Beego Mahu Lupakan Kisah Lalu
Tahun 2008 pasti meninggalkan detik hitam kepada Beego apabila perihal rumahtangga mengundang kontroversi setelah dia dituduh mengahwini isterinya semata-mata kerana harta, bukan berteraskan kasih sayang sejati.Pergolakan yang membawa kepada perbicaraan di mahkamah menjadi tumpuan ramai apabila bekas isterinya, Intan Shahira Mohd. Shahru mendakwa Beego seorang yang tidak bertanggungjawab dan panas baran. Paling mengejutkan, Intan turut membuat pengakuan dia bakal menanggung risiko kemungkinan sukar untuk mendapatkan zuriat pada masa akan datang kerana telah mendapatkan suntikan pencegahan kehamilan sehari sebelum hari pernikahannya. Tindakan itu dilakukan kerana enggan mengandungkan zuriat bakal suaminya itu.
Walaupun Beego ada menfailkan saman permohonan nusyuz terhadap bekas isterinya itu, tetapi ramai yang menunding jari terhadap Beego. Pendek kata, reputasinya telah terjejas. Bermula daripada itu, Beego dilihat kurang menonjolkan diri. Wajahnya juga kurang menghiasi kaca televisyen. Dia bagaikan hilang dari industri walaupun kes perceraiannya telah selesai pada 16 Mac lalu.
Tidak lari daripada keadaan
Beego yang ditemui semasa majlis pelancaran drama terbarunya, ‘Aliff Firdaus’ petang kelmarin memberitahu yang dia sebenarnya tidak menghilangkan diri. Sebaliknya dia hanya merehatkan diri seketika.
“Saya tidak menghilangkan diri. Tetapi sebagai manusia biasa, saya perlu rehatkan diri buat seketika. Segala kontroversi yang saya alami memang meninggalkan kesan. Sebab itu saya ambil keputusan untuk diamkan diri. Saya perlu ruang untuk diri sendiri. Itu sahaja. Sepanjang tempoh setahun saya berehat, saya banyak habiskan masa di Johor Bharu di samping teman baik saya. Bagaimanapun, bermula Februari lalu saya telah mula terlibat dengan beberapa penggambaran. Cuma ia belum ditayangkan lagi,” jelas Beego.
Ditanya mengapa dia mematikan telefon bimbit ketika ‘kehilangannya’, Beego menjelaskan dia berbuat demikian kerana ingin menjauhkan diri daripada orang-orang yang boleh mengingatkan dirinya kepada musibah yang berlaku.
“Saya matikan telefon bimbit bukan kerana ingin lari daripada keadaan, tetapi saya perlu jauhkan diri daripada orang-orang yang boleh mengingatkan saya kepada apa yang telah berlaku. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu mengingati peristiwa hitam itu. Sebab ia memang pahit untuk dikenang. Bukan mudah melepaskan orang yang paling saya sayang. Biarlah apa orang hendak kata tentang saya, hakikatnya hanya saya dan dia (Intan) yang tahu perkara sebenar. Saya terima perceraian kami sebagai ketentuan Ilahi,” jelas Beego lagi.
Dalam masa yang sama, Beego turut menjelaskan yang dia tidak pernah menyimpan dendam terhadap bekas isterinya mahu pun bekas keluarga mertuanya walaupun mereka membuat pelbagai tuduhan terhadap dirinya.
Pegang watak hero
Bermula 11 Disember ini, Beego akan kembali menemui peminat drama tempatan apabila dia terpilih membawakan watak hero dalam drama terbaru arahan Rashid Sibir, berjudul ‘Aliff Firdaus’.
Bercerita tentang penglibatannya dalam drama terbaru itu, Beego memberitahu yang dia cukup berbesar hati apabila ditawarkan watak Aliff Firdaus. Lebih-lebih lagi dia mendapat tahu, pihak TV3 yang mahukan dia sebagai hero.
“Oleh kerana saya dipilih oleh TV3, jadi saya akan buat yang terbaik bagi menjayakan drama ini. Selain itu saya juga sedar, drama ini menggantikan siri ‘Nur Kasih’ yang berjaya mendapat ‘rating’ lima juta penonton. Jadi, kemungkinan besar, penonton akan mengharapkan drama ini setanding dengan ‘Nur Kasih’. Untuk itu, saya akan buat sehabis baik. Harapan saya, mudah-mudahan penonton masih dapat menerima diri saya walaupun imej saya pernah tercalar sebelum ini. Lihatlah lakonan saya, bukan masalah peribadi saya,” ujar Beego penuh harapan.
Drama ‘Aliff Firdaus’ berkisar tentang Aliff yang mahu mengikut jejak ayahnya, Haji Madi yang lebih selesa hidup di kampung, berkerja di sawah, menternak kambing dan menjadi seorang imam. Walaupun mendapat keputusan cemerlang dalam STPM, Aliff tidak mahu menyambung pelajarannya. Namun, hasrat hatinya itu ditentang oleh abang sulungnya. Setelah dipaksa, Aliff akhirnya bersetuju untuk menyambung pelajaran walaupun terpaksa melepaskan kekasih hatinya Dira.
Drama 26 episod ini akan bersiaran pada Jumaat ini, jam 9 malam.
0 ayat cinta: