Pencalonan ABPBH09 Dibuka 4 Dis
Mampukah Raja Lawak, Nabil mengekalkan gelaran Bintang Paling Popularnya? Atau adakah Raja SMS, Mawi akan mencipta kejutan besar pada malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH09) dengan merampas balik takhta yang sudah menjadi miliknya selama tiga tahun berturut-turut dari 2005 - 2007?Keputusannya di tangan anda. Bermula 4 Disember ini, borang pencalonan pusingan awal untuk ABPBH09 sudah boleh didapati dalam akhbar Berita Harian/Berita Minggu.
ABPBH, anjuran Berita Harian, diadakan setiap tahun dengan tujuan memberi pengiktirafan kepada penggiat seni tanah air.
Peminat perlu memilih lima calon kesukaan mereka bagi setiap 16 kategori yang dipertandingkan. Borang undian ini mengandungi tujuh kepingan dan peminat harus melengkapkan satu set sebelum menghantarnya kepada penganjur.
Edisi ke-23 ABPBH ini menampilkan satu kelainan, di mana kali ini peminat juga boleh melakukan undian mereka melalui SMS. Keterangan lanjut mengenai undian SMS boleh diperolehi di akhbar Berita Harian.
Pihak penganjur menerima banyak pencalonan daripada syarikat rakaman, syarikat penerbitan filem, stesen TV dan radio untuk artis dan selebriti di bawah naungan mereka. Pencalonan terbuka kepada personaliti, selebriti, pelakon dan penyanyi yang terbabit secara aktif dan konsisten dalam bidang masing-masing untuk tempoh produk yang diterbitkan di antara 1 Januari - 31 Disember 2009.
Sebagai insentif buat peminat, pelbagai hadiah lumayan ditawarkan termasuk dua buah motor GTR 170X sumbangan Naza Bikes Sdn Bhd, pakej melancong 4H/3M ke Bali, Indonesia sumbangan POTO Travel & Tours, pakej rawatan kecantikan dan pelansingan badan sumbangan Slimming Sanctuary serta hadiah berupa barangan bernilai RM50,000 seperti telefon bimbit, iPod, komputer riba, pemain MP4 dan kamera digital.
Menampilkan tema 'Puncak Kegemilangan', ABPBH09 akan berlangsung pada 4 April tahun depan di Arena of Stars, Genting Highlands.
0 ayat cinta: