Shaq & Mas Idayu Sudah Tidak Sebumbung

Thursday, June 03, 2010 marina 2 Comments


Sebelum ini semua pihak sedia maklum bahawa Mas Idayu dan protegenya, Shaq duduk serumah semata-mata untuk memastikan kesihatan Shaq berada pada tahap yang memuaskan.

Namun berkesempatan bertemu dengan Shaq baru-baru ini, dia mengakui sudah tidak lagi duduk sebumbung dengan penyanyi yang terkenal dengan lagu "Selangit" dan "Senggol-Senggolan" itu. Menurut Shaq, ini bukan disebabkan masalah salah faham seperti yang diperkatakan oleh segelintir pihak.

“Saya akui selama dua minggu terawal saya memang tinggal bersama-sama dengan Mummy (Mas Idayu) kerana tahap kesihatan saya yang tidak memuaskan. Mummy sangat mengambil berat tentang kesihatan saya dan jasa-jasa yang dicurahkan kepada saya memang tidak mampu saya balas sampai bila-bila.

"Cuma kini kesihatan saya sudah semakin memuaskan dan saya tinggal bersama-sama rakan-rakan protégé lain di Hotel Quality, Shah Alam. Saya berpindah memang tiada kena-mengena dengan isu saya kena marah dengan Mummy,” ujar Shaq menjelaskan perkara sebenar.

Tambahnya, mengenai khabar angin yang mengatakan hubungannya dengan Mas Idayu yang dikatakan berantakan sejak insiden dia tidak mampu memberikan persembahan yang baik semasa konsert Mentor pusingan kedua minggu lepas, sekaligus mengundang kemarahan Mas Idayu, langsung tidak benar sama sekali.

“Hubungan kami masih baik seperti dulu. Cuma saya akui mungkin Mummy sedikit berkecil hati dengan saya yang gagal menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan baik. Kalau saya berada di tempatnya, saya juga akan merasakan perkara yang sama.

"Namun saya anggap segala teguran dan kemarahan Mummy kepada saya sebagai perkara positif dan ianya memberikan saya pengajaran supaya lebih serius selepas ini. Sesi latihan masih berjalan seperti biasa dan saya yakin Mummy punya perancangan untuk meningkatkan lagi kualiti persembahan saya,” katanya yang berjanji untuk memberikan persembahan yang lebih baik selepas ini.

Tertekan untuk mengulangi kejayaan Black
Diusik dengan persoalan sama ada dia tertekan menjadi protege Mas Idayu, Shaq tidak teragak-agak mengakuinya. Namun dia bukan tertekan kerana selalu dimarahi oleh Mas Idayu, sebaliknya harapan peminat Mas Idayu yang mahu dia mencipta kejayaan sepertimana Black sebelum ini.

“Sedikit sebanyak perkara tersebut memang memberikan tekanan kepada saya. Cuma saya tidak mahu terlalu memikirkannya. Apa yang saya lakukan sekarang ialah fokus dengan 'Mentor 4' dan berusaha untuk memberikan persembahan terbaik kepada para peminat yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan kepada saya selama ini.

"Selain itu, saya tahu kalah atau menang memang adat pertandingan dan semua protege serta mentor yang terlibat mahukan kejayaan. Oleh sebab itu, saya berharap peminat akan terus memberikan sokongan kepada saya,’ jelas Shaq yang berkebolehan menyanyikan lagu-lagu dikir barat dengan baik.

Mengenai dirinya yang semakin dikenali, Shaq menganggap perkara tersebut sebagai sesuatu yang normal apabila menyertai pertandingan realiti televisyen. Katanya dia menyertai 'Mentor' bukan untuk meraih populariti, sebaliknya mahu menimba ilmu daripada mentornya yang berpengalaman luas dalam bidang nyanyian. Namun dia berterima kasih kepada para peminat yang mula mengenali dan meminatinya.

2 comments:

  1. nak marah nape kan...
    tak smstinya sume anak didik die akan jadi juara kan...
    tak smstinya tak juara tak bagus kan...=p

    ReplyDelete
  2. eheh.bagus lah kalau betol gitu.

    ReplyDelete