'Tarik diri jalan terbaik'
Bekas vokalis, Lan mengaku masih sayangkan kumpulan Meet Uncle Hussain
"MENARIK diri adalah jalan terbaik untuk selesaikan segala masalah antara kami," kata Lan, bekas vokalis kumpulan indie popular, Meet Uncle Hussain (MUH) usai menjayakan persembahan terakhir mereka di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, tengah malam Ahad lalu.
Lan atau nama sebenarnya, Nor Azlan Roslee, 26, berkata, dia pasti dengan jalan yang dipilihnya kerana tidak mahu permasalahan antara mereka berpanjangan dan menjadi bertambah buruk jika terus bertahan.
Akui Lan, mereka sudah berusaha untuk menyelamatkan MUH daripada perpecahan namun katanya, ia tidak menemui titik penyelesaian.
“Menarik diri adalah jalan terakhir kerana jika dibiar masalah antara kami akan terus merebak dan berpanjangan. Untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan, saya mengambil keputusan untuk berundur,” katanya.
Meskipun nekad dengan keputusan yang diambil, jauh di sudut hati, Lan yang bersama MUH sejak 2001 mengakui masih sayang dengan kumpulan itu.
Apatah lagi ia berlaku selepas lapan tahun mereka berjuang, membawa nama MUH dari bawah hingga selesa berdiri di pentas komersial.
Ia bukan sesuatu yang mudah dan akui Lan, mengenang semua itu membuatkan hatinya tersentuh. Namun dia akur, tidak berdaya untuk terus bertahan jika suratan takdir menghendaki sebaliknya.
“MUH sudah berada pada tempat yang tinggi. Meninggalkan MUH bermakna saya harus turun semula ke bawah dan memulakan kembali karier seni saya dari A hingga Z.
“Sukar untuk saya ramalkan bagaimana perjalanan itu nanti tetapi saya sentiasa percaya kepada rezeki. Insya-Allah, saya yakin akan ada lagi cabang baru untuk saya membina platform semula,” katanya yang menyertai MUH buat kali terakhir pada Konsert Generasi Baru sempena Festival Muzik Kuala Lumpur.
Jujur kata Lan, ketika membawakan lapan lagu pada persembahan itu hatinya disiat hiba tetapi dikuatkan juga semangat untuk melaksanakan tanggungjawab terakhirnya kerana persetujuan sudah lama diberikan.
Semua kenangan manis antara mereka kini menjadi sejarah namun kata Lan, ia tidak membataskan kerjasamanya dengan anggota MUH lain pada masa akan datang.
“Mungkin ideologi dan cita-cita kami berbeza tetapi perbezaan itu tidak akan menjarakkan hubungan saya dengan MUH. Kami tidak bermusuh.
“Saya akur industri hiburan kita tidak besar, ke mana sekali pun pergi lambat laun kami akan bertemu juga. Mungkin nanti saya akan meminta khidmat mereka untuk menyumbang lagu, semua itu bukan mustahil.
“Cuma ketika ini, itu saja pilihan yang kami ada dan saya percaya keputusan yang dibuat adalah yang terbaik dan memberi keadilan kepada semua pihak,” katanya.
Ditanya apakah keputusan itu didorong perasaan ego memandangkan MUH bergantung sepenuhnya kepada keunikan vokalnya, Lan bagaimanapun, menafikan kenyataan itu.
Baginya, untuk apa dia perlu bersusah payah dan memulakan semula kembara seninya sedangkan MUH sudah selesa berada pada kedudukan yang cukup tinggi dalam industri hiburan.
Mengenai haluan seninya selepas mengundur diri daripada MUH, Lan berkata, dia akan memulakan langkah baru dengan menubuhkan kumpulan Azlan & The Typewriter.
Bagaimanapun, tidak seperti MUH yang mempunyai anggota tetap, Azlan & The Typewriter pula menyaksikan Lan bergandingan dengan pemuzik undangan setiap kali muncul membuat persembahan.
“Mungkin pada permulaan peminat akan keliru memandangkan nama MUH sememangnya sudah sinonim dengan saya tetapi saya harus berani mengambil cabaran.
“Ini adalah tapak permulaan baru untuk saya dan saya berharap ia akan membuahkan hasil,” katanya yang akan muncul dengan single pertama, Kelibat Si Penyair sekitar Julai ini yang mempertaruhkan genre rock alternatif.
Lan berkata, mempertaruhkan namanya dalam kumpulan itu membuktikan betapa dia serius kerana jika berlaku kesilapan, noda hitam akan terpalit pada dirinya.
“Setiap kita belajar daripada kesilapan dan saya cuba untuk berubah. Disebabkan itu saya berani mempertaruhkan nama sendiri untuk band baru kerana apa juga yang terjadi nanti, nama saya akan terheret sama.
“Saya tidak takut komitmen kerana dalam apa juga perkara, persefahaman itu penting. Seandainya saya takut pada komitmen, tidak mungkin saya berani mengambil keputusan untuk berkahwin tahun depan.
“Rasanya komitmen terhadap perkahwinan lebih besar berbanding dengan apa yang saya lakukan sekarang ini. Jadi saya akan mencuba untuk berubah,” katanya.
Ketiadaan Lan beri tekanan kepada MUH
PENGUNDURAN Lan barangkali memberi keselesaan kepada MUH untuk merencana masa depan mereka, namun bagi ketua kumpulan itu, Nik Mustaza Nik Mustapha atau Taja, pelbagai rasa menyelubungi sebaik saja mereka selesai menjayakan persembahan terakhir.
Katanya, mereka dapat merasakan betapa keindahan muzik menyatukan perbezaan pandangan serta ideologi malah melontar jauh segala perasaan marah ketika kolaborasi terakhir itu berlangsung.
“Pelbagai rasa bercampur baur. Dari satu sudut, terlepas semua beban yang menyelubungi kami selama ini apabila segala perancangan selesai serta berakhir dengan baik.
“Tetapi ketiadaan Lan juga memberikan tekanan namun MUH percaya, setiap apa yang dilalui ini menjadikan kami matang dalam membuat sebarang keputusan.
“Setiap kesilapan menjadi proses pembelajaran yang membentuk kami supaya lebih berhati-hati dalam menilai sesuatu perkara,” katanya.
Sama seperti Lan, MUH juga terpaksa memulakan semula perjalanan mereka dari awal namun tegas Taja, mereka tidak mahu tergesa-gesa mencari pengganti untuk mengambil alih posisi vokalis.
Keutamaan katanya, akan diberikan kepada penyanyi yang mempunyai karektor nyanyian yang tersendiri dan lebih penting kehadiran vokalis itu mampu membuat peminat percaya dengan kemampuannya.
“Itu tidak mudah untuk dilakukan memandangkan MUH mempunyai kelompok peminat yang kuat. Apa yang penting, vokalis itu harus fokus serta melaksanakan tanggungjawab dengan baik supaya tidak timbul lagi masalah yang sama pada masa akan datang,” katanya.
Menyentuh mengenai lapan lagu yang sudah dirakamkan, Taja berkata, mereka akan duduk kembali berbincang dengan Lan mengenai hak sesebuah ciptaan.
“Kami akan memberikan apa yang menjadi haknya dan begitulah sebaliknya. Kami hanya mengambil apa yang menjadi hak kami,” katanya.
0 ayat cinta: