‘Natrah’ Kurang Sentuh Perasaan

Thursday, December 10, 2009 marina 0 Comments


Pementasan teater ‘Natrah’ di Istana Budaya memang ditunggu-tunggu oleh ramai peminat teater kerana ia berdasarkan kisah benar. Walaupun kisah ini berlaku ketika penjajahan Inggeris di Tanah Melayu, tetapi peristiwa berdarah yang berlaku ketika perebutan Natrah di antara ibu angkatnya, Che Aminah dan bapa kandungnya Hertogh menjadi bualan masyarakat untuk beberapa ketika.

Kisah penuh tragis ini akhirnya diangkat oleh Erma Fatima untuk dipentaskan di Istana Budaya bermula 30 Nov lalu. Pementasan ini dilihat membuka peluang kepada masyarakat untuk mengetahui lebih jelas tentang peristiwa Natrah. Satu usaha yang perlu diberi pujian.

Menurut Erma, antara persoalan penting yang cuba diketengahkan menerusi teater ini ialah cinta pelbagai dimensi termasuklah rasa kecintaan Natrah kepada Tuhan dan bangsa, serta keluarga yang amat dicintainya.

“Selepas menonton ‘Natrah’, terpulang kepada penonton untuk membuat tafsiran sendiri berdasarkan fakta-fakta yang telah saya persembahkan. Dalam hal ini, hanya Natrah sahaja yang tahu. Apa yang boleh saya katakan, ‘Natrah’ bukan mengetengahkan soal agama, sebaliknya ia tentang hak dan kepercayaan setiap orang termasuklah Natrah,” jelas Erma.

Bagaimanapun, GUA agak kecewa dengan pementasan ini kerana ia tidak berjaya mengheret GUA untuk sama-sama merasai kepahitan dan kesedihan yang dialami oleh Che Aminah dan Natrah.

Memang Umie Aida berjaya menjiwai watak Che Aminah tetapi apa yang kurang di sini ialah, pengarah tidak menunjukkan ikatan perasaan yang terjalin di antara Che Aminah dan Natrah. Kita tahu Che Aminah amat menyayangi Natrah, tetapi babak-babak yang dipertontonkan tidak berjaya menonjolkan ikatan kasih-sayang ini. Bagai ada yang kurang. Mungkin Erma terlalu menumpukan kepada fakta-fakta kes sehingga terlupa untuk menyentuh emosi penonton.

Selain itu, GUA juga agak terganggu dengan krew yang bertugas untuk menyelengara ‘props’. Kehadiran mereka di atas pentas menyakitkan mata kerana masih terhegeh-hegeh menolak props walaupun pelakon sudah mula beraksi. Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku. Malah, ada satu ketika kedengaran roda ‘props’ yang ditolak ketika Maya Karin sedang bermonolog. Ketika itu seluruh dewan sunyi kerana tiada muzik latar dan masing-masing ingin menghayati dan memahami kata-kata yang dilontarkan oleh Natrah, tiba-tiba kedengaran bunyi yang tidak sepatutnya. Cukup menyakitkan telinga!

Walaupun teater ini ada kekurangannya, tetapi GUA puji dengan lakonan yang dipamerkan oleh pelakon-pelakonnya. Maya berjaya mengubah dirinya menjadi Natrah yang berusia 13 tahun. Sifat keanak-anakkannya terserlah. Begitu juga dengan lakonan Samantha Schubert. Cukup menyakinkan sehingga membuatkan GUA bersimpati dengan Adeline Hertogh. Walaupun muncul seketika, tetapi lakonannya meninggalkan kesan di hati penonton. Remy Ishak yang memegang watak Mansor Adabi juga boleh diberi pujian memandangkan ini percubaan pertamanya di pentas teater.

Selain daripada membariskan pelakon-pelakon terkenal, ‘Natrah’ juga dibarisi oleh ramai pelakon teater berbakat iaitu Hamzah Mohd. Tahir, Sahronizam Noor, Hadi Tahir, Iqbal Taufik, Mazin Ameen Siraj, Mutalif Abu Bakar, Mohd. Shahidan Salleh, Mohd. Sufian Bujang dan Jamal Mohamad.

Secara keseluruhannya, teater ‘Natrah’ berjaya menyampaikan fakta yang ingin dikongsi bersama penonton. Cuma, ia kurang menyentuh perasaan. Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang Natrah, jangan lepaskan peluang menonton ‘Natrah’. Teater ini masih dipentaskan di Istana Budaya sehingga 13 Disember ini.

Tiket-tiket berharga RM30 hingga RM150. Sila hubungi talian 03-40265558 ataupun layari laman sesawang www.istanabudaya.gov.my untuk sebarang pertanyaan berhubung tempahan tiket.

0 ayat cinta: