Stylistika Siti Glamorama Hari Raya
GLAMORAMA RAYA BERSAMA STYLISTIKA SITIWalaupun kedatangan Syawal bakal disambut lebih 4 bulan lagi, namun ada yang diantara kita yang sudah pun merancang dan memulakan persiapan awal untuk meraikan bulan penuh bermakna ini. Justeru, TV3 turut tidak ketinggalan dan sedang rancak membuat persiapan dan perancangan dalam menyediakan program-program yang terbaik sempena sambutan Aidilfitri 2010 khusus untuk santapan penonton setianya.
Sebagai pembuka tirai, TV3 mengajak tetamu ke lokasi rakaman program khas raya ‘Stylistika Siti’, antara sajian istimewa buat para penonton di hari raya kali ini.
‘Stylistika Siti’, merupakan satu program muzikal yang pastinya dinantikan oleh peminat-peminat penyanyi tersohor tanahair yang bakal dikendalikan oleh beliau sendiri. Uniknya, program 60 minit ini akan menyaksikan Datuk Siti Nurhaliza mendendangkan lagu-lagu popular yang menjadi kegilaan ribuan peminat beliau dan diselang-selikan dengan persembahan peragaan fesyen rekaan busana koleksi istimewa daripada pereka tempatan dengan diiringi pemuzik-pemuzik professional yang dipimpin oleh Aubrey Suwito.
Menurut penerbit program, Cik Hamsiah Biri, “Tidak lengkap rasanya kemeriahan Syawal tanpa program istimewa daripada penghibur dan ikon tanahair kita, Datuk Siti Nurhaliza. Kali ini, kami berpeluang untuk berkolaborasi bersama beliau sendiri untuk menghasilkan sebuah program muzikal yang menarik berkonsepkan fusion kerana ia menggabungkan dua elemen menarik iaitu lagu dan fesyen, sekaligus menjadikan program ini unik dan berbeza dari persembahan Datuk Siti Nurhaliza sebelum ini. Untuk menampilkan satu kelainan dan bersesuaian dengan tema lebaran, para penonton bukan sahaja dihiburkan dengan alunan lunak suara Datuk Siti malah, Stylistika Siti mengajak kita semua mengimbas kembali detik-detik istimewa beliau ketika membuat persembahan di majlis industri berprestij seperti Anugerah Juara Lagu dan konsert bersejarah beliau di Royal Albert London Hall melalui busana dan pakaian yang pernah diperagakan oleh beliau.”
“Pastinya para peminat akan teruja untuk mendengar kisah dan memori Datuk Siti yang akan berkongsi pengalaman sepanjang beliau giat aktif di persada seni bersama beberapa pereka fesyen terkenal tempatan yang secara tidak langsung sedikit-sebanyak telah membantu melonjakkan nama Datuk Siti melalui penampilan dan gaya beliau yang tersendiri yang menepati imej sopan dan manis bersesuaian dengan ciri-ciri gadis timur. Bukan itu sahaja, turut memeriahkan rancangan ini, Datuk Siti Nurhaliza juga menjemput Noh (Hujan) untuk bersama-sama membuat persembahan dengannya buat julung-julung kalinya di kaca televisyen,” tambah Hamsiah.
Rakaman ‘Stylistika Siti’ ini dimulakan dengan peragaan koleksi fesyen menarik dari pereka tersohor Radzuan Radzwill dan diikuti dengan kemunculan Datuk Siti Nurhaliza dengan busana anggun khas yang dihasilkan oleh Radzuan sendiri ketika mempersembahkan lagu “Destinasi Cinta” yang pernah terpilih ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-22 sebagai pembuka tirai rancangan ini. Lagu “Aku Cinta Padamu” yang berjaya meraih kejayaan di Anugerah Juara Lagu 1997 dalam kategori Balada dan persembahan terbaik pula menyusuli sebelum dendangan medley lagu-lagu keramat beliau seperti “Cindai & Balqis” sebagai pembuka kepada segmen kedua yang menampilkan pereka fesyen terkenal dan juga salah-seorang rakan rapat Datuk Siti sendiri iaitu Michael Ong. Selepas berbicara dengan Michael, Datuk Siti yang juga memakai busana rekaan Michael Ong kini bersedia untuk memperkenalkan seorang lagi tetamu istimewa, Noh Hujan yang akan berduet bersama Datuk Siti menyanyikan lagu “Begawan Solo”.
segmen ketiga dengan peragaan koleksi busana indah dari pereka muda berbakat, Rizman Ruzaini dan diiringi dengan naynyian merdu Datuk Siti menerusi lagu “Percayalah”. Datuk Siti juga tidak melepaskan peluang untuk memperagakan busana terbaru ciptaan Rizman Ruzaini yang juga telah banyak menyumbang idea dan tenaga dalam menghasilkan pelbagai jenis busana bersesuaian dengan imej dan penamilan sopan Datuk Siti. Selepas mengimbas detik-detik kegemilangan beliau di majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), jangan ketinggalan untuk menyaksikan persembahan kedua Datuk Siti bergandingan dengan Noh Hujan dengan medley “Dugaannya & Bila Aku Sudah Tiada”.
Segmen keempat mengakhiri program istimewa lebaran ini dengan penyampaian lagu “Jika Kau Tak Datang” diikuti dengan lagu “Cinta Ini” sebagai persembahan khas Datuk Siti buat para peminatnya dan sebagai penutup beliau menjemput kesemua pereka fesyen bersama model-model yang turut terlibat menjayakan ‘Stylistika Siti’ untuk bersama-sama beliau di atas pentas menyanyikan lagu “Di Taman Teman.”
‘Stylistika Siti’ diterajui oleh Khalijah Mohamed selaku penerbit eksekutif dan Hamsiah Biri selaku penerbit yang bertanggungjawab merealisasikan konsep dan ilham dari Unit Pembangunan Kandungan Industri, Primeworks Studios dengan kerjasama Datuk Siti Nurhaliza sendiri.
Untuk makluman, pihak TV3 akan mengumumkan tarikh dan waktu siaran program ‘Stylistika Siti’ yang bakal ditayangkan pada minggu pertama Aidilfitri apabila jadual program-program Hari Raya 2010 siap diatur menjelang bulan puasa nanti.
p/s: credit to budiey.com
0 ayat cinta: