berjaya ke peringkat separuh akhir.
Format pemarkahan separuh akhir adalah berdasarkan 30 peratus markah persembahan pada malam pertandingan dicampur dengan 70 peratus markah penilaian lagu yang dibuat sebelum persembahan. Hanya lagu yang mendapat markah tertinggi boleh ke Juara Lagu ke-24. Maknanya, lagu-lagu yang diumumkan sebagai Top 5 sebelum ini bukan lagi sah sebagai calon akhir.
Berbalik kepada spekulasi tadi, ada sesetengah pihak kurang bersetuju apabila TV3 menggunakan khidmat barisan juri yang sama bagi setiap pusingan separuh akhir. Ini kerana mereka menganggap dengan tidak menukar juri, pemilihan lagu akan lebih cenderung kepada genre yang diminati oleh juri iaitu Azlan Abu Hassan, Moharis Yaakub, Ahadiat Akashah, Helen Yap dan Azhar Borhan, selaku ketua juri. Jika ini berlaku, mungkin lagu-lagu yang sepatutnya layak ke akhir tidak akan terpilih.
Bagaimanapun, dakwaan ini disangkal oleh pihak TV3. Menurut Pengurus Produksi Hiburan Primeworks Studio, Fadzliniza Zakaria, isu ini sepatutnya tidak perlu dibahaskan kerana keputusan TV3 untuk menggunakan barisan juri tetap untuk ketiga-tiga pusingan separuh akhir adalah kerana sistem terbuka yang diguna pakai sekarang ini.
“Barisan juri yang kami pilih adalah mereka yang benar-benar layak dan profes\sional. Mereka pasti boleh memilih lagu yang mana benar-benar layak untuk ke Anugerah Juara Lagu. Masing-masing ada kepakaran sendiri. Jadi tidak mungkin pemilihan nanti akan terarah kepada satu atau dua genre lagu sahaja. Perkara sebegini tidak akan terjadi,” ulas Fadzliniza kepada pihak media ketika sidang media Muzik-Muzik Separuh Akhir Jumaat lalu.
Ditanya tentang kebarangkalian lagu-lagu yang layak ke peringkat akhir nanti akan dinilai semula dan mungkin ada rombakan semula, Fadzliniza tidak mahu mengulas dengan lebih lanjut.
Dalam masa yang sama, Fadzliniza turut diminta mengulas tentang dominasi bekas pelajar Akademi Fantasia (AF) pada minggu kedua Muzik-Muzik Separuh Akhir itu. Ini kerana tiga daripada lagu yang diumumkan sebagai Top 5 adalah nyanyian daripada Stacy, Akim dan Nubhan. Riz dan Aizat turut berada di pentas walaupun bukan Top 5.
“Sekali lagi saya ingin ingatkan, Juara Lagu bukan pertandingan di antara artis, tetapi ia mempertandingkan lagu-lagu yang bagus. Jadi siapa pun yang menyanyikan lagu tersebut tidak menjadi masalah. Kalau lagu-lagu yang dinyanyikan oleh bekas pelajar AF ini bagus, tidak salah untuk TV3 memberi ruang kepada lagu ini bertanding.”
0 ayat cinta: