Melodi Cinta Rossa Membuai Perasaan

Thursday, June 03, 2010 marina 0 Comments



Tanggal 29 Mei 2010 pasti meninggalkan memori yang cukup terkesan di hati peminat Sri Rossa Roslaina Handiyani. Penyanyi genit yang dikenali dengan nama Rossa ini akhirnya menawan Stadium Putra Bukit Jalil apabila hampir 5,000 orang peminat hadir menyaksikan konsert yang dinamakan ‘Konsert Melodi Cinta Rossa’.

Seawal jam 6 petang lagi, perkarangan stadium sudah mula dipenuhi dengan peminat-peminat Rossa yang sengaja datang awal kerana ingin mengelak daripada kesesakan lalu-lintas. Malah, ada juga yang ingin membeli tiket pada saat-saat akhir. Kehadiran peminat yang ramai ini mungkin kerana ini merupakan konsert pertama Rossa di luar Indonesia.

Sebelum ini Rossa pernah menghiburkan peminat di Malaysia apabila dia mengadakan ‘Konsert Mini Cerita Cinta Rossa’ di Life Cente, Kuala Lumpur pada 27 Jun 2009 lalu. Bagaimanapun, konsert mini itu eksklusif untuk pelanggan Hotlink dan Maxis. Sebab itulah konsert ini cukup dinanti-nantikan oleh peminat setia penyanyi itu.

Sepanjang tempoh dua jam konsert berlangsung, semua peminat yang hadir terbuai dengan kemerduan suara Rossa yang mendendangkan lebih 20 buah lagu yang disampaikan secara penuh mahupun medley.

Antara lagu yang dipersembahkan ialah “Aku Bukan Untukmu”, “Hati Yang Terpilih”, “Terlalu Cinta”, “Atas Nama Cinta”, “Takdir Cinta”, “Tegar”, “Hati Yang Kau Sakiti”, “Nada-nada Cinta” dan “Hey Ladies!”

Satu keunikkan konsert yang menelan belanja jutaan ringgit ini ialah, ia menampilkan kolaborasi Rossa dengan 50 ahli Permata Seni dan 20 kanak-kanak daripada kumpulan Tunas Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).


Bersama kanak-kanak ini, Rossa mendendangkan lagu “Pudar” dalam susunan muzik yang cukup indah. Sebaik sahaja selesai menyanyi, Rossa dilihat menitiskan air mata. Mungkin terlalu terharu dengan penglibatan kanak-kanak tersebut.

Rossa juga turun dari pentas untuk menemui tetamu VVIP malam itu, Datin Seri Rosmah Mansor yang merupakan penaung kepada Permata Seni. Untuk acara ini, Rossa dan Datin Seri Rosmah dilihat bertukar-tukar cenderahati. Untuk pengetahuan anda, sebagai menghargai sokongan daripada JKKN, Rossa telah berbesar hati untuk menyumbang sebahagian hasil jualan tiket kepada badan kebajikan kanak-kanak Malaysia.

Rossa-Pasha bermesra di pentas
Tidak ketinggalan, persembahan duet Rossa dengan penyanyi tempatan berbakat besar, Aizat. Mereka berpadu suara dalam lagu “Hanya Kau Yang Mampu” dan “Kau dan Aku”. Kemunculan Aizat di konsert ini adalah atas undangan Rossa sendiri, bukan disarankan oleh syarikat rakaman atau pihak lain.

Bagi mencipta variasi, Rossa turut mengundang kumpulan ST12 dan Ungu untuk sama-sama menjayakan konsert yang sudah lama diidamkannya itu. ST12 menyampaikan lagu hits mereka, “Jangan Pernah Berubah”, “Satu Jam Saja” dan duet bersama Rossa menerusi lagu “Cari Pacar Lagi”.
 
Manakala Ungu hanya menyampaikan lagu “Hampa Hatiku”. Rossa muncul menyanyikan bahagian dangdut menggantikan vokal Lis Dahlia. Bagai yang telah dijangka, Rossa turut berduet dengan Pasha untuk lagu “Terlanjur Cinta”. Ketika ini, penonton bersorak kuat apabila melihat Rossa dan Pasha ‘bermesra-mesraan’ di atas pentas. Menyedari situasi itu, Rossa pantas memberi penjelasan sebaik selesai menyanyi. Menurut Rossa, dia dan Pasha hanya bercinta di atas pentas.

Secara keseluruhan, GUA menganggap Konsert Melodi Cinta Rossa berjaya membuai perasaan peminat yang sanggup berbelanja semata-mata untuk melihat penyanyi itu beraksi secara langsung. Bagaimanapun, GUA tidak nampak di mana elemen kejutan yang dijanjikan Rossa sebelum ini.

amun, GUA suka dengan semua busana yang dikenakan oleh Rossa. Dengar kata, kelima-lima pasang baju itu adalah rekaan pereka terkenal dan kosnya mencecah RM100,000.

Persembahan Rossa diiringi oleh 40 pemuzik di bawah pimpinan Yovie Widianto. Selain pemuzik, Rossa turut membawa penyanyi latar, kru teknikal dan penari yang diterbangkan khas dari Jakarta.

0 ayat cinta: