minggu kedua sehati berdansa

Monday, November 02, 2009 marina 0 Comments


Minggu 2 : Demam Disko
Sebentar tadi telah berakhirnya Malam Sehati Berdansa yang telah disiarkan menerusi Astro Ria (Saluran 104). Bertemakan Demam Disko kehangatan dan kemeriahannya dapat dirasai oleh kesemua penonton yang hadir di Studio Satu, Bukit Jalil.

Persembahan daripada kesemua pasangan selebriti amat membanggakan dan sememangnya layak mendapat pujian daripada sesiapa sahaja yang menontonnya. Kesemua peserta tampil dengan gaya dan konsep persembahan yang berbeza-beza. Minggu ini kesemua persembahan diadili oleh tiga juri yang hadir iaitu Peter Ong, Anita Sarawak dan Joseph Gonzales.

Persembahan pembukaan oleh pasangan Isma dan Zul cukup menghiburkan. Berlatarkan lagu Separuh Masa nyanyian De Lima keserasian Isma dan Zul begitu terselah. Kesemua juri memberi komen yang positif antaranya mereka kelihatan comel dengan kostum dan watak yang dibawa. Namun mereka diingatkan supaya lebih berhati-hati agar tidak terperangkap di dalam mana-mana watak yang dibawakan.

Persembahan kedua oleh Sein dan Nana juga adalah antara persembahan yang cukup bertenaga walaupun terdapat sedikit kesalahan. Nana dikatakan terlalu lemah lembut dan tidak sesuai dengan tema dan konsep tarian yang dipersembahkan. Namun tidak dinafikan terdapat peningkatan berbanding persembahan mereka minggu lalu.

Persembahan pasangan Anita dan Oshin juga dilihat antara persembahan yang menarik malam ini. Anita dan Oshin kelihatan sangat comel. Namun Ismadi masih mempunyai tahap keyakinan yang rendah walaupun terdapat peningkatan berbanding minggu sebelumnya. Bagi pasangan Oshin mereka dikehendaki berhati-hati dengan tempo yang menjadi kelemahan utama mereka.

Berbeza dengan pasangan Dira dan Ash lagu Let’s Dance Together kurang menarik perhatian. Sesekali Ash lupa dengan step tarian yang telah ditetapkan dan pergerakkan mereka kelihatan sedikit perlahan. Namun kedua-dua mereka tampak gembira ketika membuat persembahan dan menyebabkan mereka tampak hebat malam ini.

Pasangan Mirna dan Norah mendapat pujian daripada Peter Ong. Peter kelihatan sangat teruja dengan persembahan mereka. Pasangan Mirna dan Norah dikatakan sangat berani kerana menampilkan pelbagai aksi-aksi yang boleh dikatakan agak membahayakan.

Pasangan Enot dan Zainul adalah antara pasangan yang mendapat sorakan gemuruh malam tadi. Walaupun mengalami kecederaan di pergelangan kaki kanannya, Enot tetap tampil memberikan persembahan yang terbaik. Kesemua juri sangat mengagumi semangat dan kesungguhan Enot meneruskan persembahannya malam tadi.

Seperti biasa Didie dan Sazzy merupakan dua pasangan yang tampil dengan persembahan yang paling menarik. Keserasian diantara pasangan masing-masing begitu mengagumkan. Kedua-kedua mereka mendapat pujian daripada kesemua juri sekaligus menempatkan mereka dua pasangan yang memperolehi markah juri yang paling tinggi.

Berikut adalah markah yang telah diberikan oleh juri-juri professional:

Sazzy – 97.67
Dira – 79.33
Mirna – 78.33
Anita – 75.33
Oshin – 74.00
Didie – 92.67
Sein – 76.67
Isma – 83.33
Enot – 80.00

Sudah menjadi adat berakhirnya Malam Sehati Berdansa maka akan muncullah Debaran Sehati Berdansa. Mungkinkah akan ada pasangan yang akan tersingkir minggu ini? Siapakah yang bakal tersingkir di minggu kedua? Untuk mendapatkan jawapannya saksikan Debaran Sehati Berdansa esok jam 9.00 malam hanya di Astro Ria (saluran 104) dan teruskan mengundi.

0 ayat cinta: