My Spy dijamin amat kelakar

Sunday, November 29, 2009 marina 0 Comments

AC MIZAL dan Harun Salim Bachik berganding kali pertama sebagai bintang utama My Spy.


Filem terbitan KRU Studios bersedia ditayangkan pada 3 Disember depan

KRU STUDIOS dilihat sebagai antara syarikat perfileman yang giat menerbitkan filem bagi menyemarakkan lagi industri ini. Bukan sekadar menghasilkan filem, sebaliknya judul yang diterbitkan menerusi syarikat terbabit boleh dikelaskan sebagai berbeza daripada filem sedia ada.

Bermula Cicak-Man, diikuti Duyung, Cicak-Man 2: Planet Hitam, Jin Notti, My Spy, Magika dan Hikayat Merong Mahawangsa (tiga judul terakhir belum memasuki panggung), kesemua filem terbitannya membawa kelainan. KRU Studios bukan setakat menyambung pengeluaran filem di Malaysia, mereka juga bertanggungjawab menghidangkan bentuk hiburan baru dalam dunia sinema negara.





Filem My Spy, sebuah judul yang boleh dimasukkan dalam kategori aksi komedi, dikatakan sekali lagi memberikan persembahan berbeza buat penggemar filem Melayu. Kali ini diarahkan Afdlin Shauki, filem terbabit menampilkan dua pelakon berbakat tanah air, AC Mizal dan Harun Salim Bachik sebagai bintang utama.

Penerbit Eksekutifnya, Norman Abdul Halim berkata, My Spy ialah filem paling kelakar pernah dihasilkan syarikatnya.

Bersandarkan skrip tulisan Amir Hafizi, ia menghimpunkan penggiat seni ternama negara terdiri daripada Afdlin yang sebelum ini tampil bersama beberapa filem komedi menarik seperti Buli, Buli Balik, Baik Punya Cilok, Sumolah, Los Dan Faun dan Papadom, manakala AC dan Harun pula dianggap bintang komedi paling menyerlah ketika ini.

Harun, secara terang-terangan diakui Afdlin sebagai pelakon komedi paling digemarinya. Dengan aksi lawak yang bersahaja, aktor itu dikatakan mampu membuatkan sesiapa saja ketawa tanpa perlu bersungguh-sungguh melakukannya.

Kata Norman, gabungan yang disaksikan menerusi My Spy memang tampak janggal. Tetapi, itulah rahsia yang bakal menggegarkan panggung sebaik saja filem berkenaan mula ditayangkan pada 3 Disember nanti.

"Ia filem berbentuk penyiasatan yang sarat dengan elemen kelakar. My Spy bukannya untuk sesetengah kalangan penonton, sebaliknya dihasilkan hiburan untuk semua golongan usia," kata Norman pada sidang akhbar mengumumkan kerjasama syarikat terbabit bersama Celcom dan Perodua dalam usaha promosi filem berkenaan.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Naib Presiden Kanan, Pemasaran, Celcom, Zalman Aefendy Zainal Abidin; dan Pengurus Pengiklanan dan Pemasaran, Perodua Sales Sdn Bhd, Sulasi Mahadi.
Selitkan nilai intelektual

AFDLIN pula berkata, seperti filemnya yang lain, My Spy bukanlah dihasilkan dengan tujuan menyampaikan sesuatu mesej tertentu kepada peminat.

"Paling utama, dalam setiap filem saya, ia mempunyai nilai hiburan cukup tinggi. Filem ini juga tidak terkecuali. Ia hiburan yang boleh ditonton berulang-kali," katanya yang mendedahkan, filem terbabit terhasil daripada cantuman visi dirinya sendiri bersama Norman, yang juga Presiden KRU Studios.

Tegas sutradara yang juga seorang pelakon itu, selain menghiburkan penonton, dia tidak lupa menyelitkan nilai intelektual dalam setiap judul diarahkannya.

Memilih Langkawi sebagai lokasi, Afdlin berkata, pulau berkenaan amat sesuai untuk penggambaran kerana ia membolehkan pelakon dan krunya memberikan perhatian penuh kepada projek terbabit. Pada masa yang sama dia sendiri berharap, rakaman yang dilakukan berupaya memberikan keadilan kepada pusat percutian itu, yang dipamerkan sebagai tempat yang mewah serta penuh daya penarik.

Selain AC dan Harun, filem ini diperkuatkan dengan kemunculan Hannah Tan, Daphne Iking, Maria Farida, Carmen Soo dan Ridzuan Hashim.

Antara lain, ia mengisahkan bagaimana dua lelaki yang berangan-angan menjadi mata-mata hebat, bergabung tenaga dalam menyelesaikan kes seorang Datuk yang didakwa bermain kayu tiga oleh isterinya. Namun, siasatan itu membawa dua lelaki berkenaan jauh ke dalam kes yang nyata lebih rumit daripada apa yang mereka sangkakan.

Meneruskan tradisi filem KRU Studios, My Spy tidak ketinggalan mengetengahkan elemen CGI. Kali ini, penonton dikatakan dapat menyaksikan bagaimana watak Salleh lakonan Harun, berkomunikasi dengan beg dan keretanya sendiri.

Sebagai lelaki yang gemar mencipta pelbagai peralatan canggih, Salleh akan merealisasikan perkara mustahil dengan bantuan teknologi imejan janaan komputer, seliaan Yusry.

Menyemarakkan lagi kehadiran filem itu ke pawagam, KRU dan Astro Entertainment Sdn Bhd mengadakan kerjasama dengan menghasilkan lagu tema berjudul Menggegar Dunia. Ia menyaksikan nyanyian secara duet dua bintang muda, Adam dan Stacy. Lagu berentak rancak itu kini mula diputarkan di beberapa radio tempatan dan sudah pun mendaki carta lagu popular.

Single kedua daripada runut bunyi filem ini, Primadona, nyanyian solo Stacy akan menyusul sedikit masa lagi.

0 ayat cinta: