Dengarnya...: Nur Kasih bakal difilemkan

Saturday, November 28, 2009 marina 0 Comments

MALAM ini peminat setia drama Nur Kasih akan mengetahui kesudahan drama ini. Jadi kepada penonton drama ini jangan lupa untuk mengetahui pengakhirannya bermula 9 malam di TV3. Cik Normah dapat tahu rating mingguan drama ini yang disiarkan setiap Jumaat sudah mencapai lebih 3 juta tontonan.

Malah terbaru, Cik Normah diberitahu, ia sudah mencecah kepada angka 3.9 juta. Malahan, sejak tiga minggu lalu selepas disiarkan ulangannya di TV3 jam 7 lebih pun mendapat rating hingga 1.3 juta. Itu belum lagi di laman maya kerana ia turut mencatat sebanyak 2.8 juta penonton yang menyaksikan menerusi lama sesawang (Catch-up TV).

Cik Normah tumpang seronok dengan kejayaan drama arahan Kabir Bhatia ini cuma kesibukan di pejabat membuatkan Cik Normah sudah terlepas banyak episod. Tak apalah mungkin selepas ini, Cik Normah boleh membeli DVD drama ini yang sudah mula dijual di Singapura.

Kawan sepejabat Cik Normah yang memberitahu DVDnya memang ada dijual di Kota Singa itu apatah lagi drama terbabit turut disiarkan di saluran Sensasi di Singapura. Terbaru ada khabar yang singgah di telinga Cik Normah drama ini bakal difilemkan.

Lara Kirana Manja berkata, kalau tiada aral melintang penggambaran akan dibuat pada Februari ini. Kata Lara lagi, dia kurang pasti sama ada pelakon versi drama akan dikekalkan untuk versi filem. Tak apalah tunggu saja perkembangannya nanti.

Cik Normah harap cerita ini akan jadi kenyataan dan tak mahu jadi seperti yang pernah terjadi pada drama Kekasihku Seru yang kononnya mahu diterjemahkan ke format filem. Cik Normah dapat tahu ura-ura untuk menghasilkan filem Kekasihku Seru yang pernah dikeluarkan kenyataannya oleh Kabir sendiri selaku pengarahnya tidak akan menjadi kenyataan.

Apatah lagi, penonton pun sudah mula lupa mengenai kewujudan drama seram itu. Maka, dengan itu, pihak Kabir sendiri tidak teragak-agak untuk merealisasikan filem Nur Kasih ketika drama itu masih menjadi sebutan dan terpahat dalam ingatan penonton.

0 ayat cinta: