Avatar

Friday, December 25, 2009 marina 0 Comments


Filem:
Avatar

Dibintangi:
Sam Worthington, Zoe Saldana, Michelle Rodriguez dan Sigourney Weaver

Genre:
Pengembaraan / Fiksyen

Ulasan:
Buah tangan terbaru daripada James Cameron ini memang boleh dikategorikan sebagai filem wajib tonton pada tahun ini. Kalau dulu pengarah hebat ini mempertaruhkan percintaan dua darjat melalui filem box office ‘Titanic’, kali ini beliau mengetengahkan percintaan dua insan dari dunia yang berbeza. Malah, ia dipersembahkan dengan menggunakan teknologi filem terkini.

Anda pasti terpesona  dengan keindahan planet Pandora yang penuh warna-warni. Planet yang terletak jauh dari bumi itu memerlukan empat tahun kelajuan cahaya untuk sampai ke situ.  Pandora digambarkan sebagai sebuah planet indah yang masih jauh ketinggalan daripada teknologi. Penghuninya adalah puak asli bangsa Na'vi yang rupa fizikalnya berwarna biru, berketinggian tiga meter dan hidup dengan kepercayaan spritual yang tinggi.

Walaupun filem ini sekadar fiksyen kerana diadun dengan unsur-unsur dogengan, tetapi Cameron cuba menyampaikan mesej yang baik kepada penonton. Malah, mesej yang ingin disampaikan olehnya itu relevan dengan keadaan politik dan krisis ekonomi dunia sekarang ini.

Melalui ‘Avatar’, manusia digambarkan sebagai kumpulan penceroboh yang mahu merampas dan menjajah planet Pandora semata-mata kerana ingin mendapatkan kekayaan mineral yang cukup berharga. Untuk mencapai matlamat, manusia sanggup melakukan apa sahaja, walaupun harus mengorbankan nyawa. Inilah senario masyarakat dunia sekarang ini. Mungkin Cameron mahu lebih ramai yang membuka mata dan menyedari bahawa peperangan atau penjajahan bukanlah jalan terbaik.

Menariknya filem ini, makhluk asing tidak mengancam manusia, sebaliknya manusia yang menjadi musuh kepada mereka. Penonton akan bersimpati dan menyokong makhluk asing ini, bukan membenci. Agak lucu apabila terdapat adegan di mana puak Na’vi mengusir manusia daripada planet Pandora. Apa tidaknya, selalunya kita disajikan dengan filem-filem yang menyaksikan manusia berjaya menumpaskan makhluk asing, tetapi kali ini Cameron melakukan sebaliknya. Satu pendekatan yang cukup bijak.

‘Avatar’ mengambil tahun 2154 sebagai latar zamannya, tiga dekad selepas sebuah syarikat korporat multinasional melakukan perlombongan di planet Pandora. Operasi syarikat ini sampai ke kemuncaknya apabila mereka ingin menguasai galian unobtainium yang amat berharga.

Masalahnya, galian tersebut terletak di bawah pohon raksasa yang menyimpan semangat dan kehidupan puak Na’vi. Malah,  puak Na’vi menganggap pohon itu cukup suci kerana ia merupakan nadi kepada kehidupan mereka. Untuk mendapat galian itu, syarikat korporat itu perlu mengusir puak Na’vi daripada mendiami pohon tersebut. Dengan diketuai oleh Kolonel Miles Quaritch (Stephen Lang) operasi untuk mengusir puak Na’vi pun bermula.

Bagi memastikan operasi tersebut berjaya, mereka menghantar Jake Sully (Sam Worthington), bekas tentera Marin yang lumpuh melalui program Avatar yang membolehkan Jake menyerap ke klon tubuh bangsa Navi bagi mendekati kehidupan puak Na'vi sekaligus membolehkan manusia menguasi puak Na’vi dengan mudah.

Bagaimanapun, keadaan menjadi sebaliknya, apabila Jake mula jatuh hati dengan kehidupan barunya itu. Bahkan, dia juga menyintai Neytiri (Zoe Saldana), anak kepada ketua puak Na'vi. Tindakan Jake ini ternyata bertentangan dengan misi mereka untuk menguasai kumpulan tersebut. Menyedari hakikat itu, Kapten Miles tidak lagi mahu berkompromi dan mula mengerahkan tentera menghalau puak Na’vi.

Info:
Filem yang menelan belanja kira-kira RM1.2 bilion ini mengambil masa yang untuk disiapkan iaitu kira-kira 15 tahun. Skrip filem ini mula ditulis oleh James Cameron pada tahun 1994 dan ia dijangka ditayangkan pada 1999. Bagaimanapun, hasrat itu terpaksa dilupakan oleh Cameron kerana menurutnya teknologi perfileman ketika itu belum dapat merealisasikan filem tersebut. Filem ini diterbitkan dalam versi 2D dan 3D.

0 ayat cinta: