Teater garapan Erma Fatima ini tidak sekadar dari sudut kontroversi saja

Thursday, December 03, 2009 marina 0 Comments

Teater garapan Erma Fatima ini tidak sekadar dari sudut kontroversi saja


"Kisah budak perempuan bernama Natrah yang dibela sebuah keluarga Melayu tetapi direbut keluarganya, seorang Belanda, menggemparkan Tanah Melayu. Selepas 59 tahun, peristiwa bersejarah itu kembali diperkatakan"

SELAMA ini, kehidupan penuh tragik seorang insan bernama Natrah hanya diketahui menerusi tulisan. Suka, duka, tawa, sedih dan pelbagai perasaan yang mewarnai kanvas kehidupannya kebanyakannya dilakar dalam bentuk dokumentasi. Bagi generasi lama, kisah Natrah ini bukan saja pernah menggemparkan negara tetapi akan terus dikenang kerana pengajaran yang ditinggalkannya bukan sedikit kesannya.

Begitupun, tidak ramai yang tahu apakah kisah sebenar yang terjadi kepada gadis Belanda yang pernah mencetuskan kontroversi sehingga berlakunya rusuhan kaum hampir enam dekad lalu. Bukan niat untuk mengguris kembali luka lama atau cuba mengungkit sejarah yang mungkin boleh membuat ada pihak terasa namun pementasan teater Natrah yang sedang berlangsung di Panggung Sari. Istana Budaya bermula kelmarin akan mengajak penonton menyelami hati tiga insan yang terperangkap dalam perasaan serta sifat kemanusiaan.

Di tangan Erma Fatima, naskhah Natrah atau nama sebenarnya Maria Huberdina Hertogh bagai mengembalikan semula ingatan penonton ke zaman silam serta menyaksikan sendiri di depan mata perjalanan hidup anak angkat kepada Che Aminah ini.

Pementasan bermula dengan aksi monolog Natrah ketika berusia 70 tahun yang dilakonkan Sofea Jane. Luahan penuh emosi dan memuntahkan segala penderitaan yang dialami selepas terpaksa berpisah dengan ibu angkat dan suami tercinta sudah cukup menghantar isyarat bahawa dua jam yang akan ditempuh nanti bakal menjelaskan segala-galanya yang menjadi tanda tanya sebelum ini.

 Pementasan bermula dengan aksi monolog Natrah ketika berusia 70 tahun yang dilakonkan Sofea Jane. Luahan penuh emosi dan memuntahkan segala penderitaan yang dialami selepas terpaksa berpisah dengan ibu angkat dan suami tercinta sudah cukup menghantar isyarat bahawa dua jam yang akan ditempuh nanti bakal menjelaskan segala-galanya yang menjadi tanda tanya sebelum ini.



“Itulah hakikat yang terpaksa kita semua terima. Namun untuk apa kita kesalkan kerana perkara itu sudah lama berlaku. Jadikan apa yang berlaku ke atas Natrah sebagai iktibar. Soal akidah memang harus dipertahankan,” luah wanita berjiwa kental ini ketika ditemui sejurus selepas pementasan pembukaan teater Natrah yang berlangsung malam kelmarin berakhir.

Turut hadir menyaksikan teater itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noarinee Abdul Rahman, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabngsa dan Industri (MITI), Datuk Mukhriz Tun Mahathir, Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Joseph Salang Gandum serta Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) KPKK, Datuk Mohamed Mohd Daud.

Dalam kesedihan, penonton tetap disajikan dengan elemen lucu apabila terselit juga adegan Hindustan sewaktu babak percintaan membabitkan Natrah dan Mansor Adabi, lakonan Remy Ishak.

“Kenapa orang kita suka menonton filem Hindustan? Jawapannya kerana mereka mahukan hiburan dan lagu mereka yang menarik boleh membuatkan leka. Sebab itulah saya menyelitkan elemen Bollywood iaitu dari segi tarian dan juga lagunya,” katanya.



Sebagai pengarah, Erma nyata beruntung kerana teater terbabit ditunjangi pelakon berpengalaman dan hebat. Malah tiga pelakon utamanya iaitu Sofea, Maya Karin dan Umie Aida pernah menggenggam anugerah Pelakon Wanita Terbaik.

“Saya bersyukur kerana mendapat pelakon yang bagus. (Tetapi) biasalah, hari pertama persembahan, pastinya ada cacat cela di sana sini. Apapun, saya akan pastikan segala kelemahan yang berlaku akan dapat diperbaiki dari masa ke semasa.

“Saya juga kagum dengan apa yang ditonjolkan Maya dalam teater ini. Fizikalnya amat bersesuaian dengan watak Natrah dan begitu juga dengan emosinya. Nampaknya dia memang pilihan yang tepat untuk membawakan watak Natrah,”pujinya.

Umie, Maya kongsi pengalaman hayati Natrah

TIDAK dinafikan, pelakon adalah tunjang utama dalam menggerakkan teater ini. Mungkin props yang dihasilkan kurang hebat, tetapi kekuatan Natrah adalah pada jalan cerita dan pelakonnya. Mereka bijak bermain perasaan dan membiarkan penonton larut dalam emosi.

Umie meletakkan seluruh perasaan dan jiwanya pada watak Che Aminah. Biarpun tidak mengenali secara peribadi, namun dek kerana pengalaman dan dedikasinya pada wanita malang itu, Umie berjaya merealisasikan watak Che Aminah dengan penuh berkesan.

“Sebelum ini, saya hanya mengenalinya melalui pembacaan dan dari situ saya dapat merasakan yang Che Aminah adalah seorang yang kuat, bijak dan tidak mudah mengalah. Saya hanya perlu tahu beberapa perkara mengenainya dan selebihnya saya menggunakan imaginasi saya sendiri untuk menghidupkan watak itu,” katanya sambil mengakui puas dapat melakonkan watak Che Aminah, yang amat diimpikannya.

Bagi Maya Karin, watak Natrah memberikan kesan mendalam buat dirinya sehingga terbawa-bawa dalam kehidupan sehariannya.

“Tidur kena jadi Natrah, mandi sebagai Natrah, makan sebagai Natrah. Pendek kata, apa yang saya lakukan, saya kena fikir pasal Natrah sehinggakan suami saya telefon pun, saya rasa macam saya ini Natrah,” cerita Maya sambil tertawa.

Ditanya bagaimana meletakkan diri dalam watak Natrah sewaktu usia 13 tahun, Maya berkata memang ada sifat kanak-kanak dalam jiwanya.

“Kelebihan itulah saya gunakan untuk menghidupkan watak Natrah ketika kanak-kanak.Lagipun sudah lama saya nantikan saat seperti ini iaitu lebih sedekad dan akhirnya tercapai juga impian saya,” katanya yang pertama kali membintangi teater Melayu.

INFO
Natrah





  • Dipentaskan mulai 30 November hingga 9 Disember








  • Masa persembahan, 8.30 malam dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya.








  • Harga tiket, RM30, RM50, RM70, RM100 dan RM150








  • Urusan pembelian tiket boleh dilakukan dengan menghubungi Box Office, Istana Budaya di talian, 03-40265558 atau faks, 03-40265552.








  • Pembelian secara online, www.ticket2u.biz atau hubungi 03-41498600. 





  • Laman web Istana Budaya, www.istanabudaya.gov.my

    0 ayat cinta: