Natasha Hudson: Tiada Orang Ketiga

Tuesday, December 08, 2009 marina 0 Comments


Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba tuan empunya diri tampil ke depan untuk mengumumkan statusnya yang kembali solo. Tiada siapa yang dapat menjangka.

GUA sempat menemubual Natasha Hudson untuk pementasan teater muzikal 'Gamat' pada September lalu, tetapi ketika itu tidak dikesani sebarang pergolakan dalam rumahtangganya. Malah sempat berbual lagi tentang perancangannya menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama suami dan anaknya, Nessa Helena Shahrin, satu setengah tahun.

Memahami kerja wartawan dan gelarannya sebagai artis, Natasha telah aturkan satu pertemuan dengan media tengah hari tadi. Dicuba sedaya-upaya untuk menjawab setiap persoalan yang diutarakan. Jika perkara itu terlalu peribadi untuk dikongsi bersama, diberitahu saja secara terus-terang.

Yang dapat didedahkan, dia dijatuhkan talak satu. Keputusan untuk bercerai dibuat secara baik, setelah beberapa hari berbincang bersama. Merasakan itulah yang terbaik buat semua pihak, maka jalan perceraian itu yang diambil dia dan bekas suami.

Tidak timbul isu orang ketiga. Sebaliknya, perpisahan itu dibuat atas persefahaman bersama. Dan meskipun jodoh mereka sebagai suami isteri tidak berpanjangan tetapi talian persabatan itu masih kuat.

"Kalau orang tengok kita, mesti rasa pelik kerana kebiasaannya sukar untuk pasangan yang sudah bercerai itu kekal sebagai kawan. Kami masih rapat dan amat 'protective of each other'.

"Hasrat kami agar perkara ini dapat diselesaikan dengan 'discreet'. Saya tak nak perkara ini menjadi rumit. Saya juga tak perlu publisiti sebegini. Saya sudah mula terdengar cakap-cakap orang yang cuba menyakiti kita. Sebab itu saya terus-terang memberitahu saya bukan lagi isterinya agar kami boleh teruskan dengan kehidupan kami."

Bagaimana perhubungan Natasha dan bekas suami?
Perasaan sayang itu masih ada. 'We love each other very much.' Dia seorang yang baik - ayah yang baik, dulu suami dan kini kawan yang baik. Cuma sekarang ni, kami berikan sedikit ruang pada diri sendiri. Jika ada jodoh, tengoklah ... sebab saya inginkan lagi ramai anak tapi saya berserah kepada Tuhan sebab Tuhan yang menentukan segalanya.

Dalam kepala saya sekarang, saya tak mahu fikirkan tentang perkahwinan. Fokus saya adalah pada Nessa (anaknya), diri saya dan keluarga. Bukan saya serik because 'marriage is nice' tapi bukan senang. Kita tak dapat lihat apa yang akan berlaku.

Setakat ini, bagaimana penyesuaian Natasha dengan kehidupan sebagai seorang ibu tunggal?
Saya sudah biasa hidup berdikari dan mencari rezeki sendiri. Adakalanya, terasa sunyi tapi dia (bekas suami) masih sebahagian daripada hidup saya sebagai seorang kawan. Itu dah cukup. Janggal jugalah bila dia dah takde di sisi tapi kami masih berhubungan hampir setiap hari.

Sokongan teman-teman juga banyak membantu saya. Saya gembira kerana masih ada ramai yang mengambil berat tentang diri saya. Dan sekarang ni, saya pun sibuk dengan kerja dan sedikit sebanyak ia dapat mengalihkan perhatian saya, bukan kata saya bekerja semata-mata untuk hilangkan kesedihan itu. Saya dah puas lalui fasa menangis.

Any regrets?
Saya tidak pernah menyesal atas apa jua keputusan yang telah saya buat sebelum ini. Kita semua masih budak-budak, masih belajar dari kesilapan. Bila benda seperti ini berlaku, baru kita sedar apa yang ibu dan bapa katakan dulu adalah betul.

Tapi bagi saya tiada apa yang perlu saya sesalkan sebab adanya Nessa di sisi saya. Setiap orang yang hadir dalam hidup kita akan meninggalkan sesuatu dalam diri kita, yang menjadikan kita lebih tabah. Semua yang berlaku dalam hidup ini ada sebabnya, yang menyediakan kita untuk masa depan.

Ini sudah kali kedua perkahwinan Natasha berakhir dengan perceraian. Pernah terfikir mengapa diri ini begitu malang dalam perkahwinan?
Saya melihatnya secara positif. Mungkin ia sudah ditakdirkan. Mungkin sebab itu kami masih berkawan dan dia masih lagi memainkan peranan yang penting dalam hidup saya. Kami masih rapat cuma bukan lagi suami isteri. Pernah juga fikiran itu terlintas di dalam kepala saya tapi saya biarkan. Kini, fokus kami berdua adalah pada Nessa.

Bagaimana dengan Nessa?
Dia okay. Jika saya ada masa, saya akan luangkan bersamanya. Dia tahu ibunya perlu bekerja. Dia dah 1 1/2 tahun dan sudah mula berdikari. Dia bertuah kerana ramai yang menyayanginya.

Saya dan bekas suami berkongsi hak penjagaan walaupun Nessa tinggal dengan saya. Dia boleh berjumpa Nessa bila-bila masa. Disebabkan saya pun berasal dari sebuah 'broken family', jadi kami rancang benda ini dengan teliti.

Seperti yang Natasha katakan, orang dah mula bercakap. Tapi buat Natasha sendiri, adakah Natasha bimbang tentang pandangan masyarakat?
Ada ketika tu, terasa geram dan sakit hati juga. Tapi lantaklah apa orang nak kata. Saya tidak hidup berdasarkan kata-kata orang. Walau apa yang berlaku, saya perlu pandang ke depan dan teruskan kehidupan. Orang memang suka bercakap dan mereka takkan henti. Tak kisahlah, asalkan dia dan saya, dan keluarga kami tahu apa yang berlaku. Tapi untuk mereka ni, terima kasihlah banyak-banyak sebab kata-kata anda hanya membuat saya lebih tabah.

Saya tahu saya tak buat salah dan tidak ada sebabnya untuk saya melarikan diri atau bersembunyi. Sebab itu saya adakan perjumpaan dengan media hari ini, untuk berterus-terang. Saya jelaskan dengan jujur status saya agar saya dapat teruskan dengan hidup saya dan tutup luka tahun 2009 ini.

Ada juga saya terdengar orang kata, rugilah saya sebab takde status itu (gelaran 'Datin') lagi. Saya berkahwin dengan dia bukan kerana duit atau status. Masa tu, saya pun tak tahu asal usul dia, tak diberitahu tentang statusnya. Bukan benda itu yang saya kejarkan. Saya pun tak pernah gunakan status itu dalam kerja saya sebab ia satu tekanan ke atas diri saya. Asal saya orang sederhana. Saya tak kisah pun tiada status itu. Bila mati bukan boleh dibawa bersama (status itu).

0 ayat cinta: