New Moon - Ramai Penonton Jatuh Cinta!

Sunday, November 29, 2009 marina 0 Comments


Seperti yang dijangka, kemunculan filem sekuel The Twilight Saga: New Moon telah mencipta fenomena luar biasa sejak ia mula ditayangkan di Amerika Syarikat (AS) pada 16 November lalu.


Fenomena yang sama kini mula dirasai oleh ramai peminat filem seram-fantasi-romantik itu di Malaysia kerana rata-rata memberikan maklumbalas yang sangat positif selepas menyaksikan buat pertama kali menerusi Tayangan Perdana di Cathay Cineleisure, Damansara, malam kelmarin. 


Nyata ramai terus terpikat dengan aura puntianak romantis, Edward Cullen lakonan Robert Pattinson dan tidak kurang juga yang mula gila bayang dengan fizikal sasa Jacob Black (Taylor Lautner) yang begitu menonjol dalam filem ini.

Portal murai.com.my tidak ketinggalan mengundang 10 GengMurai yang bertuah bersama pasangan masing-masing untuk menjadi penonton terawal menyaksikan filem itu bersama sekumpulan artis malam pada itu.


Tahniah kepada Fatehi Kassim, Yek Kiung Wei, Suhaili Kasim, Mohd Fadzli Abd Mutalib, Nana, Aizat Hazwani, Lau Sai Yew, Shahrul Fawwaz, Mohd Azizul Azlan dan Noor Friziana Muner kerana menang dan sudi hadir.


Mereka adalah pemenang peraduan The Twilight Saga: New Moon-Murai yang berkongsi pawagam bersama-sama Liyana Jasmay, Datin Natasha Hudson, Nurul Abdul Wahab, Linda Onn, Reza dan 3 penyampai Astro Awani iaitu Syazwan, Rizal dan Dino Omar.


Perangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-21,  Liyana akui dia memang menunggu filem ini untuk melihat kesinambungan cinta antara Edward dan Bella Swan (Kristen Stewart).


"Filem ini sungguh menghiburkan dan saya turut dibawa ke alam mereka buat seketika," ujar Liyana.


Perkara yang sama diakui Nurul yang terpegun dengan New Moon dan menyifatkankan pengarahnya, Chris Weitz sangat bijak mengeksploit bakat semua pelakon utama dalam filem itu. Kata Nurul, gandingan bintang remaja iaitu Robert, Kristen dan Taylor begitu mengasyikkan.


Penyampai Sinar FM, Linda Onn pula berkata, filem sekuel kedua ini lebih baik dan mencengkam perasaan berbanding Twilight.


"Saya pula yang sesak nafas menontonnya. Memang best..." seloroh Linda dengan teruja. Dia juga memberikan pose yang sporting untuk murai.com.my sebaik saja melihat poster filem itu.


Seperti mana Twilight, filem New Moon yang berdasarkan novel terkenal, terus mengisahkan konflik gadis biasa, Bella yang mencintai Edward. Kerana tidak mahu kekasihnya terbabit dalam konflik dunia puntianak, Edward cuba menjauhkan diri.


Sepanjang ketiadaan Edward, Bella semakin sepi dan akhirnya jatuh hati dengan Jacob. Namun apabila Edward muncul semula dalam hidup Bella, maka hubungan ketiga-tiga mereka mula meruncing.


Tayangan New Moon di Malaysia telah bermula sejak 25 November lalu. Di AS, New Moon telah berjaya mencatat kutipan box-office pembukaan sebanyak AS$72.7 juta. Kejayaan filem itu turut dibantu dengan teknik kesan khas dan sinematografi yang hebat.

0 ayat cinta: