9 Artis Paling Menyerlah 2009

Friday, December 18, 2009 marina 0 Comments


Penghargaan ini diberi kepada para artis yang pada pendapat GUA, paling menonjol dalam pencapaian kerjaya mereka. Mengapa hanya sembilan saja yang dipilih? Kerana ini tahun 09.


1. Remy Ishak


Selepas membintangi drama bersiri ‘Nur Kasih’, nama Remy Ishak mula meniti dari bibir ke bibir peminat. Populariti yang diraih oleh pelakon kacak ini melayakkan dirinya disenarai sebagai artis paling menyerlah pada tahun 2009. Bagaimanapun, bukan itu sahaja ukuran yang diambil untuk menyenaraikan Remy, tetapi bintang ini juga dilihat banyak membintangi drama atau telemovie lain, sama ada sebagai hero mahupun watak pembantu.

Mengimbas di awal kemunculan Remy, pelakon yang berasal dari Negeri Sembilan ini pernah mengundang kontroversi apabila dia membintangi filem pendek berjudul ‘Comolot’, karya seorang pelajar jurusan seni perfileman dari Universiti Teknologi Mara (UiTM). Filem pendek itu berkisar tentang golongan ‘gay’.

Insiden itu, bagaimanapun, tidak mematahkan semangat Remy untuk terus berada di dalam industri. Kini dia terus mengorak langkah apabila mula beraksi di pentas teater di bawah arahan Erma Fatima menerusi teater ‘Natrah’. Remy memegang watak Mansor Abadi, suami kepada Natrah. Berita dia dibelasah sekumpulan lelaki juga menjadikan Remy semakin menjadi perhatian ramai!



2. Liyana Jasmay

Pasti ramai bersetuju dengan pilihan GUA ini. Tahun 2009 boleh dikatakan sebagai tahun gemilang buat Liyana Jasmay (LJ).  Satu demi satu kejayaan diraih oleh pelakon yang dikatakan sedang asyik bercinta dengan Aizat ini.

Terbaru, LJ sekali lagi dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem di Anugerah Skrin 2009 pada 4 Disember lalu. Kemenangan itu diperolehi menerusi filem ‘Kami The Movie’. Sebelum itu, dia meraih kemenangan yang sama di Festival Filem Malaysia ke-22 menerusi filem arahan Afdlin Shauki, ‘Papadom’.

Selain berlakon, LJ juga melebarkan sayap seninya dengan mencuba bidang nyanyian. Single pertamanya, “Aku Tidak Percaya Cinta” sering diputarkan di corong-corong radio sehingga menjadi siulan anak-anak muda.

Percaya dengan bakat yang ada, LJ baru-baru ni telah melancarkan album sulungnya dengan mempertaruhkan lima buah lagu kesemuanya.



3. Aizat
Pasangan duet LJ menerusi lagu “Penyelamat Cinta” (dimuatkan dalam album terbaru LJ) ini semakin mendapat perhatian ramai. Aizat yang mengetengahkan konsep ‘singer-songwriter’ ini berjaya mencuri hati peminat sebaik sahaja dia tersingkir daripada program 'Akademi Fantasia' (AF). Lebih-lebih lagi setelah dia berjaya menurunkan berat-badan.

Album sulungya, ‘Percubaaan Pertama’ mendapat sambutan ramai dan atas sebab itulah Aizat menerbitkan ‘Percubaan Pertama (Repackage)’ dan VCD Karaoke yang memuatkan tambahan lagu seperti “Kau Aku” dan dua buah lagu dari album runut bunyi ‘Talentime’ iaitu “Pergi” dan “Itulah Dirimu”.

Aizat juga banyak meraih kejayaan dalam beberapa anugerah hiburan seperti Anugerah Planet Muzik 2009 yang menyaksikan dia membawa pulang trofi untuk Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Artis Baru Lelaki) dan Lagu Paling Popular (Malaysia) menerusi “Hanya Kau Yang Mampu”.

Ketika mewakili negara untuk Festival Muzik Pop Antarabangsa di Bulgaria pada Mei lalu Aizat menang Anugerah Khas Persembahan Terbaik menerusi lagu “Hanya Kau Yang Mampu”. Dan di Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) nanti, dia satu-satunya penyanyi yang mempertandingkan dua buah lagi, “Kau Aku” dan “Pergi”.



4. Yuna
 

Penyanyi wanita yang memilih tidak bernaung di bawah mana-mana label ini walaupun dikatakan ada masalah dengan pihak media, tetapi dia tetap menyerlah dan mampu memberi saingan kepada rakan-rakan penyanyi yang lain. Semuanya kerana irama muzik ala Norah Jones yang dibawakannya. Single berjudul “Dan Sebenarnya” bukan sahaja popular di stesen-stesen radio, tetapi ia juga berjaya memasuki AJL24 yang akan diadakan pada 10 Januari tahun hadapan.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi MARA ini mula dikenali menerusi laman komuniti MySpace. Tujuan asalnya mencipta dan mendendangkan lagu adalah sekadar untuk berkongsi muzik. Bagaimanapun, tanpa disangka, sambutan yang diterima begitu hangat. Gadis bertudung ini akhirnya menjadi sebutan ramai kerana caranya berbeza.



5. Stacy
 uara AF musim ke-6 ini memang digilai oleh ramai peminat, sama ada wanita mahupun lelaki. Kelincahan gadis ini ketika beraksi di atas pentas pernah mengundang tuduhan yang mengatakan dia cuba meniru Agnes Monica, penyanyi dari Indonesia. Namun, tuduhan ini disangkal Stacy.

Album sulungnya, ‘Aku Stacy’ mendapat sambutan hangat walaupun hanya memuatkan tiga lagu baru. Single “Pakai Buang”, ciptaan Edry KRU, selain daripada menjadi hit, juga layak bertanding di AJL24 pada Januari depan. Kehadiran gadis ini dalam industri semakin menyerlah apabila dia memberanikan diri mencuba bidang lakonan seperti dalam drama ‘Kau & Aku’ dan telefilem ‘Rumah Baru, Isteri Baru, Baru Raya’.



6. Alyah
Hampir sedekad mengabdikan dirinya dalam bidang nyanyian, tetapi entah dimana silapnya, penyanyi berusia 28 tahun ini tidak dikenali.

Pelbagai strategi diatur juara Bintang HMI 2000 ini untuk menaikkan profilnya – dari menyertai pertandingan realiti 'One In A Million' (OIAM) musim kedua dan musim ketiga Gang Starz (tetapi disebabkan masalah kesihatan, dia terpaksa menarik diri), malah satu ketika pernah bergelar anggota The Fabulous Cats dan diriliskan album ‘Fantastik’ – namun setiap usaha pemilik nama penuh Noor Hasliah Abu Hasan ini menemui kegagalan.

Sehinggalah “Tak Mungkin Kerna Sayang”, ciptaan Ajai dan lirik oleh Habsah Hassan. Lagu itu membuka lembaran baru buat Alyah. Kini, siapa yang tidak mengenali anak kelahiran Johor Bharu ini. Yang paling mengujakan, pada 10 Januari ini, dia akan berentap bersama 13 finalis lain untuk berebut gelaran Juara AJL24.



7. Bunkface
Tahun 2009 menandakan perkembangan penting dalam kerjaya band indie, Bunkface. Mula dikenali di aliran ‘underground’ melalui single pertama “Silly Lilly” dari EP ‘Lesson of the Season’, tetapi dengan karya “Situasi”, nama Bunkface meledak di arus perdana.

Tiba-tiba, kumpulan yang dianggotai Sam, Youk dan Pa’an menjadi tuntutan semua. Dari akhbar dan majalah yang ingin menjadikan mereka penghias muka depan, penganjur konsert yang mahukan mereka sebagai acara utama ke syarikat telekomunikasi TM yang telah mengatur strategi bijak apabila menggunakan lagu "Through My Window" sebagai lagu tema kempen 'Everyone Connects'.

Pada Julai lalu, mereka muncul pemenang terbesar di Shout! Awards dengan menggondol tiga anugerah - Rockstar, Break Out dan Ultimate Shout! Award. Mereka mengakhiri pencapaian tahun ini dengan melangkah ke AJL24, mempertaruhkan lagu “Situasi”.

Membuktikan mereka bukan sekadar juara kampung, Bunkface pada 12 Disember lalu telah dijemput membuka untuk Ray Gun ketika konsert mereka di Singapura.



8. Hujan
Selepas meletup di industri muzik tempatan tahun lalu, tahun 2009 melihat Hujan membuktikan kepada para pengkritik jangka hayat mereka bukan sekadar 15 minit saja. Album kedua mereka, 'Mencari Konklusi' memang dinanti-nantikan peminat. Sebulan selepas dipasarkan, 'print' pertama, berjumlah 2 ribu CD, habis dijual.

Lebih selesa bergerak tanpa sokongan syarikat rakaman besar, Noh, Dimas, AG dan Am membuktikan mereka bukan hanya pemuzik tetapi sekumpulan anak muda yang ‘business-savvy’ dan bervisi, yang tahu bagaimana untuk mempromosikan dan memasarkan muzik mereka.

Sempena pelancaran 'Mencari Konklusi', mereka mengadakan satu siri jelajah ke Singapura, Kangar, Sungai Petani, Pulau Pinang, Taiping, Kuala Terengganu, Kuantan, Melaka, Kota Bharu dan KL.

Awal tahun ini, mereka telah ke Indonesia untuk menguji sejauh mana penerimaan pasaran seberang terhadap muzik mereka. Cukup jika dikatakan muzik Hujan diterima peminat-peminat muzik di sana dengan hati terbuka.

Band yang telah merangkul anugerah Album dan Lagu Rock Terbaik di AIM16 pada Mei lalu, akan berentap di AJL24 melalui lagu "Aku Skandal".



9. Tomok
Kerjaya seni anak muda bernama Shah Indrawan Ismail ini diberi nafas baru apabila memenangi musim ketiga OIAM.

Siapa sangka, penyanyi utama New Boyz yang satu ketika dulu dilihat sebagai penyanyi leleh mampu bangkit dan membuktikan dirinya sebagai seorang penyanyi dan penghibur yang berbakat.

Nama Tomok yang sebelum ini pudar di ingatan, rancak disebutkan semula. Tawaran persembahan semakin bertambah malah ada juga  ditawarkan peluang berlakon filem. Tomok bakal membuat penampilan pertamanya di layar perak melalui filem sains fiksyen, ‘Mantera’, membawa watak utama.

Namun rasanya tiada apa yang dapat menandingi perasaan menjejakkan kaki ke pentas AJL. Buat pertama kalinya, dalam 10 tahun bergelar penyanyi, Tomok, 25, akan beraksi di AJL24 apabila “Rindu Terhenti” tersenarai sebagai antara 14 lagu yang berjaya ke finals.

0 ayat cinta: