Aishah Peraga Mutiara RM1 Juta!
Persiapan Aishah dan Awal Ashaari untuk menjayakan Konsert Irama Warisan Kita bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 11 - 13 Disember ini, memang dilakukan dengan bersungguh-sungguh.Elemen glam nyata cuba diselitkan oleh pihak penganjur iaitu DFP apabila Aishah akan memperagakan mutiara yang mencecah nilai hampir RM1 juta daripada Rafflesia The Pearl Centre manakala Awal pula mengenakan beberapa sut anggun rekaan Lord's Tailor.
Biarpun akan hanya mempersembahkan 2 lagu iaitu Bahtera Merdeka dan Joget Kenangan Manis, Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, tetap mengakui dia begitu teruja untuk membuat persembahan kerana akan beraksi dengan MPO pimpinan Dato' Johari Salleh.
"Ini satu permulaan yang baik kerana DFP selalunya menganjurkan persembahan bercorak antarabangsa. Dan saya juga kagum dengan semangat pihak penganjur yang membuat persiapan yang rapi termasuk dengan sokongan Rafflesia," kata Aishah yang ditemui di Butik Jewellery Circles – Rafflesia The Pearl Centre di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Aishah yang ditemani oleh tuan punya Rafflesia, Winnie Sin, berkata sebenarnya, ini bukanlah kali pertama beliau menyanyi dengan MPO.
"Saya pernah beraksi dengan MPO untuk satu program kemerdekaan pada Oktober lalu. Apa yang boleh saya katakan, memang cukup seronok apabila dapat bekerjasama dengan MPO. Lagipun kerjaya nyanyian saya bermula dengan band muzik. Bersama MPO pula, saya dapat beraksi bersama sekumpulan muzik dalam besar.
"Mudah-mudahan akan ada lagi projek seterusnya di antara saya dan MPO. Tapi, tolong jangan tanya bila MPO akan adakan projek persembahan solo saya di DFP. Itu anda kena tanyakan sendiri dengan DFP," katanya sambil tersenyum.
Kata Aishah yang baru sahaja menang kes saman dengan EMI Malaysia, seperkara yang membuatkan dia seronok bekerja dengan pemuzik MPO adalah disebabkan budaya kerja mereka yang cukup profesional dan berdisiplin.
"Mereka sangat menepati masa dan cara mereka kendalikan diri di atas pentas juga cukup menarik perhatian saya. Mereka mengingatkan saya bagaimana orang-orang Jepun bekerja.
"Malah, mereka juga mengingatkan saya tentang zaman saya bersama Aishah & The Fan Club. Kami sentiasa meletakkan standard kami sama seperti apa yang dipraktikkan artis antarabangsa lain. Itu yang membuatkan saya sentiasa merindui zaman-zaman lalu," katanya.
Aishah juga berkata, dia juga mempunyai keinginan untuk menulis sebuah buku yang mungkin dapat memberikan inspirasi kepada anak-anak muda tentang persediaan yang perlu mereka lakukan sebelum menceburi bidang seni.
"Apa yang ingin saya kongsikan ini adalah apa yang tidak diajar secara formal di mana-mana akademi atau institusi pengajian tinggi. Ia lebih kepada realiti yang perlu kita hadapi sebaik saja melangkah kaki di dalam bidang ini," jelasnya.
Sementara itu, Awal pula berkata dia gembira kerana selain diundang pertama kali menjadi hos bersama Miss Malaysia/ World 2007, Deborah Henry di DFP, dia juga akan memperagakan sut kemas rekaan Lord's Tailor.
"Peluang yang saya dapat ini sangat berharga dan terima kasih kepada DFP dan semua penaja," kata Awal yang semakin popular dengan Sehati Berdansa 3.
Harga tiket untuk konsert itu adalah RM110, RM90, RM60 dan RM40 untuk 11 & 12 Disember manakala RM95, RM75, RM55 dan RM25 bagi 13 Disember. Tempahan boleh dibuat di talian 03- 2051 7007 atau faks: 03- 2051 7077.
0 ayat cinta: