Remy Ishak Segan Gelaran 'Hero Malaya'

Wednesday, November 04, 2009 marina 0 Comments



Jika drama bersiri 'Awan Dania' telah memperkenalkan penonton kepada pendatang baru bernama Remy Ishak, tidak salah bila dikatakan 'Nur Kasih' berjaya melonjakkan namanya di persada seni.

Lakonan mantapnya sebagai Adam berjaya menawan hati penonton, membuatkan mereka terpacak di depan kaca TV, setiap Jumaat jam 9 malam di TV3.

Populariti 'Nur Kasih' bukan sahaja terasa di Malaysia tetapi juga di negara jiran, Singapura. Kunjungan Remy, Fizz Fairuz dan Tiz Zaqyah ke Kota Singa baru-baru ini melihat sambutan yang di luar jangkaan.

Kongsi Remy, pengalaman di sana membuatkan dia benar-benar terasa dirinya bagai seorang artis. "Di sini, macam biasa je bila kita keluar tetapi di sana, ke mana kita pergi, kami akan diserbu."

Sejajar dengan peningkatan popularitinya, Remy semakin dicari pihak penerbit. Antara projek lakonannya, telemovie 'Keabadian Cinta', drama 26-episod 'Suraya', filem 'Evolusi KL Drift', 'Duhai Pari-Pari', 'Jebat', ‘Akuarium Cinta’ dan 'Jula Juli Bintang Cinta'. Terbaru, pengarah terkenal Erma Fatima telah menyunting pelakon ‘Anak Halal’ ini untuk terlibat sama dalam teater 'Natrah'.

Satu pencapaian yang menakjubkan bila melihat pada latar belakang anak kelahiran Negeri Sembilan ini yang tiada asas lakonan, hanya bersandarkan minat pada bidang lakonan.

Erma mengakui "jatuh cinta" dengan Remy selepas melihatnya beraksi dalam 'Awan Dania'. Cerita Erma, sukar untuk mendapatkan seorang "lelaki Melayu sejati" seperti Remy di masa ini.




ak nampak keistimewaan pada dirinya
Namun, bukan itu saja gelaran yang diberikan kepada Remy. Malah sudah ada yang menobatkannya sebagai bakal "hero Malaya". Orang lain mungkin berbesar hati dengan gelaran sebegitu tetapi buat pelakon kacak berkulit sawo matang ini, ramai lagi yang lebih berhak.

"Remy tak tahu di mana kehebatan atau keistimewaan Remy. Bagi Remy, Remy biasa je," kata jejaka berusia 27 tahun ini segan.

"Gelaran “hero Malaya” itu satu tanggungjawab besar. Rasanya ramai lagi artis lelaki yang berhak menerima gelaran ini. Mungkin ketika ini nama Remy naik sebab 'Nur Kasih' padahal Remy sebenarnya sama saja dengan orang lain."

Di dalam 'Natrah', Remy akan membawa watak Mansor Adabi, suami Natrah. Jujurnya dikongsi dengan GUA, dia tidak tahu siapa itu Natrah, mengakui dia tidak peka dengan kisah yang berlaku di Singapura pada tahun 1950. Tetapi selepas ditawarkan watak Mansor Adabi, dia mula bertanya kepada orang-orang lama siapa Natrah.



'Natrah' percubaan pertama Remy dalam teater walaupun sebelum ini pernah terlibat dalam sebuah pementasan di bawah arahan Fauziah Nawi.

"Remy diberitahu jika nak belajar berlakon kena buat teater. Remy pun pergi ke Dewan Bahasa dan Pustaka, dan kebetulan pada masa itu ada latihan untuk sebuah teater arahan Kak Fauziah Nawi. Remy minta izin untuk turut serta dan Kak Fauziah benarkan. Malangnya, tiba hari pementasan, Remy tidak dapat hadir sebab masalah jadual."

Takut Kak Erma tidak tegas
Ditanya jika sudah bersedia bekerja dengan Erma yang semua sedia maklum seorang pengarah yang tegas, dedah Remy, lama sudah tersimpan hasrat di hati untuk berlakon di bawah arahan pengarah terkenal itu.

Sebelum ini, Remy pernah ditawarkan Erma peluang untuk terlibat dalam teater muzikal 'Sirah Junjungan' tetapi kerana jadualnya yang ketat, Remy terpaksa menolak. Oleh itu, apabila ditawarkan watak Mansor Adabi dalam 'Natrah', Remy menerimanya tanpa berfikir panjang malah sanggup menolak beberapa tawaran lain.

"Ramai teman artis mengingatkan Remy bahawa Kak Erma seorang yang tegas tetapi sebagai anak askar, Remy sudah biasa dididik dengan tegas.  Biasalah bila kita budak-budak, kita tak suka bila ditegur cikgu. Tapi bila dah dewasa, Remy lebih suka begitu,” kata anak kedua dari empat beradik ini.

"Garang dan tegas itu banyak membantu. Jika kita buat salah dan tidak ditegur, sampai bila pun kita akan ulangi kesilapan itu. Remy takut jika Kak Erma tidak tegas, Remy akan gagal membawa watak Mansor Adabi dengan baik."

Kerana terlalu gementar dengan cabaran yang bakal dipikulnya itu, Ummi Nazeera, dikatakan kekasih Remy, telah menelefon Erma untuk memaklumkannya tentang kerisauan Remy. Dan bukannya untuk meminta Erma tengok-tengokkan Diana Danielle dan Remy kerana takut mereka akan menjalin hubungan.

Mengenai hubungannya dengan Ummi, Remy menjelaskan tiada apa-apa perhubungan di antara mereka. "Setakat kawan saja dan Remy tiada sesiapa yang serius. Remy sangat sibuk dan buat masa ini nak fokus pada kerjaya."

Tak lekang dek kontroversi
Sibuk - itulah alasan yang selalu diberi Remy tatkala pihak media ingin menemuramah atau menjalani penggambaran foto. Dengar kata bila dihubungi para wartawan, selalunya panggilan itu tidak dijawab.

"Remy masih baru dalam bidang lakonan, jadi bila tengah menjalani penggambaran, Remy tak suka diganggu kerana Remy tak berhak memberi masalah kepada produksi.

"Biasanya, telefon akan ditinggalkan di dalam beg atau diletaknya 'silent'. Itu yang buat orang salah faham. Remy cuba elak dari sebarang masalah kerana kadang-kadang bila tersilap sikit, orang dah mula bercakap."

Tambah Remy, kontroversi dilihat sebagai sesuatu yang biasa bila sudah bergelar artis tetapi tidak pernah digunakannya untuk menaikkan namanya.

"Bagi Remy, ia strategi yang salah sebab akhirnya, kita yang kena. Remy serius dalam bidang lakonan dan Remy ingin buktikan kemampuan Remy melalui bakat. Sebelum ini orang mungkin gelak bila mendengar Remy bercakap begitu tapi nampaknya, Remy sudah berjaya buktikan bakat Remy. Jika ada yang tidak pasti sejauh mana Remy boleh pergi, sekarang mereka sudah dapat lihat,” katanya mengakhiri perbualan.

0 ayat cinta: