Hamil Kali Ke-2, Dynas Tetap Aktif
Kegagalan bayi pertamanya lahir ke muka bumi pada April tahun lalu, sedikitpun tidak mematahkan semangat buat pelakon dan model popular Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 26, atau Dynas yang kini hamil sekali lagi.Kandungan yang telah berusia 5 bulan itu merupakan rahmat buat Dynas dan suami, Md Hafizy Hafiz yang dijangka bakal melihat buah hati mereka itu pada awal tahun depan.
Meskipun berbadan dua, itu tidak bermakna pelakon yang pernah menggondol Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008, perlu duduk bergoyang kaki sementara menanti kelahiran anak keduanya itu.
Sebaliknya, semakin membesar kandungannya, Dynas dilihat semakin aktif berlakon, malah tidak kering dengan undangan yang merlukan dia menyerikan sesebuah majlis.
"Entahlah makin sarat ni, makin banyak pula tawaran berlakon. Sebenarnya saya baru saja habis penggambaran drama Di Bawah Ketiak Isteri musim terbaru dan ada beberapa lagi tawaran yang terpaksa saya batalkan kerana memikirkan kandungan ini.
"Bagi saya, bila mengandung itu bukan bermakna saya tidak boleh aktif. Lagipun kandungan kali ini tidak seteruk yang pertama dulu, seperti mengalami muntah-muntah dan alahan lain. Tiba-tiba saja saya diberi tahu doktor saya mengandung," katanya.
Tambah Dynas, dia dan suami dijangka akan bercuti selama 2 minggu ke Melbourne, Australia bermula pertengahan Disember ini bagi menyambut Tahun Baru 2010 di sana.
Meskipun begitu, kata Dynas dia sedar kegagalan kandungan pertamanya dulu sangat wajar dijadikan panduan untuknya namun itu tidak bermakna dia perlu terus terkaku dengan kesedihan kegagalan lalu.
Katanya, selepas tragedi sedih berkenaan, dia banyak menghabiskan masa dengan menjalani rawatan secara tradisional dan berkunjung ke gimnasium bagi mengembalikan kesihatan serta bentuk fizikalnya. Dia akui ramai teman-teman termasuk ahli keluarga terdekat yang cukup prihatin dengan kandungan keduanya itu.
"Kegagalan lalu menjadikan saya wanita yang kuat dan sebab itu apabila mendapat tahu saya mengandung sekali lagi, saya gembira. Apa yang penting sekarang saya perlu laluinya seperti biasa. Semua ini adalah takdir Tuhan," katanya.
0 ayat cinta: