Awal Realisasi Impian Jadi Penyanyi

Friday, December 18, 2009 marina 0 Comments



Mungkin ramai yang sudah lupa tetapi nama Awal Ashaari mula disebut dalam rancangan realiti 'Malaysian Idol' musim pertama, lima tahun lalu. Bukan sebagai pengacara tetapi peserta.

Seperti beribu peserta lain, dia juga memegang harapan dapat merealisasikan impiannya bergelar penyanyi. Tetapi lain yang diharapkan, lain pula yang diperolehi. Bukan tawaran kontrak rakaman yang diterima, sebaliknya peluang berlakon dan mengacara.

Kini, siapa yang tidak kenal dengan jejaka tampan, metroseksual yang merupakan antara 'leading man' popular rebutan penerbit. Namun selama ini, Awal tidak pernah melupakan cintanya pada nyanyian.

Sekian lama menunggu, akhirnya impian Awal untuk bergelar penyanyi tercapai juga. Dia sudah menandatangani kontrak dengan sebuah syarikat rakaman – yang enggan didedahkan dulu namanya – dan bakal merakam album sulungnya.

"Saya sedang berkolobrasi dengan beberapa komposer tanahair, memilih lagu yang sesuai untuk saya. Saya inginkan sesuatu yang lebih relaks, jadi konsepnya lebih kepada ‘pop ballads’. Saya sebenarnya sukakan ‘oldies’, ‘jazz’ dan ‘Broadway’ tetapi kita perlu 'cater' kepada pasaran," ujarnya.

"Cita-cita saya nak menyanyi. Sebab itu saya sertai 'Malaysian Idol'. Saya dah berlakon, mengacara, sekarang saya nak menyanyi. Sebelum ini saya tidak mendapat peluang tetapi kini saya diberi tawaran yang bagus."

Tambahnya lagi, dia tidak pernah meninggalkan nyanyian. Di setiap majlis yang diacarakan, akan pasti dipersembahkan sebuah lagu.

"Dari situlah mereka (syarikat rakaman) dapat tahu saya boleh nyanyi. Saya tidak berfikir panjang untuk menandatangani kontrak dengan mereka. Saya percaya dengan mereka."

Sudah membuktikan bakatnya dalam pengacaraan dan lakonan, harapan adalah tinggi untuk Awal mencatat kejayaan dalam bidang nyanyian.

"Saya tak nafikan tekanan itu ada. Sebagai penyanyi baru, apa yang boleh saya lakukan adalah untuk mencuba sedaya-upaya saya. Walaupun vokal saya tak sehebat penyanyi 'top' negara tapi sekurang-kurangnya, saya cuba hiburkan peminat, sebagai halwa telinga buat mereka."

Ditanya jika dia ada memasang harapan untuk suatu hari menjulang trofi di pentas Anugerah Industri Muzik atau Anugerah Juara Lagu, jawab Awal, "Objektif saya bukan untuk menang anugerah tetapi mendapatkan khidmat dari komposer terkenal seperti Ajai, Audi Mok dan KRU, yang produk mereka terbukti meletup."

Muncul dengan program baru
Selain sibuk merancang kerjaya nyanyiannya, Awal juga bakal memulakan tugasan baru, mengacara sebuah program berkonsep berita hiburan di TV3, sebaik saja berakhirnya musim ketiga 'Sehati Berdansa'.

“Ia program 30 minit ala ‘E! News’ dan dijangka akan ke udara setiap hari Sabtu bermula bulan depan. Kebetulan saya meminati Ryan Seacrest (yang merupakan hos ‘E! News’), jadi memang teruja dengan tawaran ini,” katanya yang pernah menghadiri kelas pengacaraan kendalian Aznil Hj Nazawi, yang juga idolanya.

Mengenai projek lakonan, kongsi Awal yang turut mengacara program bual bicara ‘Gen Y’ dan ‘Rentak Bollywood’, disebabkan jadualnya yang terlalu padat dengan tugas pengacaraan, sukar baginya memberikan komitmen.

“Ramai peminat juga yang asyik bertanya, bila ada drama baru. Selain kesempitan masa, saya juga sedang mencari naskah yang menarik dan ‘strong’, yang dapat membawa lakonan saya ke satu peringkat yang lebih tinggi.”

Nak Kahwin
Pada usia 28 tahun, dari segi kerjaya dan kewangan, Awal kini berada di tahap yang selesa. Yang masih kekurangan, kehadiran seorang ratu dalam hidupnya. Bila melihat pada rakan-rakan artis yang lain seperti Que Haidar yang sudah pun bergelar bapa, mungkin tiba masanya bagi Awal memikirkan tentang soal ‘settling down’.

Rata-rata sedia maklum Awal sudah menemui seorang gadis istimewa. Perhubungan mereka, menurutnya, okay walaupun gosip sebelum ini mengaitkan dia dan Scha Al-Yahya sedikit sebanyak memberi kesan ke atas perhubungan itu.

“Sepertimana pasangan yang baru mengenali, kami sedang cuba membina sebuah perhubungan yang baik dan stabil. Tapi bila timbul cerita kurang enak seperti ini, sudah pasti pihak di sana akan tertanya, apa jenis lelaki saya ini. Sebab itu, sebaik mungkin saya nak elak dari cerita-cerita seperti ini.”

Bila ditanya ada perancangan nak berkahwin, katanya dia sudah bersedia dan berharap impian ini dapat dilaksanakan dalam masa dua tahun lagi.

0 ayat cinta: