Cara balas jasa pendengar
Radio Fest 2009 di Shah Alam berlangsung dalam suasana penuh meriah apabila 19 stesen radio bergabung tenaga menjayakannyaPADA dasarnya, mereka memang saling bersaing bagi meraih perhatian pendengar. Namun, apabila tiba saja ke bab membantu perkembangan industri radio secara sepadu, 19 stesen radio swasta negara ini utuh bersatu, sebagaimana mereka tunjukkan sewaktu menjayakan Radio Fest 2009 di Shah Alam, baru-baru ini.
Acara yang dianjurkan oleh Persatuan Radio Komersial Malaysia (CRM) itu berlangsung selama dua hari, dengan hari pertama membabitkan penganjuran sukan persahabatan yang hanya dijayakan penggiat industri dan agensi media. Ia dilangsungkan di Bukit Jalil.
Hari kedua pula dipenuhi acara lebih terbuka seperti permainan, pertunjukan silap mata, beberapa pertandingan untuk kanak-kanak, pembukaan gerai serta konsert membabitkan artis dan kumpulan popular tanah.
Artis yang menyemarakkan konsert berkenaan ialah Aizat, Suki, Bunkface, Bittersweet dan Pesawat.
Menurut Presiden CRM, Datuk Borhanuddin Osman, selain Radio Fest, persatuan itu sudah pun merancang pelbagai lagi aktiviti yang membabitkan kesemua anggota CRM, dalam usaha merapatkan hubungan antara radio dan orang awam, serta kalangan penggiat industri itu sendiri.
Antara agenda yang sudah disusun termasuk hari terbuka radio yang berkemungkinan besar diadakan di Astro Bukit Jalil, Disember ini, serta pemberian biasiswa kepada pelajar terpilih, sebagai tanda terima kasih mereka kepada khalayak.
Karnival Radio Fest sendiri julung kali diadakan untuk orang awam, apabila penganjuran pertama dua tahun lalu hanyalah membabitkan tenaga kerja industri itu.
Tidak menghampakan apabila kira-kira 5,000 pengunjung silih berganti memenuhi kawasan Bulatan Bazarena, Stadium Melawati, sejak 10 pagi. Karnival berakhir kira-kira jam 6 petang dengan konsert yang sememang ditunggu-tunggu peminat, apabila mereka sedikit pun tidak berganjak pada ketika hujan turun renyai-renyai.
"Karnival ini boleh dikatakan cara CRM menyampaikan ucapan terima kasih kepada pendengar serta membalas balik sokongan orang ramai kepada kami selama ini," katanya.
Tanpa sokongan kuat pendengar serta pengiklan, Borhanuddin tidak percaya industri itu mampu berkembang pesat sejak kira-kira sedekad yang lalu.
"Bayangkan, 10 tahun lalu, jumlah pendapatan daripada iklan yang diterima oleh radio hanyalah sebanyak 2 peratus. Tetapi kini, dengan meningkatnya kepercayaan pengiklan terhadap industri ini, ia meningkat sehingga 6 peratus. Jumlah itu menunjukkan perkembangan cukup baik buat industri radio di negara kita," ujarnya.
Justeru, Borhanuddin mengalu-alukan kehadiran saluran baru untuk turut sama menyertai persatuan terbabit, seterusnya sama-sama bersaing membangunkan lagi industri berkenaan.
"Kewujudan radio baru tidak pernah menjadi masalah kepada kita. Bukankah jumlah penduduk negara ini sendiri semakin bertambah, jadi, jumlah radio yang ada tidak pernah mencukupi. Lebih-lebih lagi, saluran yang ada tidak sama antara satu dengan yang lain. Radio hari ini mempunyai pengkhususan pendengar mereka yang tersendiri.
"New Zealand mempunyai jumlah radio yang jauh lebih banyak. Dengan penduduk yang hanya sekitar 4.5 juta, jumlah radionya mencecah hingga 200 stesen," kata Borhanuddin.
Sementara itu, Pengerusi Penganjuran karnival, Seelan Paul berkata, CRM sangat komited dengan perkembangan radio, apabila medium komunikasi itu akan menuju era digital dengan kapasiti interaktif yang lebih baik, secara progresif.
"Ketika yang sama, kami amat berharap karnival ini terus mendapat sokongan ramai, bagi membolehkannya menjadi acara tahunan," katanya
0 ayat cinta: