Detik manis Anuar Zain
Penyanyi yang popular dengan lagu Lelaki Ini melakar sejarah peribadi apabila berjaya laksana konsert sulung di Istana Budaya
KONSERT Lelaki Ini melakar sejarah tersendiri dalam lembaran kerjaya seni penyanyi bernama Anuar Zain selepas 11 tahun mengatur langkah sebagai seorang penghibur. Impian yang sekian lama dicita-citakan penyanyi kelahiran Merlimau, Melaka ini berakhir cukup manis di pentas berprestij Istana Budaya (IB) 1 dan 2 Julai lalu.
Lebih manis lagi apabila konsert sulung dijayakan mampu menghimpunkan lebih 1,300 penonton pada satu malam. Sebagai penyanyi, tiada yang lebih menggembirakan hatinya selain melihat penonton pulang dengan kepuasan setelah dihiburkan selama hampir dua jam dengan 21 buah lagu.
Kejayaan mengadakan konsert bagaimanapun belum boleh dijadikan ukuran kerjaya nyanyian yang dibina sejak zaman kanak-kanak berada di puncak. Meskipun tidak semua penyanyi memiliki peluang sepertinya, Anuar saat ditemui usai konsertnya berkata masih banyak yang perlu ditelusuri dalam ranjau hidup sebagai seorang penyanyi.
"Berjaya merealisasikan impian mengadakan konsert selepas lebih 11 tahun berkecimpung dalam dunia nyanyian adalah salah satu kejayaan peribadi untuk kerjaya saya. Namun ini bukanlah kemuncak kepada kerjaya nyanyian saya.
"Saya mahu melangkah ke tangga yang lebih tinggi selepas ini. Menyiapkan diri dengan karya yang lebih diiktiraf di masa depan," kata jejaka ini yang berjaya memukau ribuan wanita pada konsertnya.
Seperti yang dijangka, hampir 90 peratus penonton yang menyaksikan Konsert Lelaki Ini anjuran Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN) sempena Festival Muzik KL 2009 adalah wanita. Pengalaman yang dikutip sepanjang 11 tahun amat membantu kelancaran konsert yang diiringi 55 pemuzik dari Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer Nawi.
Kemunculan penyanyi itu di pentas yang hanya berlatarkan pemuzik tanpa sebarang prop, kecuali
tiga layar besar yang membolehkan penonton melihat wajah penyanyi yang menjadi 'kegilaan' wanita itu dengan lebih dekat, sudah cukup membuatkan penonton tidak sabar untuk menyaksikan kelangsungan konsert.
Tirai acara yang dimulakan dengan intro lagu Lelaki Ini oleh pemuzik biarpun kelibat penyanyi berusia 39 tahun itu masih lagi belum muncul di pentas, cukup untuk membuatkan penontonnya 'histeria.
Kemunculan penyanyi yang cukup segak dengan sut hitam bersama kemeja rona putih pantas saja membuatkan peminatnya tidak keruan. Pengalaman ternyata banyak membantu penyanyi ini terutama dalam soal pemilihan lagu apabila dia memilih memulakan konsert dengan rangkaian lagu popularnya.
Kaulah Satunya menjadi lagu pertama pilihan penyanyi ini diikuti lagu Sesuci Cintamu, Mungkin dan Suria Siarra sebelum jejaka ini mengembalikan nostalgia peminat ke zaman kanak-kanaknya.
Peminat seakan terpukau saat Anuar mengalunkan tiga lagu di zaman mudanya iaitu Seruling, Kesan Kelukaan manakala sebaik lagu Kain Pelikat bergema, pantas sorakan dan tepukan memenuhi ruang IB.
Pada waktu sama, potret bersama teman duetnya sewaktu kecil Ellina tertera di layar besar yang terbentang di belakang pentas. Tidak ketinggalan potret kakaknya Ziana Zain ketika zaman anak daranya mencuit hati penonton. Penyanyi itu juga ternyata bijak memanaskan peminatnya dengan menselang-selikan lagu berentak perlahan bersama lagu rancak.
Alunan lagu Jangan Bersedih Lagi sekali lagi membuatkan penonton bersorak, manakala lagu Bila Resah yang menyusul selepas itu pula membuatkan ruang IB bertukar bertenaga terutama apabila Anuar meminta peminat mengalunkan lagu itu bersama. Segmen pertama itu kemudian diakhiri dengan lagu Bidadari.
Tanpa latihan memadai kerana sedikit masalah timbul beberapa hari sebelum menjelang konsert, bagaikan langsung tidak mempengaruhi emosi penyanyi ini. Meskipun cuma berkesempatan dua kali menjalani latihan penuh bersama orkestra, Anuar tampil dengan konsert yang berjaya.
“Walaupun tertekan, tumpuan saya hanyalah untuk peminat. Biarpun hanya berpeluang berlatih dua kali dengan orkestra kerana sebahagian mereka terbabit dengan konsert lain, saya harap penonton berpuas hati.
"Dalam segala hal tidak semua yang kita hajati menjadi kenyataan. Pasti ada cacat cela di sana sini namun saya berpuas hati apatah lagi dengan kerjasama JKKN dan IB. Justeru saya amat berterima kasih dan terhutang budi di atas kerjasama yang mereka berikan," katanya.
Segmen kedua, Anuar menghiburkan peminatnya dengan alunan lagu Permata, Teman Terulung, Keabadian Cinta dan Kau Bunga Cintaku. Memandangkan IB sebuah pentas berprestij, peminat Anuar yang sebelum ini cukup terkenal dengan tindakan 'liar' setiap kali menyaksikan persembahannya lebih terkawal.
Hanya teriakan kecil saja kedengaran, tiada adegan peluk mahupun cium. Namun hanya dengan lirikan matanya yang menggoda atau sesekali lambaian tangan ke arah peminat sudah cukup untuk membuatkan peminat Anuar hampir histeria. Begitulah kuatnya aura penyanyi ini.
Seketika ruang IB sedikit bungkam menjadikan momentum konsert agak perlahan saat Anuar menyanyikan lagu tribute untuk beberapa penyanyi lama tanah air iaitu Allahyarham Zubir Ali, Ibnor Riza, Suhaimi Mior Hassan dan Flybaits.
Bagaimanapun, anak muda ini berjaya mengembalikan suasana yang tadinya suram apabila dia mendendangkan tiga lagu terakhirnya Ketulusan Hati, Lelaki Ini diikuti dengan lagu terakhirnya Perpisahan.
Penyanyi ini berharap, Konsert Lelaki Ini bukanlah yang pertama dan terakhir sepanjang kerjayanya sebaliknya berharap akan membuka jalan ke konsert yang lebih besar di masa depan, namun semua itu tentunya mustahil tanpa penaja.
"Memang itulah yang ingin saya lakukan. Sejak empat tahun ini saya banyak berjalan untuk mencari penaja nampaknya masih belum ada rezeki lagi. Tetapi saya tidak akan berputus asa sebaliknya akan terus berjalan-jalan lagi mencari mereka yang sesuai untuk bekerjasama," katanya.
0 ayat cinta: