Faizal Kecewa Gagal Beraksi Di Muzik-Muzik

Saturday, November 21, 2009 marina 0 Comments


Penyanyi popular, Faizal Tahir kecewa kerana gagal beraksi di pentas separuh akhir Muzik-Muzik malam ini apabila dia dimasukkan ke sebuah hospital swasta selepas mengadu sakit dada.


Faizal yang mempertaruhkan lagu berjudul Bencinta ciptaan Audi Mok dan lirik oleh dirinya sendiri dikatakan mengadu penat dan sakit dada sebelum dibawa ke hospital kelmarin untuk rawatan lanjut kerana mengalami muntah darah.

Lantaran itu, seorang penyanyi di bawah label Monkey Bone akan menggantikan Faizal pada persembahan separuh akhir Muzi- Muzik malam ini.

"Faizal memang sangat kecewa tidak dapat buat persembahan malam ini kerana dia memang sudah membuat persiapan.

"Namun begitu, dia ok kerana sekurang-kurangnya ada penyanyi yang akan menggantikannya menyanyikan lagu tersebut," kata Pengurus Label Monkey Bone, Edris Adrian ketika dihubungi.

Menurutnya lagi, keadaan Faizal ketika ini stabil dan dia mungkin akan terus ditahan di hospital untuk beberapa hari lagi bagi pemeriksaan rapi dan ujian susulan.

Rawatan awal bagaimanapun mendapati penyanyi ini terkena jangkitan kuman pada paru-parunya.
Ditanya adakah Faizal akan kembali beraksi di Anugerah Juara Lagu ke-24 kelak andai kata lagu Bencinta itu layak ke peringkat akhir, kata Edris:

"Kita tidak tahu lagi macam mana. Jika rezeki memihak kepada lagu tersebut dan Faizal pula sudah kembali sembuh pada masa itu, kemungkinan besar dia sendiri yang akan membuat persembahan.

"Apapun, buat masa ini masih terlalu awal untuk cakap tentang perkara ini. Kami hanya berharap Faizal cepat sembuh," katanya yang enggan mendedahkan nama penyanyi yang menggantikan tempat Faizal itu.

Malam ini, lapan buah lagu akan berentap pada pusingan ketiga separuh akhir Muzik-Muzik iaitu nyanyian Faizal, Misha Omar, Jinbara, Hafiz AF, Tomok, Aizat, Estranged dan Bunkface sebelum 14 buah lagu yang layak ke peringkat akhir diumumkan terus selepas persembahan berakhir.

0 ayat cinta: