Hatta Tak Mahu Kontroversi Lagi!

Friday, June 18, 2010 marina 0 Comments


Susulan daripada isu salah faham antara pereka fesyen popular Hatta Dolmat dengan sebuah akhbar mingguan tempatan hujung minggu lalu, kedua-dua belah pihak nampaknya sudah meleraikan dengan cara baik.
Hatta ketika dihubungi portal murai.com.my berkata, seboleh-bolehnya dia tidak mahu dibabitkan dengan sebarang isu kontroversi yang boleh memburukkan namanya sebagai pereka fesyen dan juga pihak lain yang terlibat.

Kata Hatta lagi, sebagai individu dia akui artikel yang dikeluarkan akhbar berkenaan pada Ahad lalu cukup mengejutkan dan dari sudut profesionalismnya pula kenyataan itu telah memberi tamparan hebat terutama kepada pelanggan tetapnya.

"Rasanya, saya tak perlukan kontroversi seperti ini lagi. Malah saya tak mahu perkara seperti ini berlarutan sehingga menjejaskan nama, perniagaan saya dan juga industri fesyen tempatan.

"Syukurlah, saya dan pihak akhbar berkenaan telah mengambil keputusan untuk menyelesaikannya dengan cara baik dan saya harap ianya tidak akan berulang lagi," katanya yang sedang sibuk menjalani sesi fotografi untuk edisi busana raya bersama majalah fesyen dan gaya hidup EH!.

Kontroversi tercetus, apabila nama Hatta diangkat sebagai pereka fesyen yang mencipta busana berkonsepkan daun terup sebagaimana yang telah mendapat komen pedas secara online di laman sosial Facebook antara dirinya bersama penyanyi Nurul Abdul Wahab dan seorang lagi pereka fesyen muda berbakat Zery Zamry, baru-baru ini.
Hatta berkata, dia terkejut apabila namanya di ketengahkan sebagai pereka fesyen yang dimaksudkan, sedangkan pemilik busana daripada koleksi Gaga In The Wonderland itu sebenarnya adalah milik Zery, bukannya dia.
"Sudah tentu saya terkejut kerana pada hari berkenaan ramai yang menyuruh saya membaca akhbar itu. Dan bila nampak saja nama saya, lagilah saya terkejut sedangkan baju itu bukanlah rekaan saya.

"Lebih menyedihkan lagi apabila ramai pelanggan saya yang menghubungi saya dan kurang selesa selepas mereka membaca artikel berkenaan," kata Hatta menjelaskan.

Hatta bagaimanapun tidak menafikan bahawa dia turut terbabit di dalam laman sosial berkenaan semata-mata bagi mempertahankan hasil kerjaya rakan seperjuangannya itu, namun sama sekali tidak menyangka perbincangan secara terbukanya itu telah menjadi bahan kontroversi.

"Bukannya niat saya untuk melindungi mana-mana pihak. Cuma sebagai pereka fesyen saya tidak mahu orang memperlekehkan tugas kami sebagai pereka fesyen.

"Saya dah pernah melalui perkara-perkara seumpana ini dengan artis yang lebih besar dan saya sudah tak sanggup berhadapan dengan kontroversi seperti ini lagi. Cukuplah.

"Bagi saya, antara industri hiburan dan fesyen, masing-masing saling memerlukan antara satu sama lain. Jadi adalah baiknya jika kita membantu sesama sendiri. Tambahan pula bukannya senang untuk kami sebagai pereka fesyen untuk mencipta nama sehingga ke tahap sekarang.

"Biarlah saya tumpukan sepenuhnya dengan tugas saya sebagai pereka fesyen dan perniagaan saya yang semakin berkembang," katanya reda.

0 ayat cinta: