Kematian Misteri Stephen Gately (Boyzone)

Sunday, November 01, 2009 marina 0 Comments


LONDON:  Anggota kumpulan Boyzone, Stephen Gately, 33, telah ditemui meninggal dunia, Sabtu lalu ketika bercuti di d'Andratx, Sepanyol. Namun punca kematiannya masih misteri, lapor akhbar News of the World.

Teman rapatnya, Andrew Cowles, berkata, Stephen didapati tidak bernafas selepas keluar minum dan bersuka ria di tempat percutiannya, Majorca.

"Dia keluar untuk minum kemudian balik, tidur tetapi tidak bangun-bangun selepas itu," katanya.

Pengurus Boyzone, Louis Walsh, pula memberitahu akhbar berkenaan, "Kami amat sedih dengan berita ini. Saya sangat terperanjat. Saya memang bersamanya Isnin lalu dalam satu majlis anugerah. Kami sebenarnya tidak tahu apa yang telah berlaku. Kami dijangka bertemu lagi minggu depan. Yang jelas, dia seorang yang baik."

Polis Sepanyol telah memeriksa sebuah rumah dekat Port d'Andratx di sebelah Barat Majorca, petang kelmarin. Menurut jurucakap polis, punca kematian masih tidak diketahui dan tidak ada sebarang petunjuk bahawa berlakunya keganasan. Namun pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada ia mungkin disebabkan penyalahgunaan dadah.

"Mereka tidak menemui sebarang petanda berlakunya keganasan tapi satu bedah siasat akan dijalankan untuk memastikan punca kematian beliau," kata jurucakap polis.

Difahamkan, Stephen dan Andrew telah keluar untuk minum di sebuah bar dan berparty di rumah sebelum penyanyi  itu didapati meninggal dunia secara mengejut. Kemungkinan juga dia telah tersedak.

Andrew menjadi panik dan cuba memberikan bantuan pernafasan mulut ke mulut. Apabila semuanya nampak tidak berjaya, dia juga telah menampar muka Stephen.

"Tetapi doktor kemudiannya mengesahkan bahawa paru-parunya dipenuhi dengan cecair dan sudah terlambat," kata sumber.

Kata sumber itu lagi Stephen dijumpai dalam posisi yang pelik iaitu bertinggung di sofa. Andrew yang duduk di sebelahnya begitu dalam kesedihan dan ditenangkan oleh jiran mereka.

Sementara itu, anggota-anggota Boyzone yang lain seperti Ronan Keating, Keith Duffy, Mikey Graham serta Shane Lynch mengakui bahawa mereka berasa amat sedih dengan kehilangan Stephen itu.

Semua anggota Boyzone dijadual terbang ke Palma, Majorca, semalam. Shane Lynch berkata, "Saya dan anggota kumpulan kami yang lain akan bergegas ke sana pagi ini (semalam). Kami perlu meneruskan apa yang tinggal dan akan buat apa yang perlu."

Stephen atau nama sebenarnya, Stephen Patrick David Gately, dilahirkan pada 17 Mac 1976. Beliau adalah keturunan Irish yang bukan sahaja berkebolehan menyanyi, tetapi juga mencipta lirik dan berlakon.

Sewaktu di dalam Boyzone, Stephen adalah penyanyi utama selain Ronan. Mereka cukup popular dengan lagu No Matter What. Dari segi pencapaian, semua album mereka berjaya mendapat kedudukan teratas dalam carta muzik di United Kingdom (UK) dan album ketiga mereka adalah yang paling berjaya di peringkat antarabangsa.

Dia telah muncul dengan album solo selepas Boyzone berpecah pada tahun 2000. Namun pada 2008, mereka telah bergabung semula untuk rakaman dan siri persembahan.

Dia pernah mendapat liputan hangat berkaitan kehidupan gay dan pernah 'berkahwin' secara sivil dengan Andrew pada Mac, 2006.



p/s: sebelum aku tau dia gay.. aku minat gila kat dia.. masa tue aku sekolah form 4..

0 ayat cinta: