Sesi Karaoke: Semua Finalis AF8 Lepas Geram!

Wednesday, June 02, 2010 marina 0 Comments

Selama 3 bulan berada di dalam Akademi, dengan mengikuti setiap kelas dan pembelajaran yang berbeza setiap hari, ditambah pula dengan tugasan mencabar yang setiap minggu diberi, tentu tekanannya tak mudah untuk ditangani setiap pelajar Akademi Fantasia ini.

Tidak terkecualilah yang berlaku di kalangan barisan pelajar AF8 pada musim kali ini. Cabaran yang terpaksa mereka hadapi atau lalui pada setiap minggu tetap sama. Tekanan yang diterima daripada pengetua, tenaga pengajar dan pengundi, sentiasa berterusan.

Maka, tidak hairanlah kalau Shahir, Adira, Daus, Maulana, Iwan, Shah, Aliff, Nad, Anum, Ema dan Ain kelihatan seolah-olah seperti orang yang melepaskan geram sewaktu menjayakan acara sesi karaoke sempena meraikan majlis penyampaian hadiah buat 5 pemenang Mencari Bintang Apa Kata M(AKM) di pusat karaoke Neway di Puchong, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dianjurkan portal hiburan murai.com.my, acara yang telah mendapat tajaan daripada Maybelline, RNL Florist serta pusat karaoke Neway sendiri ini telah berlangsung dalam suasana yang cukup sederhana tetapi meriah, santai serta menghiburkan.

Apa tidaknya selain berpeluang berkaraoke bersama kesemua bintang AF8 kecuali Farina yang tidak dapat hadir pada hari itu atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, kesemua 5 pemenang bertuah beserta 3 pengundi terbanyak serta beberapa peminat terpilih telah berpeluang untuk mendekati serta bermesra dengan mereka ini.

Juara Mencari Bintang AKM, Noorshalina Zainal misalnya telah berpeluang untuk berpadu suara dengan juara AF8m, Shahir menerusi lagu Sanadrkan pada Kenangan yang dipopularkan oleh Jamal Abdillah dan Sarah Raisuddin.

Paduan suara mereka yang cukup serasi itu berjaya mendapat perhatian semua tetamu yang hadir. Malah, ramai yang cuba mengusik-ngusik mereka berdua sebagai pasangan yang konon-kononnya nampak cantik dan secocok.

Paling menarik bila melihat Nad rancak menyanyikan lagu hits Meet Uncle Hussin, Lagu Untukmu. Tiba-tiba, salah seorang daripada pemenang pengundi AKM terus mencelah masuk dan berdiri mendekati Nad untuk sama-sama menyanyikan lagu itu.

Sebelum Nad telah setuju untuk menerima cabaran apabila diminta membawakan lagu Kalis Rindu nyanyian Elyana. Lagu itu cukup sesuai dengan vokal serta karaktornya.

Begitu juga dengan Maulana apabial diminta membawakan lagu I'M Yours daripada Jason Myraz. Lagu ini sangat kena dan sesuai sekali dengan vokal finalis AF8 yang telah mendapat tempat keempat dalam konsert final AF8, baru-baru ini.

Malah, Maulana juga turut membawakan lagu Kasih nyanyian Hetty Koes Endang. Lagu itu telah nyanyikan secara duet bersama peminat setianya. Nampaknya Maulana pun pandai berkeroncong jugak. Al-maklumlah orang Johor.

Selain menyanyikan lagu 'Aku Stacy', Ain terlebih dulu membawakan lagu The Climb daripada Miley Cyrus. Lagu itulah yang telah dibawakan Ain sewaktu pertama kali muncul dalam Konsert Tirai AF8. Agaknya Ain mahu mengimabs semula kenangannya pada waktu itu.

Namun begitu, Ain tidak berani menyahut cabaran untuk membawakan lagu Mengapa daripada Nicky Astria. Alasannya, vokalnya tidak begitu lantang seperti mana Naib Juara AF8, Adira.

Adira yang sentiasa dikurumuni peminat sepertimana Shahir turut membawakan beberapa lagu. Salah satunya daripada ialah Matahari yang dipopularkan Agnes Monica. Ramai yang terpegun bila dengar Adira melontarkan vokal lantangnya itu.

Kakak Adira, Ema pula tak begitu banyak menyanyi.Sikapnya yang malu-malu membuatkan dia lebih senang jadi penonton. Hanya bila acara sudah sampai ke penghujung, barulah Ema bersedia untuk menyanyi.
Sama halnya juga dengan Anum. Dia nampaknya lebih gemar menjadi penyanyi latar. Malah waktu memilih untuk membawakan lagu Pelayaran daripada May, Anum tak mampu menghabiskan nyanyiannya. Sebaliknya, dia memaksa Shah untuk menyanyikan lagu itu bagi pihaknya.
 

Berbeza dengan Shah yang melabelkan dirinya sebagai gila mikrofon. Dialah yang paling banyak menghiburkan tetamu pada petang itu. Macam-macam lagu yang dinyanyikannya termasuklah Anuar Zain dan Samsons. Namun, tak siapa yang peduli Shah nyanyi banyak kali sebab vokalnya memang sedap.
Begitupun, gandingan Shah bersama Iwan, Daus dan Aliff menerusi beberapa lagu Samsons dan Ungu memang cukup sedap didengar terutama apabila mereka melakukan harmonizing. Rasa macam ia sebuah rakaman lagu yang betul-betul. Ditambah pula dengan aksi mereka yang spontan dan gila-gila. Tapi, itulah yang seronoknya. Yang penting, semua orang pun happy.

Apapun, Pertandingan AKM yang telah diadakan sebanyak 2 saringan ini telah diwarnakan oleh Maybelline, ditaja RNL Florist dan dimeriahkan Neway Karaoke sebagai penaja utama. Ia juga adalah salah satu segmen istimewa yang mengisi Slot AF8 @ Murai yang telah berlangsung sejak 13 Mac lalu dan tamat pada 13 April 2010.

0 ayat cinta: