Black Tak Mahu 'Senyap'

Wednesday, December 02, 2009 marina 0 Comments



"Saya bersyukur atas semua yang telah saya kecapi hari ini. Saya sebenarnya takut akan menjadi seperti artis realiti lain yang senyap saja bila dah keluar (dari program realiti).

"Tetapi ada 'platform' seterusnya untuk kita (artis realiti) menuju kejayaan. Itulah yang saya ingin buktikan. Rezeki yang diberi pada saya, saya kena jaga dan usahakan dengan lebih kuat lagi," luah Black melalui perbualan telefon dengan GUA baru-baru ini tatkala ditanya tentang rezekinya yang semakin murah.

Selain berjaya menempah tempat di Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) melalui lagu "Aku Rindu Sayang Kamu", single keduanya "Drama King" sebuah kolobrasi bersama Meet Uncle Hussain juga mendapat respon yang memberangsangkan di kalangan pendengar.

Selepas seminggu dimainkan, ia sudah berjaya masuk ke Hot FM Carta 30. Pencapaian terbaik "Aku Rindu Sayang Kamu" dalam carta tersebut adalah tempat ketiga.

"Saya suka lagu ini, melodinya. Mudah nak nyanyi dan senang untuk jiwai."

Tambahnya, perancangan awal adalah untuk MUH menyumbang beberapa lagu untuk albumnya. Tetapi suatu hari, Taja memberinya lirik untuk lagu "Drama King".

"Seronok dapat diberi peluang bekerjasama dengan mereka. Tak rasa tertekan, cuma mungkin risau perbandingan yang akan dibuat pendengar di antara suara saya dan Lan. Tapi memang tak sama (suara kami)."

Bercerita mengenai pengalaman merakam lagu "Drama King", Black memberitahu, tiada sebarang masalah yang dihadapi.

"Taja memberi saya kebebasan untuk bawa 'style' dan 'feel' saya sendiri. 'Best' kerja dengan dia, selesa. Saya melihat kolobrasi ini sebagai jalan untuk saya maju ke hadapan. Dapat merekod dengan mereka yang sudah ada nama, sedikit sebanyak akan ada tempias-tempiasnya yang terkena pada saya."

Tentang kejayaannya melayakkan diri ke AJL24, luah Black, "Perasaan itu lebih seronok dari menang 'Mentor'."

"AJL adalah pentas paling berprestij dalam industri hiburan. Saya sebagai seorang pendatang baru yang belum setahun jagung di dalam industri ini, hanya mampu berharap akan terpilih ke AJL. Lebih-lebih lagi apabila semua yang bertanding hebat-hebat. Saya rasa macam kerdil sangat.

"Memang terkejut, tak disangka lagu itu akan dipilih. Saya sangat bertuah. Tomok ada berkongsi dengan saya, sepanjang 10 tahun dia bergelar penyanyi, inilah kali pertama dia dapat masuk AJL. Sebab itu saya akan berusaha bersungguh-sungguh di pentas AJL nanti. Saya tidak mahu mensia-siakan peluang ini."

0 ayat cinta: