Anggota MUH Bengang Dengan Lan!

Friday, June 19, 2009 marina 0 Comments




anggota MUG bengang dengan lan



KUALA LUMPUR, 16 JUN 2009: Pergolakan yang membabitkan masalah dalaman anggota Meet Uncle Hussein (MUH) dan vokalisnya, Lan, nampaknya masih belum menampakkan sebarang tanda penyelesaian secara damai.



Sebaliknya, ia semakin bertambah meruncing apabila Lan dikhabarkan sudah membuat perancangan untuk keluar dari band muzik Indie tersebut untuk menubuhkan band muzik yang lain.




Persoalannya, seandainya itulah keputusan yang dibuat oleh Lan, mengapa dia masih belum memaklumkan perkara itu kepada MUH secara hitam putih? Inilah yang menjadi tanda-tanya anggota MUH yang lain.




Pengurus MUH, Kimmy berkata, sehingga saat ini pun Lan masih belum datang menemui mereka untuk memaklumkan mengenai perkara itu.



"Sebenarnya sudah banyak kali dia buat macam ini. Asal ada saja masalah, dia akan ugut beritahu yang dia mahu tinggalkan MUH padahal masalah itu sebenarnya berpunca daripada dia sendiri yang selalu tidak angkat telefon, lewat datang jamming, lewat datang ke majlis-majlis rasmi yang dihadiri MUH dan macam-macam lagi!




"Sampai bila MUH hendak back-up atau cover line segala attitude problem atau masalah disiplin yang dia sendiri timbulkan? Lama-lama orang akan tahu juga. Kadang-kala kami sendiri malu apabila dihentam oleh pihak penganjur hanya semata-mata kerana mahu mempertahankan dia.




"Apabila wartawan tulis pasal sikap dia, dia salahkan anggota MUH yang lain dan tuduh kami yang sengajakan ceritakan pada semua orang tentang diri dia. Takkanlah kami hendak jaja cerita anggota MUH sendiri. Ia serupalah seperti menabur pasir di periuk nasi sendiri.




"Kami pun tak tahu hendak cakap macam mana lagi. Tapi Lan yang kami kenal 2 tahun dulu memang berbeza dengan Lan yang kami kenal sekarang ini. Kalau dulu, dia selalu angkat telefon, ambil berat dan tanya apa perkembangan MUH, sekarang tak lagi.




"Kadang-kadang kami sendiri tak tahu nak cari dia di mana. Sampaikan kami terpaksa minta orang yang tertentu untuk bantu kami. Yang peliknya, apabila orang tu hubungi dia, boleh pula mereka dapatkan dia," katanya.




Menurut Kimmy lagi, selaku pengurus, dia sendiri sudah pening memikirkan masalah MUH yang sudah 2 tahun tidak ada penyelesaian itu.




"Dia selalu kata saya lebihkan Taja dalam banyak hal. Betul Taja adalah kekasih saya tetapi bila waktu bekerja, kita bertindak secara profesional. Dia (Lan) sendiri tidak tahu berapa banyak kali saya bergaduh dengan Taja tentang soal kerja.




"Kalau Taja tidak betul, saya akan tegur dia. Kalau Taja salahkan Lan atas sebab-sebab yang tidak munasabah, saya akan pertahankan Lan. Begitulah cara saya bekerja. Saya tidak akan sekali-kali campurkan masalah peribadi dan masalah kerja.




"Tentang soal bayaran, saya usahakan untuk buatkan akaun untuk mereka menggunakan syarikat saya dan segala bayaran adalah menerusi cek. Saya sendiri tidak boleh mengeluarkan wang itu sesuka hati.




"Hal ini dilakukan untuk mengelakkan tentang tuduhan salah guna wang atau apa saja yang berkaitan dengan keluar masuk wang,"katanya.



MUH sudah hilang sabar!



Jelas Kimmy lagi, kalau hendak diikutkan anggota MUH yang lain memang sudah tidak boleh bersabar dengan sikap Lan yang masih tidak menunjukkan sebarang perubahan.




"Manusia kalau sudah buat silap pasti akan belajar dari kesilapannya atau meminta maaf di atas segala kesalahan yang dilakukannya. Masalah dengan Lan, bila sudah kantoi buat silap, dia mati-mati tidak mahu mengakuinya.




"Entahlah kadang-kadang bila fikirkan masalah Lan ni, memang selalu rasa hendak marah. Tapi kadang-kala rasa hendak ketawa pun ada. Sebab perangainya itu satu macam punya cerita. "Sebenarnya bukan kita tidak cuba berusaha untuk berbaik semula tapi masalahnya dia sendiri tidak mahu datang jumpa kami. Dia hendak minta cuti bulan 5, kita beri sebab dia cakap kita kejam kerana asyik ambil job hingga tidak ada masa untuk rehat.




"Lagipun dia kena jalani pembedahan yang kita sendiri tidak tahu dan tidak jelas dengan pembedahan apa yang dia perlu lakukan. Sebagai anggota band yang sudah jadi macam keluarga kita pun mahu ambil berat dengan masalah dia, tapi surat doktor yang dia tunjukkan itu sangat tidak meyakinkan,"katanya.




Sambung Kimmy lagi, seandainya benar-benar Lan ingin tinggalkan MUH, mereka sedia menerima apa saja keputusannya.




"Apa yang ingin saya katakan di sini, tanpa Lan, tidak akan mati MUH tetapi datanglah berjumpa dengan kami dan berikanlah surat secara hitam putih. Kemudian barulah kita menyusul dengan tindakan yang seterusnya," katanya.




Kalau hendak diikutkan, kata Kimmy, memang MUH sudah terikat dengan show bersama pihak Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bagi acara Festival Muzik Kuala Lumpur 2009 di Hard Rock Cafe pada 3 Julai nanti.




"Semua anggota MUH sudah pun dimaklumkan tentang hal ini dan pada dasarnya kalau Lan hendak meninggalkan MUH, dia perlu jayakan show ini dulu.




"Tapi, pada waktu yang sama, apabila masalah ini timbul kami terpaksa berterus-terang dengan pihak JKKN tentang hal yang sebenar. Tapi, mujurlah mereka sangat memahami dan mereka juga kata kalau Lan masih tidak dapat memberikan komitmen, MUH boleh teruskan persembahan dengan cara yang lain iaitu MUH menampilkan rakan-rakan," ujarnya.



Selain Lan, MUH yang popular dengan lagu hits seperti Halunisasi, Pari Pari, La La La Kerjalah serta Lagu Untukmu turut dianggotai Taja selaku gitaris/vokal latar, Afat (bassist/vokal latar) serta Kudux (drummer).

0 ayat cinta: