Nora Danish Tarik Diri Sebab Perjanjian Tidak Ditepati

Monday, November 16, 2009 marina 0 Comments



Selepas mendengar pelbagai versi mengenai apa yang berlaku di lokasi ‘Spa Qistina’ minggu lepas, di mana Nora Danish dikatakan mengamuk atas kehadiran Fasha Sandha, rasanya ia hanya adil jika tuan empunya diri diberi peluang untuk bersuara.

Ikuti temubual Nora dan para media apabila ditemui petang tadi selepas majlis doa selamat penggambaran filem 'Jangan Pandang Belakang Congkak 2' di pejabat MiG di Subang Jaya.

Komen Nora tentang apa yang telah berlaku.
Nora tak nak kontroversi. Ini (lakonan) periuk nasi Nora. Takkan Nora nak rosakkannya? Nora tarik diri sebab Nora rasakan permintaan Nora di ambil sambil lewa dan tidak di hormati. Menarik diri dari satu produksi adalah sesuatu yang sangat negatif. Tapi bila ia melibatkan perasaan, susah nak cakap. Fasha tak terlibat langsung (dalam keputusannya menarik diri). Rasanya, dia tak tahu ada perjanjian di antara Nora dan Global Station.

Nora tahu orang nampak Nora lemah, boleh dipijak tetapi pasal prinsip, Nora memang tegas. Nora dan pihak Global Station mempunyai satu perjanjian yang kuat, perjanjian lisan di antara Nora dengan Kak Zaiton (Zaiton Mohd Jiwa, penerbit Global Station) di mana Nora tidak mahu ada 'scene' bersama dan sebumbung dalam satu set lokasi dengan Fasha. Apabila Nora di yakinkan bahawa permintaan Nora akan di penuhi, Nora terima tawaran 'Spa Qistina'.

Nora selalu tekankan perjanjian ini pada pihak penerbit agar semua faham dan tak timbul masalah seperti ini. Malah malam sebelum penggambaran hari tu, Nora 'explain' sekali lagi pada Adila (Adila Datuk Ramly, penerbit eksekutif Global Station). Bagi Nora, apa yang berlaku, rasanya adalah dari kecuaian pihak produksi.

Sebenarnya sebelum insiden itu, sudah timbul beberapa persoalan di dalam fikiran Nora kerana apabila Nora diberikan jadual penggambaran, ada tertulis satu babak Nora bersama Fasha di dalam sebuah kelab. Bila Nora tanya, kru produksi kata mereka tak buat. Tapi sejak itu, macam-macam Nora fikir. Nora tak tahu jika Nora telah dipergunakan. Tapi Nora tak rasa apa yang berlaku itu telah di rancang.

Apa sebenarnya yang berlaku hari itu?
Call time Nora, 1 petang. Dan Nora pun tahu call time Fasha, 4 petang. Nora tunggu sampai 4 petang tapi penggambaran tak bermula lagi. Masa tu, Nora ingatkan pihak produksi dah hubungi Fasha untuk memberitahu tentang kelewatan penggambaran dan minta dia datang lambat.

Selepas tu, ada orang beritahu Nora, Fasha dah ada di set. Nora ingat, tipulah. Bila Nora keluar dari bilik, Nora nampak dia, jaraknya dari Nora lebih kurang 200 meter saja. Dia tengah di solek dan membaca skrip. Kalau dia baca skrip, bermakna dia tahu 'scene' mana yang nak di 'shoot' tapi Nora masih tidak diberitahu.

Hari tu, 'shoot' pertama dengan kru baru. Jadi mereka pun serabut. Nora awal-awal dah tahu akan ada kelewatan dalam penggambaran. Persoalannya, mengapa pihak produksi tak hubungi Fasha untuk memberitahunya datang lambat sikit?

Nora 'call' Adila sebab Kak Zaiton dan Adila tak ada di set, jadi mereka tak tahu apa yang berlaku. Nora tanya Adila mengapa Fasha ada di sini. Tak bolehlah macam ni sebab kami dah ada perjanjian. Nora beritahu Adila, Nora kecil hati. Adila pun suruh Nora balik dulu. Lepas tu, Nora berjumpa dengan pengarah. Masa tu, Nora dah dalam keadaan nak menangis.

Nora terlalu terkilan dan kecewa dengan sikap pihak produksi yang mengambil remeh perkara ini. Nora terima (tawaran 'Spa Qistina') atas perjanjian kami tetapi mereka telah melanggarnya. Sebenarnya Nora pun belum menandatangani kontrak dengan Global Station. Malah cek untuk bayaran pertama pun belum dimasukkan ke dalam bank.

Mengapa pula Nora boleh bersama-sama Fasha menjayakan fesyen show di Malaysia International Fashion Week (MIFW) 2009?
Kalau ia satu acara anugerah atau majlis, itu lain. Dalam setahun lebih Nora bercerai, dah banyak kali Nora berjumpa dia di majlis. Tapi masalahnya kalau berlakon. Nora memang tak nak. Nora tak mahu bila berlakon bersama, kisah kami dijadikan bahan kontroversi. Bukan Nora tak nak maafkan dia. Nora memang nak maafkan tapi Nora tak mahu ia dibuat-buat atau dipanaskan ceritanya. Nora memang tak nak lagi dikaitkan dengan kontroversi.

Nora tahu sejak insiden ini, orang menuduh Nora bermacam-macam. Walaupun Nora pada awalnya rasakan kami boleh berlakon dalam produksi sama, tetapi bila Nora di sana, perasaan itu lebih daripada segalanya. Nora cuba untuk jadi profesional tapi tak boleh. Perasaan itu menyelubungi diri Nora.

Sekarang mereka mempertikaikan profesionalisme Nora tapi dari awalnya, memang dah tak profesional sebab Nora minta untuk tidak digandingkan dalam mana-mana babak dan tak boleh sebumbung. Selepas ini, jika ada tawaran lain untuk bekerja dalam produksi sama dengan Fasha, Nora tak akan terima sebab Nora dah tahu apa yang akan di lalui. Nora dah serik.

Nora menyesal menerima tawaran 'Spa Qistina'?
Jika Nora tahu (apa yang akan berlaku), Nora tak akan terima. Kesilapan terbesar Nora ialah menerima tawaran 'Spa Qistina' sebab ceritanya tentang kontroversi dan sedikit sebanyak ada kaitan dengan kisah hidup Nora. Disebabkannya, perhubungan Nora dengan Kak Zaiton dah rosak.

Selepas enam tahun dalam industri, inilah sejarah paling hitam dalam kerjaya Nora, rasanya lebih teruk dari kegagalan perkahwinan Nora. Nora terkejut sangat dengan apa yang berlaku sampai demam pun ada.

Nora tahu apa yang terjadi telah mendatangkan kesan buruk ke atas diri Nora. Sebelum ini, Nora tak pernah menghadapi apa-apa masalah dengan mana-mana produksi. Tapi Nora percaya, pihak produksi yang pernah bekerja dengan Nora tahu Nora orang yang macam mana.

Bagaimana perasaan Nora apabila membaca kenyataan Kak Zaiton?
Nora tak kisah apa yang dikatakannya. Itu pendapat dia. Apa pun Nora tetap 'respect and adore her'. Nora ambil tawaran 'Spa Qistina' pun kerana dia semata-mata. Nora tak marah. Kalau Kak Zaiton sudi bekerjasama dengan Nora di masa depan, Nora terima.

Nora percaya ada orang yang 'cucuk' Kak Zaiton. Sebelum MIFW, perhubungan kami masih okay tapi selepas MIFW, timbul salah faham. Nora ada hubungi dia untuk menjelaskan apa yang berlaku tapi panggilan Nora tak dijawab. Bagi Nora, Kak Zaiton faham apa yang Nora lalui. Cuma ketika dia membuat kenyataan pada media, dia fikirkan dari perspektif seorang ahli perniagaan.

0 ayat cinta: