Que, Linda Timang Tengku Ratu Haidar
Tiada ungkapan dapat menzahirkan perasaan pelakon Que Haidar apabila melihat isterinya, koreografer Linda Jasmine, selamat melahirkan bayi perempuan mereka yang dinamakan Tengku Ratu Haidar, kira-kira jam 2 petang semalam."Perasaan saya bercampur baur - bersyukur, gembira dan sayu. Alhamdulillah, Linda selamat bersalin secara pembedahan di Hospital Gleneagles, Ampang, lebih kurang jam 2 petang semalam. Dia berada dalam keadaan yang sihat dan mungkin 2 hari lagi boleh pulang ke rumah," kata Que kepada murai.com.my ketika dihubungi hari ini.
Que atau nama sebenarnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 30, berkata, dia dan Linda, 36, memilih nama itu ketika Linda hamil 4 bulan dan telah disahkan mengandung anak perempuan.
"Sepatutnya Linda lahir secara normal bulan depan tetapi kata doktor, apabila bayi kami telah matang, dia boleh dilahirkan secara pembedahan. Saya sangat gembira melihat telatahnya yang kuat menyusu. Saya gembira sangat-sangat dan begitu juga abangnya (Qalif Khan, 9, anak sulung Linda)," kata Que lagi.
Menurut Que yang memberikan lakonan yang baik menerusi filem Setem dan Papadom, sesudah berkahwin dan menjadi seorang ayah, dia tidak lagi banyak melepak dengan rakan-rakan kerana keluarga menjadi keutamaan.
"Sekarang, sekejap-sekejap saya rasa hendak melihat muka Tengku Ratu. Saya dan Linda asyik membelek-belek mata, hidung dan mulutnya untuk melihat persamaaan dia ikut muka saya atau Linda. Memang mengasyikkan," kata Que dengan nada yang cukup gembira.
Katanya, apabila tiba masa yang sesuai, dia dan Linda akan pasti bergambar dengan bayi mereka itu dan berharap Linda tidak diganggu buat sementara waktu.
"Terima kasih kepada semua peminat yang mendoakan kesejahteraan Linda dan bayi kami," kata Que. Pasangan popular itu telah selamat diijabkabulkan Restoran Borak Ombak, Ampang pada 14 Februari lalu.
0 ayat cinta: