Black Selesa Solo

Thursday, November 19, 2009 marina 0 Comments


Sudahkah anda mendengar single terbaru Meet Uncle Hussain (MUH), “Drama King”? Single ciptaan Taja ini dinyanyikan oleh Black, juara Mentor musim ketiga. Bagi yang sudah mendengar, apa penilaian anda? Pasti ada yang mengatakan suara Black agak serupa dengan Lan bukan? Jangan cepat membuat konklusi, cuba dengar baik-baik, pasti anda dapat mendengar perbezaannya.

Mengulas tentang pendapat itu, Black atau nama sebenarnya Hanifah Md.Hanafiah memberitahu GUA yang dia tidak setuju apabila orang mengatakan suaranya ada persamaan dengan Lan.

“Cuba dengar elok-elok, mana ada sama. Suara saya dengan Lan sangat berbeza. Saya pun tidak tahu dekat mana yang orang kata sama. Apa pun, saya memang langsung tidak cuba meniru suara sesiapa. Saya bawakan lagu “Drama King” itu dengan cara saya sendiri. Tiada pengaruh daripada pihak lain. Seminggu saya ambil masa untuk menghayatinya malah MUH sendiri memberi kebebasan kepada saya untuk ‘melagukan’ “Drama King”,” jelas Black yang ditemui selepas Muzik-Muzik Separuh Akhir baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, Black turut menafikan yang dia akan menyertai MUH sebagai vokalis kumpulan itu. Ini kerana menurutnya dia lebih selesa bergerak secara solo.

“Tidak mungkin saya akan menyertai MUH, ini kerana saya lebih selesa bergerak secara solo. Lagipun sekarang ini saya terikat dengan Monkey Bone. Saya yakin dengan bakat yang dimiliki, saya boleh berjaya jika saya berusaha bersungguh-sungguh. Tapi ini bukan bermakna saya memandang MUH sebelah mata. Saya tahu mereka sebuah kumpulan yang cukup berbakat dan saya sangat bangga dan seronok kerana dapat berkerjasama dengan mereka,” jelas Black lagi.

Black akan menyertai MUH untuk menjayakan Rock The World 9 pada 26 Disember nanti di Sunway Lagoon bagi menyampaikan lagu “Drama King”.

Dalam perkembangan lain, lagu dendangannya, “Aku Rindu Sayang Kamu” berjaya tersenarai sebagai Top 5 pada Separuh Akhir Muzik-muzik pusingan kedua pada Jumaat lalu.

Ketika ditemui selepas program itu berlangsung, Black memberitahu yang dia sangat berharap agar lagu dendangannya itu boleh melangkah ke peringkat akhir walaupun sedar persaingan Muzik-Muzik kali ini lebih sengit memandangkan formatnya telah bertukar kepada sistem terbuka.

0 ayat cinta: