Nama Zizan Pasti Meletup Dengan 'Kapoww!!'
"Saya takut," luah bintang Raja Lawak musim pertama, Zizan, "Saya takut orang tidak dapat menerimanya.
"Mentaliti orang bila melihat cerita macam ni, sesetengahnya akan kata mengarut seperti 'Ironman', 'Spiderman'... Inikan pula 'Kapoww!!' Tapi bila saya mendengar gelakan pertama itu, alhamdullilah. Dan bila ia bersambung, saya tak takut lagi.
"Saya rasa, alhamdullilah, berdasarkan komen yang diterima daripada media dan para artis, semuanya kata suka, 'best'."
Semalam, di TGV KLCC telah berlangsungnya tayangan gala filem arahan terbaru Azizi 'Chunk' Adnan, 'Kapoww!!'. Mempertaruhkan Zizan sebagai teraju utama, dibantu oleh barisan pelakon mantap seperti Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Khir Rahman, Bell Ngasri, Awie dan Lisa Surihani, 'Kapoww!!' mempunyai potensi untuk meletup di panggung.
Ya, 'Kapoww!!' memang ‘best’! Pendek kata, pecah perut dibuatnya. Meskipun jalan cerita boleh diagak, tetapi garapannya memang segar, mengabungkan 'live action' dan 'comic book'. Dan lawaknya memang kelakar.
Tidak sia-siakan peluang
Bertuah sungguh Zizan apabila percubaan pertamanya sebagai 'lead' sesuatu yang boleh dibanggakan. Seperti yang dikatakannya, peluang yang diberi Azizi itu tidak disia-siakan.
"Bila dapat skrip itu, saya 'study' 'kaw-kaw'. Saya tak nak sia-siakan peluang itu. Sebab bila ditawarkan watak Atoi, saya pusing-pusing badan di depan cermin, nak tengok apa kekuatan saya.
"Saya tak tahu. Orang yang menilai. Tapi orang dah bagi, saya menghargainya. Ia satu benda yang sangat besar. Saya betul-betul buat yang terbaik. Tetapi saya rasa saya perlu perbaiki lagi diri saya.
"Banyak lagi kelemahan seperti melakonkan babak-babak sedih sebab saya pak lawak. Di set, saya banyak belajar daripada Azizi, Afdlin dan Lisa."
Ditanya jika terasa tertekan apabila memikirkan sebahagian kejayaan 'Kapoww!!' bergantung pada kemampuannya sebagai teraju utama, ujar Zizan, perkara itu tidak pernah terlintas di mindanya.
"Cuma jika di set, ada yang tidak puas hati, saya akan minta satu peluang lagi. Ramai yang ingatkan lawak ni satu benda yang bodoh tetapi ia sebenarnya satu seni. Jarang orang miliki. Ia bukan sesuatu yang terus kelakar tetapi kita perlu serius, kaji benda itu.
"Sebab benda ni dah jadi kerjaya saya, saya kena cari jalan untuk tangkap perhatian orang. Saya perlu jadi lain dari yang lain."
Tidak mahu dikatakan bodoh
Meskipun sebelum ini pernah menerima tawaran filem yang menengahkannya sebagai watak utama, tetapi nampaknya Zizan membuat percaturan yang tepat apabila memilih 'Kapoww!!' sebagai filem pertama yang mengangkatnya sebagai ‘hero’.
"Saya ni kira memilih juga. Saya akan kaji skrip itu. Ini tempat saya mencari rezeki. Saya perlu tanya diri sendiri, 'Apakah itu orang yang nak tonton?' Saya selalu teringatkan kata-kata abang Adlin (Aman Ramlie), 'Bila di pentas, nak tak orang cakap kita ni bodoh?' Sebab itu saya sentiasa kaji benda ni, 'best' ke tak
"Tetapi ia bukan bergantung pada kemampuan saya seorang tetapi semua yang terlibat. Saya bertuah dapat peluang ini. Syukur sangat," katanya yang bakal memulakan penggambaran filem keduanya pada bulan Ogos ini bersama Azizi.
0 ayat cinta: