Ninja Assassin

Thursday, November 26, 2009 marina 0 Comments


Filem:
Ninja Assassin

Dibintangi oleh:
Rain, Naomi Harris, Sho Kosugi, Kylie Goldstein, Rick Yune

Genre:
Aksi / Thriller

Tarikh Tayangan:
26 November

Ulasan:
Tidak rugi anda berbelanja untuk menyaksikan filem arahan James McTeigue ini. Filem yang mempertaruhkan bintang pop Korea, Rain sebagai hero ini penuh dengan aksi mendebarkan. Malah, tidak keterlaluan jika GUA katakan, penuh dengan aksi sadis! Percikan darah boleh dilihat di mana-mana sepanjang 99 minit masa tayangan. Kalau anda bukan peminat filem sebegini, GUA nasihatkan janganlah memaksa diri untuk menontonnya.

Lakonan Rain dalam filem ini cukup meyakinkan. Ternyata dia berjaya menghidupkan wataknya sebagai seorang Ninja yang ingin membalas dendam terhadap ahli kumpulannya sendiri. Semuanya berlaku setelah Raizo sedar betapa kejamnya pertubuhan Ninja yang dianggotainya. Memang dia dilatih menjadi seorang yang tidak berperasaan, tetapi perasaan cinta mengatasi segalanya.

Pembunuhan Kiriko, teman yang dicintai dalam diam, mengubah pandangan Raizo tentang kehidupan. Kerana tidak sanggup melihat pembunuhan demi pembunuhan, Raizo akhirnya berpaling tadah. Tindakan itu membuatkan dirinya menjadi buruan ninja-ninja yang lain.

Dalam masa melarikan diri, Raizo telah bersembunyi di Eropah dan akhirnya dia dijejaki di Berlin apabila terlibat dengan beberapa siri serangan yang melibatkan ahli politik. Bezanya kali ini, Raizo cuba menyelamatkan mangsa daripada serangan ninja. Ketika itulah dia bertemu dengan Mika, penyelidik forensik yang percaya kematian beberapa ahli politik Jerman berkaitan dengan Ninja.

Raizo telah menyelamatkan Mika daripada dibunuh oleh kumpulan Ninja yang dahulunya adalah ‘adik-beradiknya’ sendiri. Klimaks filem ini ialah ketika Raizo terpaksa bertarung dengan Lord Uzunu, lelaki yang bertanggungjawab membawa Raizo ke dunia Ninja.

‘Ninja Assassin’ dilihat sekali lagi mengangkat seni mempertahankan diri dari Asia ke layar perak Hollywood. Malah, ia juga merupakan permulaan baik kepada Rain untuk melangkah ke industri perfileman yang menjanjikan pulangan lumayan itu. Tidak mustahil suatu hari nanti, Rain menjadi rebutan penerbit filem Hollywood. Lihat sahaja lakonannya dalam ‘Ninja Assassin’. Cukup berkesan!

Info:
Hero ‘Ninja Assassin’, Rain dikhabarkan tidak mengambil nasi sepanjang tempoh dia menjalani latihan intensif bagi mendapatkan bentuk badan yang diperlukan untuk filem ini. Rain hanya mengambil ikan mentah, dada ayam, kentang manis dan salad selain berlatih selama 10 jam sehari. Hasilnya dia berjaya mengurangkan berat badan sehingga 12 kilogram.

0 ayat cinta: