Penangan 'Nur Kasih'
Satu fenomena. Itulah yang dapat GUA simpulkan mengenai drama 'Nur Kasih'.Seimbas lalu, pelbagai variasi tentang kisah yang sama sudah pernah dibawa ke TV mahupun layar perak. Pasangan lelaki dipaksa berkahwin dengan gadis bukan pilihannya tetapi akhirnya, mula jatuh cinta padanya. Abang mengorbankan cintanya demi adik tersayang. Gadis yang menaruh hati pada seseorang jejaka, sanggup melakukan apa saja untuk memiliki cintanya. Namun, uniknya penceritaan kali ini, 'Nur Kasih' menerapkan elemen Islamik.
Mungkin suasananya sesuai. Lebih-lebih lagi selepas filem 'Ayat-Ayat Cinta'. Kejayaan filem cinta bercorak Islamik itu memperlihatkan keinginan penonton untuk disajikan dengan sesuatu yang berlainan setelah sekian lama disuapkan dengan cerita cinta kontemporari. Meskipun begitu, tiada siapa yang dapat menjangka sejauh mana populariti 'Nur Kasih'.
Apabila episod pertama mula disiarkan pada 29 Mei lalu di TV3, bercampur baur komen yang diterima. Ada yang menyukainya, tak kurang juga yang gagal melihat keistimewaannya. Minggu bersilih ganti. Semakin sukar bagi sesiapa yang menonton untuk tidak terpaut dengan kisah Adam (lakonan Remy Ishak), Nur Amina (Tiz Zaqyah) dan Aidil (Fizz Fairuz). Tak lupa juga pada Siti Sarah (Ummi Nazeera) yang memang menguji kesabaran GUA. Nak diberi saja penampar pada budak itu.
Tapi, itulah penangan 'Nur Kasih'. Pengakhiran setiap episod mengundang rasa tak sabar untuk mengetahui apa yang bakal berlaku di dalam episod seterusnya. Jika boleh, ingin saja ditonton kesemua 26 episod sekaligus. Menariknya, walaupun sinopsis bagi setiap episod dibocorkan di sebuah laman web akhir bulan lalu, ia sedikitpun tidak menjejaskan keinginan peminat untuk mengikuti 'Nur Kasih'.
Payah juga hendak menunggu episod baru sekali seminggu tetapi begitulah rutinnya selama enam bulan. Sebaik saja selesai satu episod, mula dihitung hari sehingga episod seterusnya. Nasib baik ada juga 'Catch Up TV'. Sementara menunggu, boleh ditonton berulang kali episod yang terdahulu. Jika ada episod yang tertinggal, mudah saja untuk 'catch up'. Sehingga 30 Oktober lalu, statistik menunjukkan seramai 28 juta penonton mengikuti kisah 'Nur Kasih' secara 'catch up' di laman web www.tv3.com.my sementara 3 juta penonton dicatat mengikuti drama ini di TV3.
Kejayaan 'Nur Kasih' sekali lagi membuktikan betapa mantapnya gandingan suami-isteri, Kabir Bhatia (pengarah) dan Mira Mustaffa (penulis skrip), yang sebelum ini sudah menunjukkan sentuhan magis mereka melalui filem 'Cinta' dan drama seram 'Kekasihku Seru'. Namun kekuatan 'Nur Kasih' bukan saja pada arahan dan skripnya tetapi juga sinematografi dan lakonan.
Kecuali Fizz, Kabir telah mempertaruhkan nama-nama baru, Remy, Tiz dan Ummi untuk mengalas tanggungjawab membawa cerita 'Nur Kasih'. Kepercayaan beliau tidak disia-siakan apabila masing-masing menunjukkan penghayatan watak yang begitu mendalam, sehingga mampu membuat penonton mempercayai mereka adalah watak yang dimainkan.
Tidak menghairankan bila tersebarnya gambar-gambar Tiz berhibur bersama teman-teman di pusat hiburan, jauh berbeza dari imej Nur yang solehah dan bertudung litup, ia menjadi satu isu hangat. Tiz hebat dikutuk malah dituduh hipokrit.
Populariti 'Nur Kasih' yang tersebar jauh hingga ke seberang tambak Johor, bukan saja memberi nafas baru pada kerjaya seni Fizz tetapi memberi Remy, Tiz dan Ummi anjakan yang diperlukan untuk mara setapak lagi dalam bidang lakonan.
Jumaat ini, bersamaan 27 November, hari yang dinanti-nantikan peminat 'Nur Kasih'. Mungkin juga ramai yang sudah mengetahui 'ending'-nya, namun berlainan sekali pengalamannya bila melihat dengan sendiri bagaimana ia dilaksanakan oleh Kabir. Dan siapa tahu, barangkali ada kejutan yang menanti kerana seperti yang semua sedia maklum, Kabir dan Mira sedang dalam proses menghasilkan sekuel kepada drama paling meletup tahun 2009 ini.
0 ayat cinta: