LV Cipta Peti Mewah Trofi Piala Dunia 2010
Foto ihsan The Art of Travel by Louis Vuitton's FacebookJika ada yang mengatakan dunia sukan dan fesyen tidak boleh berjalan seiringan, anggapan itu sama sekali silap.
Sempena Piala Dunia 2010 yang kini sedang semarak berlangsung di Afrika Selatan, jenama fesyen mewah nombor satu dari Perancis, Louis Vuitton (LV) telah berbesar hati merekacipta sebuah peti simpanan istimewa khusus untuk menyimpan trofi agung sukan nombor satu di dunia itu.
Di dalam peti istimewa itulah, trofi setinggi 32 sentimeter yang disaluti emas 18-karat berkenaan akan di simpan bagi mengiringi perjalanannya ke Afrika Selatan sebelum diberikan kepada juara Piala Dunia yang baru pada 11 Julai depan.
Ini merupakan kerjasama paling bergaya antara FIFA dan LV kerana sebelum ini trofi kebesaran itu hanya diangkut ke destinasi Piala Dunia terpilih dengan menggunakan peti aluminium tanpa sebarang label kemewahan di luarnya.
Perancangan dan pengumuman untuk mereka cipta beg khas trofi Piala Dunia itu telah temeterai antara LV dan FiFA pada 6 Mei lalu.
Majlis pengumuman peti perjalanan trofi telah dihadiri supermodel popular dunia, Noami Campbell dan Ketua Komunikasi Louis Vuitton, Antoine Arnault.
Apa yang menariknya, peti simpanan monogram itu telah direka khas menerusi hasil buatan tangan di bengkel LV di Asnieres iaitu sebuah bandar berhampiran kota Paris.
Bahagian dalam peti itu diperkemaskan dengan salutan kain baldu mewah dari rona cokelat dan tertera logo penjenamaan LV dari kepingan plat emas.
Bagaimanapun sayang sekali, peti simpanan glamor itu tidak boleh diperolehi di mana-mana butik LV sebaliknya ia hanya sebagai sumbangan istimewa jenama fesyen berkenaan khusus buat penganjuran Piala Dunia 2010.
Meskipun jenama mewah itu tidak menaja kejohanan terbesar berkenaan, namun 3 pemain bola sepak lagenda Piala Dunia iaitu Zidane, Maradona dan Pele telah dipilih untuk menjayakan kempen pengiklanan syarikat fesyen itu.
0 ayat cinta: