4 Panduan Minta Maaf

Saturday, July 11, 2009 marina 0 Comments

SETIAP manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Maklumlah tiada kejadian yang sempurna selain daripada-Nya. Justeru apabila melakukan kesilapan, cubalah belajar memohon dan memaafkan. Pun begitu bukan mudah sebenarnya untuk memohon maaf kerana manusia dikekang dengan sikap ego. Sikap inilah yang menghalang seseorang itu daripada memohon maaf daripada orang lain kerana mereka berasa ego dan ‘jatuh status’ apabila menghulur tangan untuk mendapatkan kemaafan.


Dalam hubungan cinta pasti berlaku suasana hambar dalam perhubungan apabila terselit bibit kemarahan, kecil hati dan merajuk. Mungkin anda terlepas cakap, memperkecilkan kemampuan si dia atau anda terlupa tarikh hari jadinya. Maklumlah, orang bercinta; semuanya perlu sempurna. Jika tidak, maka berlakulah perselisihan faham. Keberanian anda memohon maaf menunjukkan anda seorang yang rendah hati dan rendah diri. Justeru, untuk memulihkan perhubungan anda perlu tahu cara memohon maaf supaya hubungan cinta anda kembali segar. Jelita memaparkan panduan untuk anda memohon kemaafan daripada si dia. Semoga hubungan anda kekal hingga ke akhir hayat.


Menyedari kesilapan diri

Perkara pertama yang perlu anda buat ialah menyedari kesilapan sendiri. Inilah perkara paling sukar untuk dilakukan kerana ramai orang yang tidak sedar kesilapan diri sendiri. Malah ada juga yang bersikap semua orang salah dan dia sahaja yang betul. Namun untuk menjaga hubungan cinta anda perlu masa untuk mencari punca perselisihan faham. Cuba duduk bersendirian dalam bilik tidur dan selidik punca anda bergaduh dengan kekasih. Jika benar anda bersalah, akuilah. Antara yang boleh anda katakan kepada si dia ialah: “Saya sedar saya bersalah dan melukakan hati awak. Saya mohon maaf. ”

Berikan penjelasan

Penjelasan penting supaya si dia tahu punca anda tersalah laku sehingga mencetuskan perselisihan faham. Manusia adalah hidupan yang ada jiwa dan kadangkala keadaan jiwa tidak stabil. Antara yang boleh anda katakan kepada si dia ialah: “Saat itu fi kiran saya terganggu kerana masalah di tempat kerja. Saya harap awak faham dan saya minta maaf.” Namun anda perlu ingat supaya jangan jadikan masalah sebagai alasan untuk membolehkan melukakan hati kekasih. Anda perlu kawal emosi supaya tidak melukakan hati kekasih anda pada masa akan datang.


‘Beli’ hatinya


Selepas mengakui kesilapan dan mohon maaf, apa kata anda ‘beli’ hati kekasih dengan memberinya hadiah. Memadai hadiah kecil kerana tujuan anda sekadar menunjukkan kesungguhan anda memohon maaf daripada si dia. Belikan bunga atau jam untuk wanita dan pen atau dompet untuk lelaki. Anda juga boleh berikan kad ucapan maaf dan lebih bermakna jika anda buat sendiri kad ucapan itu.


Pilih waktu sesuai


Panduan keempat ini tidak kurang pentingnya. Anda perlu bijak memilih waktu paling tepat untuk mohon maaf apatah lagi jika anda melakukan kesalahan besar dalam percintaan. Contoh kesalahan besar dalam percintaan ialah anda dikesan ada hubungan dengan orang lain atau anda bertemu kembali dengan kekasih lama. Hal ini pasti menimbulkan rasa cemburu di hati kekasih. Justeru, cuba pastikan bahawa kemarahannya si dia sudah reda sebelum anda menemuinya. Jangan terus-menerus cuba menjelaskan kedudukan anda. Biarkan si dia reda dahulu selama beberapa hari. Kemudian barulah hubungi si dia dan bercakap dengan lembut untuk memohon maaf. Untuk masalah besar, anda dinasihatkan bercakap secara berdepan kerana sinar mata anda boleh menceritakan penyesalan dan si dia pasti dapat membaca isi hati anda melalui pandangan mata.


p/s : tips dari jelita..

0 ayat cinta: