Kekuatan Ben 10

Monday, November 30, 2009 marina 0 Comments


MENAMPILKAN 14 karakter dengan gabungan persembahan lagak ngeri papan luncur, akrobatik dan kesan khas multimedia, pementasan Ben 10 & Ben 10 Alien Force, Power Of The Omnitrix di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 27 hingga 29 November ini bakal menjanjikan satu persembahan mengagumkan.

Diadaptasi daripada siri kartun popular, Ben 10, menariknya dalam persembahan selama 90 minit itu, ia buat julung kalinya mengenengahkan dua watak makhluk asing yang baru iaitu Rocks dan Squidstrictor.
Dibintangi David Harrison selaku Ben 10, Khali Grimshaw (Gwen), Alex Osmond (Kevin Levin) dan Paul Holmes (Grandpa Max), Ben 10 & Ben 10 Alien Force, Power Of The Omnitrix turut membawa karakter-karakter makhluk asing lain seperti Heatblast, Four Arms, Wildmutt, Vilgax, HighBreed Commander, The Forever Knights dan DNAliens.

Kuala Lumpur merupakan destinasi kedua pementasan Ben 10 & Ben 10 Alien Force, Power Of The Omnitrix selepas Bangkok, Thailand.

Menurut Harrison, Ben 10 merupakan satu jenama yang kuat dan ia mempunyai 'hubungan' yang kukuh dengan kanak-kanak.

Atas dasar itu, pementasan Ben 10 & Ben 10 Alien Force, Power Of The Omnitrix akan dinanti-nantikan oleh kanak-kanak termasuk golongan dewasa yang meminatinya.

"Sememangnya saya sudah bersedia untuk beraksi di Kuala Lumpur.

"Saya berasal dari Melbourne dan menghadiri sesi uji bakat mencari watak Ben 10 di Sydney. Ia cukup mengagumkan.

"Bukan sahaja dibantu dengan kesan khas multimedia, persembahan ini akan menggabungkan aksi-aksi menarik termasuk lagak ngeri dan seni mempertahankan diri,'' katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan barisan pelakon Ben 10 & Ben 10 Alien Force, Power Of The Omnitrix di Impiana KLCC, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Asiapromote Ventures, Wan Zaleha Radzi, peneraju Millenium Entertainment International (MEI), Nick Larkin dan Pengarah Kawasan Asia Pasifik, Cartoon Network Enterprises, Archana Keskar.

Sambung Harrison, diberi tanggungjawab memegang watak utama iaitu Ben 10, dia turut teruja kerana pementasannya melangkaui banyak negara. Harrison yang berusia 19 tahun sebelum ini pernah mengikuti latihan drama, vokal dan tarian.

Terlibat dalam bidang seni sejak kecil, Harrison pernah memegang watak sebagai raja dalam pementasan Oliver! di Melbourne dan Singapura.

Sementara itu, Wan Zaleha berkata, sebagai sebuah agensi promoter, selain Ben 10, permintaan terhadap produksi teater antarabangsa di negara ini semakin bertambah berbanding lima tahun dahulu.

"Untuk itu, Asiapromote bersedia mengambil peranan dalam membawa produksi luar ke Malaysia," katanya.
Asiapromote sebelum ini pernah membawa pementasan teater muzikal The Merchants of Bollywood ke Istana Budaya.

Sambung Wan Zaleha, pementasan Ben 10 & Ben 10 Alien Force, Power Of The Omnitrix di Bangkok dilihat menerima sambutan yang amat menggalakkan.

"Saya yang menyaksikan persembahan ini sangat kagum. Bahkan, set pementasannya juga menarik. Saya percaya setiap penonton akan teruja menyaksikannya,'' ujarnya.

Dalam pada itu, tiket-tiket untuk menyaksikan pementasan Ben 10 & Ben 10 Alien Force, Power Of The Omnitrix telah mula dijual pada harga RM38, RM53, RM73, RM93, RM133, RM153, RM188 dan RM218.

Persembahan untuk 27, 28 dan 29 November ini akan berlangsung pada pukul 2 dan 5 petang serta 8 malam.
Tiket boleh dibeli di Dewan Plenari, KLCC dan sebarang maklumat mengenai pementasan boleh diperoleh melalui www.ticketpro.com.my atau hubungi 03-78807999.

0 ayat cinta: