Harry Potter belum hilang magis

Tuesday, July 21, 2009 marina 0 Comments


SATU persatu filem Hollywood memasuki pawagam tempatan. Kali ini filem Harry Potter And The Half Blood Prince sudahpun menggegarkan pawagam sejak 15 Julai yang lalu.

Seperti kebiasaannya, keghairahan peminat terhadap budak sihir, Harry Potter menjadikan ia filem keenam Harry Potter yang dijangka meraih pungutan tiket yang besar bagi studio Warner Bros.

Paling mengujakan sudah pasti aksi seram dan pertembungan kuasa baik menentang kuasa jahat, kemunculan suasana romantik di sekolah ahli sihir Hogwarts dan jangkaan kematian satu watak utama.

Warner Bros. menangguhkan tarikh tayangan Half-Blood Prince dari tahun lalu, seterusnya menjadi jarak dua tahun sejak filem kelima, Harry Potter and Order of the Phoenix dan novel terakhir Harry Potter and the Deathly Hallows.

Harry Potter juga sebenarnya mencetuskan fenomena di dunia ngsa apabila diadaptasi daripada buku Harry Potter tulisan J.K Rowling yang diminati oleh segenap lapisan masyarakat.

Peminat-peminat Potter di seluruh dunia telah lama menantikan sambungan cerita Harry Potter dan kawan-kawannya terutama bagi mereka yang telah membaca kesemua tujuh novel yang sudah ada di pasaran.

Ketujuh-tujuh buku Harry Potter yang bermula pada tahun 1997 telah dijual lebih 400 juta unit di seluruh dunia sehingga menjadikan Rowling seorang jutawan hasil daripada tulisannya itu dan ini ditambah pula dengan kutipan tiket filem yang tidak pernah mengecewakan.

Setiap siri novel Harry Potter telah dialih kepada pelbagai bahasa dan setiap kali siri baru dilancarkan sudah pasti ia menimbulkan kegilaan peminat yang sanggup beratur panjang semata-mata mahu mendapatkan novel tersebut.

Sudah lima siri filem Harry Potter sebelum ini telah mencatat jualan kasar tiket sebanyak AS$4.5 bilion (RM15.9 bilion) dan pakar box office tidak ragu- ragu filem keenam akan mencatat jualan AS$800 juta (RM2.83 bilion) hingga AS1 bilion (RM3.5 bilion), yang merupakan jumlah besar untuk sesebuah filem.

Biarpun ada kata-kata kurang enak yang mengatakan filem ini sudah tidak ada kekuatan, namun apabila selesai sahaja menonton tayangan filem ini, nampaknya magis yang dimiliki oleh budak sihir ini tetap ada.

Biarpun sudah menginjak dewasa, kuasa magis Potter masih lagi berjaya menarik peminat untuk melihat kehidupan Harry bersama dengan rakan-rakan yang lain di Hogwarts.

Kisah bermula apabila Potter bersama dengan rakan-rakan mahu memulakan sesi persekolahan di Hogwarts, sebuah sekolah sihir terkenal.

Namun begitu kuasa jahat Lord Voldermot juga telah mencipta kejadian huru hara sehingga menyebabkan peperangan di sekolah Hogwarts antara Potter dan yang lain.

Misi budak sihir ini juga semakin jelas apabila dia mahu menghapuskan kuasa jahat Dark Lord yang terlalu kuat dengan bantuan daripada Profesor Dumbeldore, seorang profesor di sekolah tempatnya belajar.

Kuasa yang dimiliki oleh Dark Lord tidak mudah untuk dikalahkan dan menyebabkan Potter terpaksa berbaik-baik dengan Profesor Horace Slughorn, seorang guru baru untuk mengetahui tentang sejarah dan kisah silam yang menyebabkan Dark Lord terlalu berkuasa.

Potter sedikit tertekan sebagai ahli sihir muda kerana hanya yang terpilih sahaja dapat mengatasi kuasa jahat tersebut.

Ketika mengikuti kelas Horace Slughorn, Potter telah terjumpa sebuah buku yang sebelum ini menjadi milik Half Blood Prince dan buku tersebut telah menjadikan Potter sebagai pelajar yang bertuah.

Buku tersebut menjadi sangat berguna kepada Potter sehinggakan timbul pula persoalan siapakah dia Half Blood Prince itu. Dengan bantuan yang diberikan oleh Dumbeldore, Potter telah pergi ke sebuah tempat untuk mencari Dark Lord seterusnya menghapuskan kuasa jahat tersebut.

Berjayakah Potter bersama dengan profesornya itu menghapuskan kuasa jahat tersebut? Apakah yang telah berlaku kepada kepada Potter dan Dumbeldore selepas diserang oleh Lord Voldermot?

0 ayat cinta: