Nas T musuh Zahiril dalam drama Waris di TV2

Wednesday, November 11, 2009 marina 0 Comments


ZAHIRIL antara bintang utama Waris.


NAMA dua pelakon muda yang sedang mencipta nama dalam bidang lakonan, Zahiril Adzim dan Nas T sememangnya mendapat tempat di hati peminat setia seni tanah air . Ternyata kehadiran mereka mewarnai dunia lakonan bukan bersandarkan penampilan menarik semata-mata sebaliknya turut didukung dengan pembawaan watak yang berkesan.

Mereka pernah membintangi Kami...The Movie yang mendapat sambutan baik di kalangan remaja. Kali ini menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), kedua-dua pelakon ini muncul dalam drama bersiri Waris yang disiarkan di TV2, jam 10 malam, setiap Selasa, bermula 3 November lalu.

Dalam drama itu, Nas T mendukung watak ‘hitam’ iaitu pemuda jahat bernama Ramon, manakala Zahiril Adzim pula sebaliknya menghidupkan watak Finn, teman Ari yang masih mengekalkan kemunculan Rusdi Ramli seperti dalam filem Waris Jari Hantu.


Diilhamkan daripada filem arahan Datin Paduka Suhaimi Baba, drama bersiri 13 episod terbitan Pesona Pictures Sdn Bhd ini mengetengahkan plot Waris yang dimulai kesinambungan sisi kehidupan Ari yang tinggal bersama Mak Longnya di Ampang Batu selepas kejadian yang berlaku di Mendekar.

Dia mendapat sokongan kakaknya, Kasma juga Tina, kawan baiknya. Begitu pun kehadirannya di situ tidak disenangi sebahagian penduduk kampung, terutamanya Rubiah. Namun segala-galanya tidak mematahkan semangat Ari untuk terus berbakti mengubati penyakit dan membuat ubat-ubatan herba membantu mereka yang memerlukan bantuannya untuk berubat. Pada masa sama dia terpaksa berdepan dilema semangat harimau yang diwarisinya.

Ari berkenalan dengan Renee dan tanpa diduga dia dapat merasakan ada sesuatu yang mengawal Renee. Tia pula mengajak Ari menemaninya menyertai pertandingan nyanyian walaupun dibantah ayahnya, Pak Leman. Akhirnya Tia terpilih ke peringkat akhir yang mana salah seorang juri, Ramon tertarik hati dengan kecantikan Tia.
Tia memutuskan untuk lari dari rumah namun Reena terus membawanya ke rumah Ira. Ari pergi ke Kuala Lumpur mencari Tia dan berkenalan dengan jiran Ira, yang pelik bernama Finn. Pada malam itu Ari dihantui lembaga misteri di rumah Ira. Ramon, penerbit rakaman cuba memancing Tia yang lurus dengan menyuruh Reene memujuk menandatangani kontrak dengan syarikatnya.

Ari bertemu Tia di studio ,namun dia bertegas tidak mahu mengikut Ari pulang ke kampung. Satu pergelutan berlaku antara Ari yang cuba menyelamatkan Tia daripada perangkap Ramon dengan semangat saka yang dimilikinya. Kejadian itu membuatkan Ramon mengupah Harman mencari siapakah musuh yang cuba mencabarnya.

Ketika membersihkan bilik stor di rumah Ira, Ari terjumpa buku lama kepunyaan Kasturi. Finn yang masih trauma menceritakan tentang kisah Kasturi. Untuk menyiasat lebih lanjut, Ari pulang ke kampung bertemu Nenek Alam yang kemudiannya terkejut kerana gambar Kasturi menyerupai Tia. Kasturi sebenarnya primadona yang dikatakan telah hilang hingga kini.

Drama menarik ini turut dibintangi Linda Hashim, Kavita Sidhu, Lana Nordin dan Amelia Chen.

0 ayat cinta: